Ingat Lagi 4 Perkhidmatan 'Instant Messaging' & 'Chatroom' Yang Popular Suatu Masa Dahulu?
Sebelum kewujudan WhatsApp, Telegram, WeChat dan lain-lain.
Umum sudah sedia maklum bahawa aplikasi ‘chat room’ atau ruang bersosial, Yahoo! Messenger yang sangat popular suatu masa dahulu akan menghentikan operasinya pada 17 Julai ini
Sebelum wujudnya aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, WeChat dan seumpamanya dalam kehidupan harian, mereka yang berusia 20 tahun ke atas telah menggunakan medium lain untuk tujuan berkenalan dengan kenalan baru di samping mengeratkan lagi hubungan rakan-rakan, ahli keluarga sedia ada, tidak kira yang jauh mahupun dekat.
Berikut adalah 4 perkhidmatan Instant Messaging dan Chat Room yang cukup popular di Malaysia suatu ketika dahulu:
1. Yahoo! Messenger
Yahoo! Messenger pertama kali membuat debutnya sebagai Yahoo! Pager pada tahun 1998, merupakan alternatif kepada email dan SMS pada peranti mudah alih.
Yahoo! Messenger merupakan salah satu platform interaksi yang cukup popular suatu ketika dahulu kerana aplikasinya yang menawarkan emoji menggambarkan emosi ketika sedang berinteraksi chat room YM.
Emoji 'smiley', 'lovestruck', 'call me', 'hug me', 'blushing', 'clown' dan 'surprise' serta butang 'Buzz' begitu ikonik dan pasti akan diingati sampai bila-bila!
Jika anda mempunyai maklumat penting yang tersimpan dalam Yahoo! Messenger, anda masih boleh memuat turun sejarah chatting anda pada 'laman permintaan pemuat turun' atau 'downloader request site' dengan Yahoo ID anda sebelum 17 Julai.
Walaupun medium ini bakal ditutup, Yahoo ID anda masih akan berfungsi untuk kegunaan Yahoo lain seperti emel.
2. MSN Messenger
MSN Messenger diperkenalkan oleh Microsoft pada tahun 1999 dan berkembang menjadi medium komunikasi popular oleh kebanyakkan orang sepanjang tahun 2000-an.
Menjelang tahun 2009,MSN Messenger mempunyai lebih daripada 330 juta pengguna aktif bulanan.
Selain mempunyai butang 'Nudge', yang menjadikan MSN Messenger unik dan lain daripada yang lain adalah ia mempunyai ciri dimana pengguna boleh meletakkan ‘Show what I’m listening to’ atau lagu yang didengari pada ketika itu sebagai status.
Perkhidmatan MSN Messenger bagaimanapun dijenamakan semula sebagai Windows Live Messenger pada tahun 2005 sebelum ia ditutup sepenuhnya pada 2014, dengan pengguna digalakkan untuk berpindah ke Skype.
3. mIRC
Internet Relay Chat (IRC) merupakan medium komunikasi pelbagai pengguna di zaman awal penggunaan internet di Malaysia.
IRC secara kasarnya lebih kepada bilik borak (chatroom) tetapi dibahagikan kepada beberapa saluran (channel) dengan topik-topik atau kumpulan-kumpulan tertentu.
Sebagaimana chatroom yang lain, dalam satu-satu channel tersebut mungkin terdapat ratusan pengguna yang keluar dan masuk dan interaksi yang berlaku adalah amat pantas sekali.
Istilah yang paling kerap digunakan setiap kali berkenalan dengan kenalan baru sudah tentu ASL.
Bagi yang tidak tahu, ASL bermaksud Age, Sex dan Location.
4. BBM
Sebelum kewujudan telefon pintar atau smartphone, Blackberry Messenger (BBM) merupakan aplikasi pesanan ringkas dan segera yang sangat popular sekitar tahun 2005 kerana ianya tidak menggunakan kredit telefon.
BBM yang pada asalnya dicipta untuk peranti Blackberry dilihat sebagai cara mudah untuk menghantar mesej segera kepada pengguna BBM lain sehingga popularitinya melonjak dan mempunyai 190 juta pengguna BBM di seluruh dunia.
BBM sangat mudah digunakan kerana setiap pengguna akan diberikan "PIN" unik dan pengguna hanya perlu menggunakan sama ada kod QR atau berikan PIN tersebut kepada pengguna BBM yang lain untuk berhubung tanpa perlu memberi nombor telefon.