"Saya Tak Risau" - Video Islam Yahudi Viral Dan Dikritik Hebat, Ini Penjelasan Dari Kokom
Nampaknya, ada segelintir masyarakat yang tak faham dengan mesej tersirat yang cuba Kokom sampaikan.
Baru-baru ini, YouTuber popular tempatan Mr Kokom telah mengeluarkan sebuah video berjudul 'Islam Yahudi' yang telah mendapat perhatian ribuan netizen
Video ini menyentuh isu sensitif yang sedang hangat diperkata oleh orang ramai seperti LGBT, hubungan songsang, undang-undang Islam dan lain-lain.
Mendapat tontonan sebanyak 1.2 juta setelah hanya seminggu dimuat naik, video ini menceritakan tentang seorang lelaki lembut memberi sebab mengapa dia berpakaian dan berkelakuan seperti wanita.
Untuk tahu lebih lanjut, saksikan di bawah:
Seperti yang dijangka, mana-mana video yang menyentuh isu sensitif pastinya akan mendapat kritikan dari segelintir netizen.
Video ini turut tidak terlepas.
Namun begitu, video ini turut menerima lambakan komen positif yang masing-masing menyokong dan memahami mesej tersirat yang cuba disampaikan
Kami sempat menghubungi Kokom untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai video tersebut.
Menurut Kokom, pihaknya sudah menjangka untuk menerima cemuhan daripada penyokong LGBT dan pendukung hak asasi manusia.
Meskipun begitu, Kokom tidak sama sekali berasa risau kerana mesej yang ingin disampaikan jelas dan hanya dituju kepada masyarakat Islam.
"Pertama sekali, sebelum kita kongsikan sesebuah video, kita kena faham siapa audience kita, apa mesej yang nak disampaikan, dan kepada siapa mesej itu disampaikan.
"Secara natural, video tersebut menghasilkan 99 peratus komen positif. Kemudian datang 'sharer' dan 'media'. Kedua-dua pihak ini yang menentukan persepsi yang dihasilkan kepada audience mereka," kata Kokom.
Tambahnya lagi, jika media menilai sesuatu video dari sudut pandang negatif, dengan meletakkan tajuk yang negatif, disiarkan pula kepada audience yang negatif, maka terhasillah komen dan maklum balas yang negatif.
"Sebagai contoh, jika video kami disiarkan oleh media atau individu yang menyokong pergerakan LGBT, dengan tajuk dan deskripsi yang negatif, maka maklum balas yang kami terima semestinya 90 peratus negatif.
"Ini disebabkan audience mereka memang menolak mentah-mentah kandungan yang dibawa oleh video tersebut. Mereka tidak suka hal-hal agama, hal-hal yang tidak mengangkat hak asasi manusia dan hal-hal yang mereka rasa 'terkebelakang'," kata Kokom lagi.
Kokom menjelaskan komen negatif mula tercetus di Twitter apabila seorang netizen berpengaruh memuat naik video tersebut dengan tajuk yang negatif
"Kami lihat ada seorang netizen dengan ramai pengikut di Twitter telah memuat naik video tersebut dengan tajuk yang negatif. Dari situ, negativity terus tersebar dengan pantas. Di Facebook, kebanyakan komen adalah positif. Kami dapat lihat dengan jelas bahawa kedua-dua platform ini membawa perspektif yang berbeza.
"Untuk makluman, kami telah lakukan kajian tentang video dan isu-isu viral sejak tahun 2016 lagi. Jadi, setiap perkara viral yang positif dan negatif kami dapat kenal pasti kenapa ia dikecam, kenapa ia disokong," jelas Kokom.
Dalam video tersebut, Kokom turut memaparkan babak seorang Muslim yang disangkakan non-muslim.
Ini maksud yang cuba disampaikan:
"Zaman sekarang ini, orang bukan Islam bertubi-tubi menyerang Islam dan segelintir mereka menganggap undang-undang Islam patut dihapuskan. Malah, Islamophobia di serata dunia pun semakin tersebar luas.
"Dalam babak 'non-muslim' tersebut, ia menunjukkan walaupun ramai orang bukan Islam kini menyerang Islam, masalah terbesar sebenarnya terletak pada orang Islam sendiri yang berperangai seperti orang bukan Islam," tegas Kokom.
Kokom turut menyelitkan mesej tersirat untuk orang bukan Islam.
"Mesej yang cuba saya sampaikan melalui video saya adalah ditujukan kepada orang Islam. Namun, saya turut menyelitkan sedikit teguran kepada orang bukan Islam untuk tidak masuk campur atau mengatakan sesuatu tentang hukum-hukum agama Islam yang mereka sendiri tidak faham.
"Tetapi lebih utama ialah mesej kepada orang Islam sendiri yang tidak tahu pun tentang Islam. Benar, agama Islam memang mengajar dan memupuk tentang kedamaian. Tetapi adakah dengan alasan itu, orang Islam boleh dengan rela hati membiarkan orang bukan Islam untuk menindas dan memijak agama Islam? Semestinya tidak boleh," tegas Kokom lagi.
Akhir sekali, Kokom memberitahu bahawa dia lebih rela dikecam kerana menegakkan perkara yang benar daripada disokong kerana melakukan perkara yang salah
"Biarlah saya dikecam sekali pun. Apa yang saya tahu, saya ingin menyampaikan dakwah dengan mesej yang jelas. Bagi saya, tiada apa yang perlu saya risaukan kerana apabila perkara itu benar, maka ia benar dari sudut pandang agama Islam. Saya tak perlukan orang bukan Islam untuk setuju dengan mesej saya.
"Satu soalan yang anda semua perlu tanya ialah, adakah orang Islam tidak mempunyai jati diri sehingga mereka lebih sanggup menggadaikan agama, semata-mata untuk membela orang yang menghina agama mereka? Tanyalah diri sendiri dan carilah jawapannya," kata Kokom.