seismik

Penganjur Konsert Walkerworld Tour 2024 Tampil Mohon Maaf Isu 'Salah Faham' Putri Ariani

Megatix selaku penganjur percaya terdapat 'salah faham' menyebabkan situasi itu berlaku.

Cover image via SAYS Seismik & Putri Ariani (Facebook)

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Pihak pengurusan acara, Megatix tampil membuat permohonan maaf berhubung isu melibatkan penyanyi Indonesia, Putri Ariani yang didakwa tidak profesional kepada pihak media tempatan sewaktu sidang media konsert Walkerworld Tour 2024 baru-baru ini

Menurut Megatix yang juga selaku penganjur konsert antarabangsa, pihaknya kesal dengan apa yang berlaku dan percaya terdapat salah faham yang menyebabkan tercetusnya situasi berkenaan.

“Kami ingin menjelaskan bahawa Putri Ariani, penyanyi berbakat dari Indonesia dan bintang program realiti American’s Got Talent (AGT), tidak pernah berniat untuk menunjukkan sikap tidak profesional.

“Putri Ariani sangat menghormati pihak media dan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam setiap sesi temu bual,”
katanya dalam satu kenyataan media. 

Tampil perbetulkan tanggapan negatif yang telah dilemparkan terhadap Putri Ariani

Dalam pada itu, Pengarah Megatix Sdn. Bhd. Ridzuan Mohammad berkata, Megatix
telah melantik pihak ketiga untuk menguruskan acara tersebut dan kejadian berlaku adalah di luar kawalan serta pengetahuan pihak kami.

"Untuk makluman rakan media, semasa insiden saya tiada di situasi tersebut kerana keluar seketika bagi meraikan kehadiran tetamu serta tidak sedar akan salah faham yang berlaku antara pihak media dengan Putri Ariani.

"Megatix hanya menyedari salah faham tersebut setelah melihat laporan media bahawa Putri Ariani didakwa telah mengabaikan dan tidak mengendahkan kehadiran rakan media.

"Sejujurnya, kami mahu memperbetulkan tanggapan negatif telah dilemparkan terhadap Putri Ariani kerana menyinggung rakan media Malaysia yang telah menunggu beliau hampir dua jam dan juga tidak muncul semula selepas itu.

"Di sini saya ingin jelaskan punca kekeliruan serta kepincangan komunikasi yang berlaku semasa sidang media tersebut.

Image via SAYS Seismik

"Pihak kami juga telah mengenal pasti pihak dan punca insiden tidak diingini itu namun tidak mahu terus memanjangkan isu dan mengeruhkan keadaan dan kami bersepakat untuk memperbaikinya secara dalaman," katanya.

Jelasnya lagi, insiden itu tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada Putri Ariani dan adalah tidak adil untuk menyalahkan beliau kerana kesilapan komunikasi penganjur yang dilantik oleh pihaknya pada sidang media itu.

Berikutan insiden itu, Putri Ariani menerima kecaman hebat daripada netizen di pelbagai platform media sosial. 

"Seperti rakan media sedia maklum Putri Ariani seorang insan istimewa disayangi ramai peminat muzik di berdiri atas bakat suara luar biasanya, dan dari segi personaliti beliau sorang yang positif, periang dan baik hati. 

"Megatix khuatir kecaman daripada netizen ini bakal memberi kesan terhadap emosi Putri Ariani seterusnya menjejaskan persembahan beliau.

"Putri Ariani mencetus fenomena sebelum ini di pentas antarabangsa apabila menerima Gold Buzzer daripada Simon Cowell, beliau juga antara duta kecil Indonesia dalam arena muzik sama ada di peringkat serantau atau pun antarabangsa," ujarnya.

Ambil iktibar dan teladan dalam pengurusan acara pada masa hadapan serta bersedia menerima teguran mahu pun nasihat rakan media

Tambah Ridzuan lagi, pihaknya sangat menghargai dan menyanjung tinggi kerjaya, laporan dan liputan berita berterusan media tempatan.

"Menyedari insiden tidak disengajakan ini mengguris hati rakan media, Megatix dan saya Ridzuan Mohammad, selaku Pengarah Megatix Sdn Bhd dengan rasa rendah hati memohon maaf kepada semua rakan media.

"Kami sangat menyesali insiden salah faham yang berlaku dalam sidang media sebelum ini dan sedar ia adalah atas khilaf kami.

"Megatix sekali lagi memohon seribu kemaafan diatas ketidaksempurnaan serta profesionalisma yang terjadi semasa sidang media baru-baru ini.

"Megatix berharap rakan media akan terus memberikan sokongan kepada Megatix dan sedia menerima penjelasan maaf kami.

"Megatix juga telah menyatakan permohonan maaf kami secara terbuka di laman media sosial rasmi kami di Instagram juga Facebook terhadap pihak terkesan.

"Megatix sedar ini turut memberi tempias dan kesan kepada peminat muzik serantau dan kami dengan rendah hati memohon kemaafan dan berharap isu ini tidak lagi didebatkan.

"Megatix juga mengambil iktibar dan teladan dalam pengurusan acara pada masa hadapan dan bersedia menerima teguran mahu pun nasihat rakan media," katanya.

Untuk rekod, WalkerworldTour 2024 merupakan konsert jelajah Alan Waker bakal diadakan di Surf Beach Sunway Lagoon pada 22 Jun ini

Alan Walker yang juga merupakan DJ dan produser muzik EDM kelahiran Norway bakal diiringi dengan persembahan artis jemputan seperti Putri Ariani, Robin Packalen dan Sofiloud.

Terdahulu Putri Ariani didakwa bersikap tidak profesional terhadap pihak media tempatan apabila membiarkan mereka menunggu selama dua jam bagi menyambung sesi wawancaranya selepas sidang media konsert itu berakhir.

Pihak media juga melaporkan mereka hanya berpeluang melontarkan tiga soalan yang dijawab secara ringkas oleh Putri Ariani pada sidang media tersebut, menyebabkan permintaan dibuat kepada penganjur untuk sesi temubual bersama penyanyi itu dapat dilakukan semula.

Image via SAYS Seismik

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Baca lagi artikel menarik lain hanya di SAYS Seismik:

You may be interested in: