Pemimpin PH Dan BN Dibanjiri Dengan Panggilan SPAM Dalam Serangan Siber Pada Hari Mengundi
Kumpulan hak asasi manusia SUARAM menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu dengan segera.
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) berkata mereka telah menerima panggilan spam dari nombor antarabangsa yang tidak diketahui sepanjang pagi hari ini, 9 Mei
Datuk Seri Mukhriz Mahathir (calon kerusi Parlimen Jerlun dan calon kerusi DUN Jitra), Hannah Yeoh (calon kerusi Parlimen Segambut), Dr. Ong Kian Ming (calon kerusi Parlimen Bangi), dan Teo Nie Ching (calon kerusi Parlimen Kulai) adalah sebahagian dari pemimpin PH yang telah dibanjiri dengan panggilan nombor antarabangsa dalam telefon bimbit mereka sehingga ianya mustahil bagi mereka untuk menjawab panggilan telefon yang sah pagi tadi.
Mereka telah mengambil tangkapan skrin (screenshot) yang memaparkan log panggilan pada telefon masing-masing, yang sebahagiannya menunjukkan bahawa panggilan itu bermula hanya beberapa minit sebelum stesen pengundian dibuka untuk PRU14 seluruh negara. Dikatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada serangan siber yang sedang dijalankan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada hari mengundi.
Malaysiakini melaporkan calon kerusi Parlimen Lembah Pantai iaitu Fahmi Fadzil berkata bahawa serangan besar ini dijalankan bertujuan untuk mengganggu pemimpin dan calon Harapan.
Fahmi berkata dalam tweet menerusi akaun peribadinya bahawa beberapa calon PKR yang terlibat dalam serangan ini termasuk Zairil Khir Johari, Elizabeth Wong, dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beberapa jam selepas pemimpin PH mendakwa mereka telah disasarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) juga mengatakan bahawa mereka telah menerima panggilan spam
Mereka yang terjejas termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Tangkapan skrin yang mereka masukkan dalam tweet masing-masing menunjukkan bahawa mereka menerima panggilan spam antarabangsa ini kira-kira pukul 10 pagi dan seterusnya.
Difahamkan bahawa NGO lain juga tidak terkecuali daripada serangan-serangan ini
Pengawas pemilih Bersih 2.0 menjawab dalam tweet kepada Azalina hari ini bahawa ia juga telah menerima banyak panggilan spam dan mesej WhatsApp sejak malam semalam.
Di samping itu, kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) berkata mereka telah terjejas dengan sekurang-kurangnya dua pusingan panggilan spam.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan penolakannya terhadap ancaman siber ini dari terus berterusan
SUARAM telah mengeluarkan satu kenyataan untuk mencela gangguan yang disasarkan terhadap pemimpin politik dan pembela hak asasi manusia pada hari pengundian
"Kumpulan hak asasi manusia termasuk SUARAM dan Bersih 2.0 serta ahli politik pembangkang telah melaporkan panggilan telefon berterusan ke nombor telefon peribadi mereka seawal 7.50 pagi dari nombor Malaysia (03 2072 2090) dan satu siri daripada nombor telefon Amerika Syarikat (+1)," kata SUARAM dalam kenyataannya.
"Gangguan seperti ini adalah cubaan yang jelas untuk menghalang kerja manusia pembela hak asasi dan ahli politik pada masa kritikal iaitu hari mengundi," tambahnya.
Kumpulan hak asasi manusia telah menggesa agensi-agensi negeri termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat perkara itu dengan segera.
Ingin tahu keputusan terkini #PRU14? Ikuti laman ge14.says.com dan dapatkan keputusan secara langsung bagi semua kerusi secara pantas dan tepat!