10 Jam Pergi 'Open House', Warga Iraq Ini Jatuh Cinta Dengan Budaya Rakyat Malaysia
"Melayan orang asing dengan baik, sikap toleransi yang tinggi dan saling menghormati meskipun berbilang bangsa, mesra dan ramah – inilah yang telah saya temui di Malaysia," ujar Ahmed.
Kisah yang dipaparkan di laman The Vocket ini telah dikongsikan oleh seorang pelajar perubatan di HUKM, Ahmad Wazir Aiman bin Mohd Abd Wahab.
Bulan Syawal lalu, Wazir membuat keputusan untuk membawa dua orang pelancong adik-beradik dari Iraq untuk merasai sendiri budaya open house.
"Salam,"
"Saya perkenalkan diri terlebih dahulu, nama diberi Ahmad Wazir Aiman bin Mohd Abd Wahab. Saya merupakan seorang pelajar perubatan di HUKM, Cheras."
"Di waktu cuti saya akan sertai aktiviti sukarela di Petrosains. Namun yang demikian cerita yang ingin saya kongsi ini bukanlah cerita tentang saya. Ia tentang 2 adik-beradik dari Iraq yang datang bercuti ke Malaysia."
"Terserempak dan berkenalan di Petrosains, saya bawa mereka untuk mengalami sambutan hari raya di Malaysia dengan membawa mereka berjalan raya."
"Kesannya?"
"Sungguh menarik perbezaan budaya dan pemahaman Aidil Fitri kita dengan masyarakat Timur Tengah," tulis Wazir kepada The Vocket.
Ahmed, pelancong tersebut yang juga merupakan pelajar perubatan di Basra College di Iraq telah menulis entry yang ingin beliau kongsikan, iaitu pengalaman beliau sepanjang meraikan perayaan di Malaysia
"Nama saya Ahmed, berusia 19 tahun dari Iraq. Saya berkunjung ke Malaysia selama 15 hari untuk bercuti tapi apa yang saya temui di sini bukan hanya sekadar melihat bangunan-bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur mahupun keindahan Langkawi, tetapi juga mengembalikan kepercayaan saya tentang nilai kemanusiaan."
"Melayan orang asing dengan baik, sikap toleransi yang tinggi dan saling menghormati meskipun berbilang bangsa, mesra dan ramah – inilah yang telah saya temui di Malaysia. Yang pasti, saya mahu kunjungi negara ini lagi."
"Saya dan adik sangat teruja sebaik saja tiba di sini kerana Malaysia merupakan satu negara yang baru bagi kami, menghidangkan budaya yang berbeza sama sekali."
"Wazir merupakan insan yang telah membawa saya mengenali cara hidup rakyat Malaysia dengan lebih dekat."
"Wazir mengajak saya dan adik mengikutnya ke satu majlis keraian yang dikatakan sesuatu yang lazim di negara ini di sepanjang bulan Syawal – open house raya, sesuatu yang agak asing bagi kami."
"Aidil Fitri sudah berlalu lebih dari seminggu, dan kami di Timur Tengah meraikannya dalam tempoh yang singkat."
"Aidil Fitri di tempat kami hanya diraikan dalam 1 hari, dan sebenarnya selama 1 jam sahaja iaitu sejam sebelum solat Aidil Fitri yang mana kami akan letakkan makanan di luar rumah untuk dijamu kepada mereka yang dalam perjalanan ke masjid."
"Sebaik saja khutbah selesai dibacakan, kami akan pulang ke rumah. Tetapi di Malaysia ia berlainan sama sekali di mana Syawal diraikan selama sebulan."
"Sebagai seorang yang meminati kepelbagaian budaya dan agama, kami bersetuju untuk ikut Wazir, dan kami tak sangka dalam masa satu hari ia bakal memberikan kami sesuatu yang sangat bermakna."
"Beribu batu jauh dari kampung halaman sendiri tapi satu persamaan yang nyata – Islam, dan itu cukup untuk kami rasa seperti satu keluarga."
"Sebelum ini kami tak pernah ada pengalaman di bawa ke sana ke mari oleh penduduk tempatan sewaktu travel, apatah lagi dilayan bagaikan keluarga sendiri dengan penuh mesra."
