Pernah Jadi ‘Akak Cleaner’, Wanita Ini Buktikan Usaha Gigih Mampu Bergelar Pensyarah Kanan
Difahamkan, beliau kini masih meneruskan kerja pembersihan secara sambilan.
Cover image via Sinar PlusFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Siapa sangka, wanita yang pernah bekerja sebagai 'akak cleaner' kini bergelar pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM)
Menurut laporan Sinar Plus, Dr Asmaa Akmal berkongsi kisah perjalanan hidupnya menerusi Threads selepas kisah tersebut mendapat perhatian ramai.
Menurutnya, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur pada 2018 selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda dengan hanya RM20 dalam akaun bank.
Bagi meneruskan kelangsungan hidup sambil menyambung pengajian, Asmaa bekerja sebagai pembantu pembersihan selama enam tahun.

"Sebelum saya jadi pensyarah kanan, saya bekerja sebagai janitor atau dengan lebih senang dikenali sebagai akak cleaner yang usung vacuum setiap hari.
"Enam tahun saya kerja ni sambil sambung belajar. Kita akan boleh berjaya jika kita berusaha sebaik-baiknya," kongsinya.
Sepanjang tempoh itu, beliau membahagikan masa antara bekerja dan belajar, selain melalui pelbagai cabaran serta menitiskan banyak air mata
"Terlalu banyak air mata tumpah sepanjang perjalanan ini, tapi saya tahu Allah itu Maha Mendengar. Kali pertama saya datang bekerja di KL pada tahun 2018 selepas tamat ijazah, akaun bank saya hanya ada RM20.
"Masa muda banyak dihabiskan dengan cari duit dan belajar. Kerja keras tidak akan mengkhianati kita," ujarnya.
Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila Asmaa, pada usia 30 tahun, diserap sebagai pensyarah tetap di Akademi Pengajian Melayu, UM selepas berkhidmat secara kontrak selama satu tahun 10 bulan.

"Saya bergelar pensyarah tetap pada umur 30 tahun. Alhamdulillah, cukup satu tahun 10 bulan sebelum diserap menjadi pensyarah tetap di Universiti Malaya. Terima kasih Universiti Malaya dan Akademi Pengajian Melayu atas peluang yang diberikan.
"Terima kasih kepada kawan-kawan yang selalu mendoakan dan menyokong saya. I turned 'maybe someday' into 'watch me now'," katanya lagi.
Menariknya, Asmaa masih meneruskan kerja pembersihan secara sambilan dan kini mempunyai syarikat perkhidmatan pembersihan sendiri.
"Saya masih buat part time cleaner sebab dah ada syarikat sendiri. Sekarang suami sahaja yang banyak uruskan syarikat itu," tambahnya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


