Peniaga Kenakan Caj Tersembunyi Dalam Penjualan Bakal Berdepan Tindakan Denda RM100,000
KPDN mewajibkan penyedia perkhidmatan mempamerkan senarai harga serta caj yang dikenakan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan tegaskan amalan mengenakan caj tambahan atau caj tersembunyi yang hanya dimaklumkan pada peringkat akhir transaksi adalah satu kesalahan serius dan tidak akan dikompromi mengikut undang-undang
Menerusi laporan Harian Metro, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata tindakan tegas boleh diambil mengikut Seksyen 10B(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang mewajibkan mana-mana pihak mempamerkan, mengiklankan atau menyiarkan harga barangan atau perkhidmatan dengan memasukkan semua cukai, duti, cukai kerajaan dan apa-apa caj lain dalam harga yang dipaparkan.
Menurut beliau, amalan memaparkan harga asas tanpa mendedahkan caj sebenar bukan saja mengelirukan, malah menjejaskan hak pengguna untuk membuat keputusan pembelian secara telus dan bermaklumat, khususnya dalam sektor perkhidmatan, makanan dan minuman (F&B) serta e-dagang.
"Prinsip ini turut diperkukuh menerusi Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Harga Terangkum yang menghendaki harga akhir dipaparkan dengan mengambil kira komponen harga asas, caj perkhidmatan dan caj penghantaran sebelum pengguna membuat pengesahan tempahan.
"Jika berlaku pelanggaran mengikut Seksyen 10B Akta 723, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan penalti denda sehingga RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Kementerian turut mempunyai punca kuasa yang kukuh di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599]
"Di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta 599, adalah menjadi kesalahan sekiranya peniaga memberikan gambaran mengelirukan berhubung harga barangan atau perkhidmatan.
"Seksyen 12(3)(c) memperuntukkan sesuatu gambaran harga adalah mengelirukan sekiranya harga dipaparkan memberikan tanggapan merangkumi semua perkara, sedangkan terdapat caj tambahan yang dikenakan secara berasingan.
"Malah, Seksyen 9 dan 10 akta berkenaan turut melarang perlakuan atau representasi palsu dan mengelirukan berkaitan sifat serta ciri sesuatu barang atau perkhidmatan sama ada di premis fizikal mahupun urus niaga perniagaan secara elektronik," jelasnya.
Menurut beliau, kesalahan di bawah Akta 599 boleh dikenakan penalti mengikut Seksyen 145 akta sama, iaitu denda sehingga RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala individu berdepan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
KPDN mewajibkan penyedia perkhidmatan mempamerkan senarai harga serta caj yang dikenakan
Aspek ini perlu disediakan dalam keadaan yang mudah dilihat dan jelas di mana ia tertakluk di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.
Armizan turut memberi jaminan bahawa KPDN akan meneruskan pemantauan serta penguatkuasaan secara berkala.
Beliau turut menyeru pengguna agar sentiasa menyemak jumlah harga akhir sebelum membuat bayaran dan menyalurkan aduan rasmi sekiranya mendapati terdapat amalan caj tersembunyi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via