"Beribu batu jauh dari kampung halaman sendiri tapi satu persamaan yang nyata – Islam, dan itu cukup untuk kami rasa seperti satu keluarga. Pada jam 10 pagi perjalanan kami ke Negeri Sembilan bermula."
"Saya dan adik masih clueless dan teruja di sepanjang perjalanan kerana sebelum ini kami tak pernah dengar perkataan ‘Open House‘ di tempat kami di Timur Tengah."
"Kami juga tiada perayaan seperti ini. Di tempat kami keluarga dan kawan-kawan dijemput ke rumah hanya sewaktu meraikan perkahwinan dan sambutan hari jadi."
"Saya sangat sukakan tradisi ini, dan saya harap kami juga ada sambutan seperti ini di Timur Tengah sebab ia benar-benar memaparkan nilai-nilai Islam dalam menjalin ukhuwah dan silaturrahim."
"Sewaktu di rumah pertama, kami agak berdebar dalam waktu yang sama teruja kerana akan berkunjung ke rumah seseorang yang tidak pernah kami kenali sebelum ini, 7000 km dari rumah sendiri."
"Sekali lagi, keluarga ini mengejutkan saya dengan keramahan mereka. Saya rasa selesa dan sangat diraikan."
"Budaya dan cara bersalam di sini sangat menarik minat saya. Mereka yang lebih muda akan mencium tangan yang lebih tua sewaktu bersalaman sebagai tanda hormat."
"Saya dapat rasai ia adalah satu cara yang mudah dan betul bagi menunjukkan rasa hormat kepada mereka yang lebih dewasa dan berusia dari kita. Di Timur Tengah, kami hanya mencium dahi sebagai tanda hormat," cerita Ahmed.
Selain budaya open house dan bersalam-salaman, Ahmed juga sangat teruja dengan segala jenis makanan tradisional yang dihidangkan seperti nasi impit dan rendang. Menurut Ahmed, semuanya sedap-sedap belaka!
"Kemudian, datang pula bahagian yang paling menarik di Malaysia ini – makanan. Hidangan yang namanya tak pernah saya dengar sebelum ini menjadikan saya tidak sabar untuk mencuba makanan tradisional di sini."
"Rendang, kuah kacang dan nasi impit (menurut Wazir ia adalah nasi yang dimampatkan). Semuanya sedap! Saya sangat sukakannya dan cuba makan dengan cara saya sendiri iaitu makan nasi impit kosong."
"Mereka ketawakan saya kerana sepatutnya nasi impit dimakan bersama kuah kacang, dan bila saya cuba, rasanya lebih sedap! Rendang juga sangat sedap, terutamanya rendang ayam."
"Apabila mereka katakan makanan Malaysia memang terbaik, mereka sebenarnya tak tipu. Hinggakan saya berhajat untuk beli makanan begini dan bawa pulang ke Iraq."
"Sewaktu kami mahu bergerak tinggalkan rumah pertama, kami diberikan satu sampul surat yang buat saya terpegun sejenak."
"Wazir memberitahu sampul surat itu berisi duit. Memang menakjubkan, dapat rasa makanan yang sedap dan dapat duit juga?" soal Ahmed.
Ahmed juga agak kagum melihat nilai cinta rakyat Malaysia terhadap haiwan, terutamanya kucing yang disifatkannya tidak begitu dekat dengan penduduk di Iraq
"Kunjungan paling akhir kami di rumah ke 4 buat kami sedar betapa orang-orang di Malaysia sangat sukakan haiwan terutama kucing. Sahabat Wazir telah memelihara kucing besar yang berbulu tebal dan comel."
"Kami tidak begitu dekat dengan kucing di Iraq dan kucing-kucing di sana jarang yang kelihatan besar dan bersih. Ia satu pengalaman yang menarik bagi kami."
"Dan dengan melihat budaya di negara ini dengan lebih dekat, tak dapat saya bayangkan kunjungan ini merupakan sesuatu yang sangat menarik dan berbekas di hati saya, meskipun ia hanya sekadar dalam sehari, lebih tepat lagi selama 10 jam," ujar Ahmed menamatkan perkongsiannya.