Pemilik Yamaha RXZ Sanggup Keluar Sehingga RM34,000 ‘Make Up’ Motor – “Demi RXZ Members”
Permintaan terhadap kerja restorasi meningkat setiap kali acara RXZ Members semakin hampir.
Cover image via NSTP/Nazdy HarunFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menjelang penganjuran RXZ Members, ramai pemilik Yamaha RXZ ambil peluang untuk membawa motosikal masing-masing ke bengkel
Apa yang menarik adalah ada pemilik yang sanggup berbelanja antara RM18,000 hingga RM34,000 bagi kerja restorasi motosikal tersebut.
Menerusi laporan Berita Harian, mekanik Yamaha RXZ, Muhammad Rizal Ismail, 34, berkata kos restorasi bergantung kepada alat ganti digunakan serta tahap kesukaran kerja yang dijalankan ke atas sesebuah motosikal.
Katanya, permintaan terhadap kerja restorasi meningkat setiap kali acara RXZ Members semakin hampir, dengan pemilik mula menghantar motosikal masing-masing ke bengkelnya sejak sebulan lalu.
"Peningkatan jumlah motosikal yang dihantar pelanggan menyebabkan saya tidak menang tangan dan hanya mampu tidur tiga hingga empat jam sehari sejak sebulan lalu.
"Rutin ini berlaku setiap tahun apabila tibanya RXZ Members kerana pemilik mahu memastikan jentera mereka tampil kemas sebelum menyertai perhimpunan berkenaan," katanya.

Muhammad Rizal Ismail.
Image via Nazdy HarunTerpaksa kerja lebih masa disebabkan permintaan yang banyak
Rizal berkata, bengkelnya pada asalnya beroperasi dari jam 9 pagi hingga 7 malam tetapi jumlah motosikal yang banyak menyebabkannya meneruskan kerja restorasi pada sebelah malam hingga waktu subuh.
"Motosikal yang dihantar datang dari seluruh Semenanjung. Bagi pemilik yang tinggal jauh, mereka menggunakan perkhidmatan penghantaran dan motosikal akan dihantar semula selepas siap direstorasi," katanya.
Memiliki pengalaman 16 tahun membaiki Yamaha RXZ, kerja restorasi jentera berkenaan dikatakan tidak begitu rumit baginya kerana sudah mula mengendalikan motosikal itu sejak berusia 18 tahun.
Katanya, kira-kira 10 motosikal RXZ mampu disiapkan dalam tempoh 10 hari bergantung kehendak pelanggan, alat ganti dan aksesori yang digunakan.
"Setiap tahun lebih 100 motosikal RXZ dihantar pelanggan kepada saya untuk kerja restorasi. Alat ganti dan aksesori juga masih mudah diperoleh, namun matlamat pemilik adalah untuk memperindahkan motosikal mereka sebelum menyertai perhimpunan berkenaan," katanya.
Menurut Rizal, Yamaha RXZ mempunyai peminat tersendiri dan tidak menghairankan apabila pemilik sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit bagi memastikan jentera kesayangan mereka kekal cantik dan menarik.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


