seismik

Pendaki Tertua Malaysia Ini Berjaya Menjejakkan Kaki Ke ‘Everest Base Camp’ Pada Usia 69

Pendaki berusia 69 tahun itu tiba di EBC yang berada pada ketinggian 5,364 meter dari paras laut.

Cover image via The Malay Mail

James Lee Chong Meng merupakan warga Malaysia tertua yang cuba menawan puncak Gunung Everest, telah berjaya tiba di Everest Base Camp petang semalam

Image via Bernama

Pendaki gunung tertua di Malaysia, yang dikenali dengan nama James Lee Chong Meng, 69 tahun telah berjaya sampai ke Everest Base Camp (EBC) semalam, walaupun buku lalinya terseliuh. Beliau telah berjaya menjejakkan kakinya di kem itu bersama dengan anggota pasukannya kira-kira 3 petang semalam.

Lee bersama lima anggota yang lain, Sherine Leong, 40, Desmond Tee, 56, dan tiga wakil dari Bernama, wartawan Muhammad Afiq Mohd Asri, 25, jurugambar Zulfadhli Zulkarnain, 23, dan Bernama TV jurukamera Fazril Amirul, 23 telah berjaya tiba seperti yang dirancang mengikut jadual.

Ini merupakan cubaan beliau buat kali kedua selepas membatalkan pendakian peringkat akhir ke kemuncak Gunung Everest tahun lalu

Image via Bernama

James melakukan percubaan buat kali kedua ini bertujuan untuk mencetuskan semangat kepada semua peringkat usia agar menjalani hidup sihat dan aktif. Menurut beliau, umur bukan lah penghalang bagi sesiapa untuk mengejar impian mereka.

Sekitar bulan Mei tahun lalu, James telah menyertai Ekspedisi Lions Gunung Everest (MEE) namun beliau terpaksa membatalkan pendakiannya yang terakhir ke kemuncak Gunung Everest kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Walaupun sedikit kecewa, beliau gembira untuk pulang ke rumah dengan selamat ketika itu.

James mengambil keputusan untuk menyambung cabaran Lions MEE itu dengan tema 'Selamatkan Alam Sekitar dan Kekal Sihat' bagi menyampaikan mesej ini kepada masyarakat Malaysia dengan membawa semangat 'Malaysia Boleh'.

Beliau mula meminati aktiviti mendaki ketika berusia 40 tahun

Image via Bernama

James amat meminati mendaki dan beliau telah berjaya beberapa gunung terkenal seperti Gunung Kinabalu, Gunung Rinjani di Indonesia, Gunung Fuji di Jepun dan Gunung Ama Dablam di Nepal.

Menurut laporan, dua dari pendaki yang menyertai ekspedisi, Eugene Kwan Jyh Sin, 47, dan Teng Hee Weng, 48, telah mengalami penyakit gunung (AMS). AMS adalah kesan yang terjadi pada manusia yang berpunca dari tekanan rendah oksigen di kawasan tinggi.

“Mereka telah pulih, bagaimanapun, pemeriksaan kesihatan secara berkala tetap dilakukan bagi memastikan tahap kesihatan kami sentiasa cergas".

“Saya pula dapat mengatasi tekanan emosi dan fizikal dari ‘udara sejuk’ dengan baik. Atas nasihat doktor dan pakar, saya berjaya mengawal pemakanan saya. Dengan itu saya bersyukur bahawa saya masih lagi berdaya untuk meneruskan perjalanan," jelas James.

James dan pasukannya telah sampai ke Kathmandu pada 1 April lepas. Mereka akan menemani James di Everest Base Camp sebelum beliau menyambung perjalanannya ke puncak gunung itu dalam ekspedisi yang dianjurkan oleh Kelab Lions Pantai Port Dickson.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Kalau kisah kali ini tentang pendaki tertua, sebelum ini kami juga ada kisah tentang pendaki termuda dari Malaysia:

You may be interested in: