seismik

Remaja Malaysia Berusia 16 Tahun Ini Berjaya Membawa Dirinya Ke ‘Everest’, Seorang Diri

Muda-muda lagi dah boleh buat tau!

Cover image via star2.com

Baru saja berusia 16 tahun, tetapi pemuda ini sudah berjaya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp

Setelah menonton filem berunsurkan survival yang berjudul Everest, pemuda yang dikenali dengan nama Ishan Siva Ramanathan ini telah berkongsi hasratnya kepada ibu bapa beliau untuk mendaki puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest.

Walaupun di dalam filem itu terdapat pelbagai adegan yang menunjukkan keperitan para pendaki memanjat Everest, tetapi Ishan masih tekad dengan hasratnya itu. Beliau amat kagum dengan kecantikan Gunung Everest dan juga sinematografi yang dipamerkan melalui filem berkenaan.

Beliau telah berazam untuk menjejakkan kakinya ke situ yang mana beliau huraikan sebagai 'tempat terindah di muka bumi'.

Image via Star2

"Pada awalnya, kami tidak membenarkan anak kami ke sana apabila beliau menjelaskan hasratnya itu."

Sudah pasti ibu bapa akan berasa risau apabila si anak mahu mendaki gunung, inikan pula gunung tertinggi di dunia. Ibu Ishan menceritakan bahawa dia berasa agak gementar dan tidak rela untuk melepaskan anaknya ke Nepal.

Namun, apabila anaknya menjelaskan perkara sebenar, ibunya mengalah dan memberikan restu dan kepercayaannya kepada Ishan. "Hakikatnya, bukan saya yang menentukan takdirnya tetapi Tuhan. Oleh itu sebagai ibu bapa, kami akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada anak kami," ujar ibu Ishan.

Bagi mememastikan keselamatan anak mereka, bapanya telah membuat tempahan dengan ajen pelancongan yang berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi yang baik.

Bapanya juga telah berhubung dengan beberapa individu yang akan membimbing anaknya sepanjang perjalanannya di sana. "Bukan itu saja, malah sebagai bapa saya juga telah berbual dengan pemilik syarikat pelancongan beberapa kali untuk mendapatkan maklum balas terhadap perjalanan anak saya," jelas bapanya.

Image via Star2

Pada 10 Oktober 2016, Ishan telah terbang ke Nepal seorang diri bagi memenuhi hasrat beliau mendaki Gunung Everest

Sejurus tiba di lapangan terbang di Kathmandu, beliau telah bertemu dengan pengendali pelancongan dan pendaki lain, John William Strode dari Amerika Syarikat dan dua lagi lelaki iaitu Johnson Lim dari Filipina dan Andrey Garcia dari Brazil. Beliau merupakan ahli yang paling muda di dalam kumpulan tersebut.

"Saya tidak terlalu bimbang. Oleh kerana saya seorang yang aktif bersukan, saya tidak mudah berasa letih dan saya yakin perjalanan ini akan berjalan dengan lancar. Yang merisaukan saya hanyalah ketinggian gunung tersebut kerana saya seorang yang amat gayat, " kata Ishan.

Image via Star2

Pada 12 Oktober, mereka telah berlepas ke Lukla yang juga dikenali sebagai pintu gerbang Everest

"Pemandu kami memberitahu kami untuk menggunakan perkataan yang baik-baik saja ketika berada dalam penerbangan, ini merupakan adat rakyat Nepal disana. Kami menaiki sebuah pesawat kecil yang hanya boleh memuatkan 12 orang. Apabila pesawat ini menyusuri awan putih, saya dapat lihat kemunculan puncak Himalaya yang sungguh menawan. Pemandangan ketika itu sungguh menakjubkan, sama seperti di dalam gambar," cerita Ishan lagi.

Empat pendaki ini memulakan perjalanan mereka pada hari tersebut. Walaupun perjalanan mereka agak panjang dan sejuk, tetapi pemandangan yang indah itu membuatkan mereka lupa akan rasa penat dan perjalanan itu sungguh berbaloi bagi mereka.

Terdapat banyak perkara menarik yang dapat Ishan saksikan dengan matanya sendiri seperti keindahan kampung kecil disitu, bertemu dengan penduduk kampung yang peramah dan juga melihat yak gunung buat pertama kalinya.

Image via Star2

Mereka mendapat gambaran pertama Gunung Everest hanya setelah 4 hari mereka berjalan ke Base Camp. Pemandangan ketika itu sungguh menakjubkan.

Ia merupakan satu pengalaman baru yang tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Perasaan mereka ketika itu amat gembira dan bersyukur kerana diberi peluang untuk menyaksikan pemandangan sebegitu rupa. Pemandangan yang disaksikan oleh mereka itu memberikan dorongan dan motivasi untuk meneruskan perjalanan hingga mereka tiba ke destinasi yang dituju.

"Kami melawat biara Dawa Choling Gompa iaitu sejenis ritual bagi para pendaki di sana. Biara ini mempunyai tenaga yang kuat dan dikatakan bahawa sami dari seluruh dunia telah datang untuk melawat ataupun menetap di sana," cerita Ishan tentang pengalamannya.

Selepas Tengboche, perjalanan mereka menjadi lebih mencabar kerana kecuraman sepanjang laluan itu.

"Sehingga Tengboche, saya sedar akan persekitaran dan saya telah mengambil banyak gambar pada waktu itu. Tetapi selepas kami meneruskan perjalanan, saya mendapati agak sukar untuk saya imbangkan badan dan memberi tumpuan kepada setiap langkah yang diambil. Ketinggian altitud di situ telah mula memberi kesan kepada saya," jelas Ishan.

Akhirnya, pada 16 Oktober Ishan berjaya tiba ke Everest Base Camp

Image via Star2

Syukur. Itu adalah perkataan yang pertama terdetik di fikiran Ishan ketika dia menjejakkan kakinya ke Everest Base Camp.

"Pengalaman ini sungguh berbaloi. Saya merasakan pelbagai emosi ketika waktu itu. Lega, puas, dan sungguh gembira. Saya tidak percaya saya telah melakukannya.

Walaupun bukan hingga ke puncak, tetapi saya rasa sungguh bertuah dapat mengalami pengalaman sebegini. Perasaan yang dialami saya ketika itu tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Ia merupakan pengembaraan yang terbaik sepanjang hidup saya," katanya dengan begitu gembira sekali.

Selain dari mengejar impiannya, pendakian ini bertujuan untuk mengutip dana

Rupa-rupanya, pendakian ini bukan hanya sekadar untuk mencapai impiannya saja, malah Ishan telah memasang hajat untuk mengumpul dana sepanjang melakukan pendakian ini. Melalui pnedakian ini, beliau telah pun berjaya mengutip dana sebanyak RM17,000.

Sumbangan yang dikumpul olehnya akan disumbangkan kepada Ideas Academy iaitu pusat pembelajaran bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen kerakyatan. Akademi ini adalah pusat di mana Ishan telah menjalani latihan industrinya di situ.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Ikuti kisah Adam pula, seorang pelajar OKU yang berjaya memanjat Gunung Kinabalu:

You may be interested in: