Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet & Media Sosial Disifatkan Berdaftar Bermula 1 Januari 2026
Platform dengan lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan tertakluk di bawah lesen ASP(C).
Cover image via Business Insider & The Malaysian ReserveFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Artikel ini ditaja oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen bermula 1 Januari 2026
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, langkah itu dilaksanakan menerusi pengetepian formaliti pendaftaran di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atau dikenali sebagai Peruntukan Deeming.
Menerusi pendekatan ini, semua penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia akan tertakluk di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)).
Menurut MCMC, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan platform terlibat beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia negara secara lebih teratur, konsisten dan berkesan.
Langkah itu juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025, bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
Selain itu, pelaksanaan Peruntukan Deeming ini bertujuan memastikan platform digital memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.
Pelaksanaan ini akan melibatkan penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, dan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar
MCMC menjelaskan, penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, manakala pelaksanaan ini hanya berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
Dalam pada itu, penyedia perkhidmatan terlibat akan terus beroperasi melalui platform global mereka seperti biasa, selaras dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.
MCMC turut memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak dan keluarga, demi manfaat semua pengguna di Malaysia.
Maklumat lanjut berhubung pelaksanaan Peruntukan Deeming boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi MCMC.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

