Pelajar UiTM Maut Strok Haba Ketika Jalani KKEC, 8 Lagi Rakan Dirawat Di Hospital

Salam takziah buat seluruh ahli keluarga arwah adik Fadhlan Fakhry.

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) meninggal dunia, manakala lapan lagi terpaksa menerima rawatan di hospital selepas mengalami masalah berkaitan haba ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di kampus UiTM Jengka, Pahang, kelmarin

Menurut Berita Harian, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Pahang.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata Fadhlan Fakhry merupakan antara dua pelajar yang menerima rawatan di HoSHAS, manakala tujuh lagi dirawat di Hospital Jengka.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati pelajar terbabit mengalami masalah berkaitan haba, termasuk kekurangan oksigen ketika menyertai acara ketahanan berkenaan.

SAYS.com
Image via Mohd Fadli Salleh (Facebook)

"Perkembangan lanjut akan diberikan selepas menerima laporan bedah siasat Fadhlan Fakhry," katanya.

Dalam pada itu, UiTM Pahang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Fadhlan Fakhry selain menyediakan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa.

"Universiti menggerakkan bantuan menyeluruh bagi memastikan segala urusan berkaitan jenazah, dokumentasi, pengangkutan serta sokongan emosi kepada keluarga diuruskan dengan sebaik mungkin dan tanpa kesulitan," katanya.

KKEC merupakan program tahunan yang menghimpunkan peserta Komander Kesatria dari cawangan UiTM seluruh negara dan dijadual berlangsung dari 2 hingga 8 September ini di kampus UiTM Cawangan Pahang di Jengka

SAYS.com
Image via Sinar Harian

Pihak universiti memaklumkan program berkenaan dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ketat.

"Semua peserta diwajibkan menjalani saringan kesihatan sebelum program bermula, selain pemeriksaan kesihatan berkala sebelum setiap acara.

"Beberapa peserta sebelum ini diminta menarik diri selepas gagal dalam saringan akhir,"
katanya.

Susulan kejadian itu, penganjur mengambil langkah membatalkan semua aktiviti luar KKEC yang dijadualkan hari ini sebagai langkah keselamatan

UiTM turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan serta memastikan kebajikan semua pihak yang terbabit terpelihara.

Fadhlan Fakhry yang mewakili UiTM Negeri Sembilan dalam pertandingan itu merupakan pelajar tahun akhir program diploma di kampus Seremban.

KKEC ialah pertandingan ketahanan fizikal dan mental yang menguji kekuatan fizikal, kemahiran taktikal, ketangkasan serta kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: