Dear Pengundi, PRU 5 Tahun Sekali Je. Tolong Jangan Lakukan 7 Perkara Ini Ya. Sia-Sia!
Jika lakukan, boleh kena denda atau masuk penjara!
Dalam kurang daripada 24 jam, rakyat Malaysia akan dikehendaki untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan mengundi sempena Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14)
Kalau sebelum ini SAYS Seismik ada berkongsi 'Checklist' Berguna Pada Semua Pengundi, kali ini kami akan berkongsi beberapa perkara yang perlu anda ambil perhatian, seperti perkara-perkara yang TIDAK PATUT anda lakukan pada hari pengundian, 9 Mei, esok.
Sama ada anda pengundi kali pertama atau pengundi kembali, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ambil tahu bagi memastikan pengalaman mengundi anda tahun ini berjalan dengan lancar.
Berikut adalah beberapa perkara penting dan WAJIB untuk diambil perhatian:
1. Jangan memakai pakaian yang memaparkan logo parti mana yang anda sokong
Selain pakaian, anda juga tidak dibenarkan memegang botol air atau payung atau apa-apa sahaja barangan yang mengandungi nama atau simbol dari mana-mana parti politik.
Oleh itu, pastikan anda berpakaian dengan sewajarnya dan bersopan-santun bagi mengelak sebarang syak wasangka!
2. Jangan gunakan telefon anda semasa membuat undian
Anda dilarang sama sekali untuk mengambil gambar atau merakam video dari awal anda tiba ke lokasi mengundi sehinggalah selesai dan keluar dari lokasi tersebut.
Tindakan mengambil gambar kertas undi yang dipangkah adalah menyalahi undang-undang dan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya!
Sekiranya anda ingin juga mengambil gambar jari berdakwatkan biru untuk dimuat naik ke media sosial anda, lakukannya selepas anda betul-betul jauh dari lokasi mengundi.
3. Jangan gunakan kertas undi yang telah rosak, terkoyak, kotor, tanpa nombor siri atau cap rasmi, dan sebagainya
Sekalipun ia hanya terdapat satu kesan kerosakan kecil pada kertas undi anda, pastikan anda meminta kertas undi yang baru dari pegawai bertugas.
Kertas undi anda harus mempunyai semua maklumat yang lengkap dan benar-benar bersih.
Sebaik sahaja anda diberi kertas undi baru, pastikan pegawai yang mengambil kertas undi lama itu membatalkannya agar ianya tidak dapat digunakan lagi oleh pengundi lain.
4. Jangan menyimpan atau membawa sebarang kertas undi keluar dari dewan undi
Jika atas sebab tertentu anda secara tidak sengaja diberikan kertas undi tambahan atau anda mendapati terdapat satu kertas undi di lantai, kembalikan kepada pihak berkuasa dengan segera.
Jangan mengambilnya sebagai cenderahati.
Cukuplah jari berdakwatkan biru sebagai kenangan mengundi anda.
5. Jangan terima makanan, minuman, atau apa-apa barangan percuma lain yang ditawarkan oleh sesiapa sahaja di lokasi mengundi
Ini boleh dianggap sebagai rasuah atau mempunyai motif tersembunyi dan sesungguhnya hukum memberi atau menerima rasuah adalah haram dan merupakan dosa besar. ;)
6. Jangan berkempen di lokasi mengundi
Tidak kira parti politik mana yang anda pilih untuk memimpin negara kita dalam jangka masa lima tahun yang akan datang ini, jalankan tanggungjawab anda dengan mengundi pada hari mengundi esok.
Jangan pula anda berkempen dan bermanifesto di sekitar lokasi mengundi. Perbuatan itu dikhuatiri mengganggu ketenteraman orang sekeliling.
Saling hormat-menghormati parti politik mana yang kita pilih. Hormat-menghormati kan budaya kita. :)
7. Jangan tunggu atau berehat seketika setelah selesai membuat undian anda
Ya, ia juga bertentangan dengan undang-undang untuk menunggu atau berkeliaran di sekitar lokasi pengundian.
Tinggalkan kawasan sebaik sahaja anda selesai!
Kegagalan untuk mengikuti mana-mana perkara di atas boleh mengakibatkan bukan sahaja denda atau penjara tetapi anda juga mungkin dihalang daripada mengundi.
Pilihan Raya hanya berlaku 5 tahun sekali. Jadi, lakukanlah tanggungjawab dengan betul dan pastikan anda mematuhi semua peraturan. Faham?
Untuk senarai penuh kesalahan pilihan raya, layari Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan baca kesemuanya.
Ingin tahu keputusan terkini #PRU14? Ikuti laman ge14.says.com dan dapatkan keputusan secara langsung bagi semua kerusi secara pantas dan tepat!