Pernah Jadi Peminjam PTPTN, Kini Giliran Kami Untuk Bantu Pelajar Lain

Siapa sangka dengan jasa PTPTN mampu mengubah hidup dua graduan ini!

Enlarge text
Cover Image

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Masa zaman belajar di universiti dulu, anda ingat lagi tak momen poket kering sampai kena catat setiap sen yang keluar?

Bagi sebahagian besar anak muda, kos sara hidup dan yuran pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) boleh jadi satu bebanan yang agak berat. Ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, memang terasa bebannya.

Mujurlah ada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sentiasa jadi 'talian hayat' untuk kita semua.

Baru-baru ini, kami sempat menemu bual beberapa bekas peminjam PTPTN, yang kini mempunyai karier masing-masing. Mereka tampil berkongsi kisah inspirasi bagaimana bantuan PTPTN bukan sahaja mengubah hidupnya, malah membuka jalan untuknya membantu generasi akan datang.

"Saya mampu 'survive' zaman belajar hanya dengan duit pinjaman PTPTN tanpa bergantung kepada kewangan ibu bapa "

Menurut Nurul Asyikin, 31 tahun, beliau yang menyambung pelajaran di UiTM Arau, Perlis memaklumkan faktor kewangan antara yang menjadi pertimbangan beliau untuk meneruskan pembelajaran.

"Mak ayah saya kerja biasa-biasa je kat kampung. Bila dapat surat tawaran, seronok tu memang seronok, tapi dalam masa yang sama risau fikir pasal kos. Alhamdulillah, proses mohon PTPTN masa tu sangat lancar. Duit poket yang masuk setiap semester tulah yang saya guna untuk bayar yuran, beli buku, dan tampung makan minum," katanya.

Mengetahui keadaan yang dialami, beliau memilih untuk komited dalam pembelajaran sewaktu ijazah sehingga dianugerahkan Anugerah Naib Canselor sekali gus membolehkan pembayaran PTPTN sewaktu ijazah mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman.

"Segalanya lebih mudah dengan adanya PTPTN"

Bagi Abdul Abbas, 31 tahun pula, PTPTN sememangnya menjadi medium dalam memastikan proses pembelajaran beliau sewaktu di IPTA menjadi lebih mudah.

Baik dari segi yuran pembelajaran, pengurusan diri dan sebagainya diuruskan dengan menggunakan pinjaman PTPTN dengan lebih berhemah. 

"Menjadi peminjam PTPTN memberi kelebihan kepada saya untuk mempunyai lebihan wang sekali gus tidak perlu memikirkan soal pembayaran yuran setiap semester"

Kini, beliau menerusi jenama Vaska berjaya membina sebuah jenama yang dikenali ramai menerusi penjualan beg serta produk melibatkan barangan kulit.

Mula membayar balik atas dasar tanggungjawab

Selepas menamatkan pengajian dan memperoleh pekerjaan, kedua-dua graduan ini mengambil langkah untuk mula membuat bayaran balik pinjaman yang pernah membantu mereka.

Menurut Nurul Asyikin, beliau mula membuat bayaran balik beberapa bulan selepas mendapat pekerjaan kerana tidak mahu hutang yang ditanggung tertangguh dalam tempoh yang panjang.

"Saya rasa hutang itu perlu dibayar segera agar tidak menjadi beban kepada diri sendiri. Ditambah pula dengan pilihan kaedah bayaran balik yang disediakan oleh PTPTN dengan lebih fleksibel dan mudah, saya tidak merasa beban untuk membayarnya semula".

Abbas pula berpendapat pinjaman PTPTN yang diambil wajar dibayar semula agar generasi seterusnya dapat terus memanfaatkannya bagi tujuan menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

"Saya mula membayar PTPTN sebaik sahaja tamat pengajian di peringkat ijazah. Menerusi perniagaan yang diusahakan sewaktu ijazah, saya mampu untuk membayar komitmen PTPTN secara ansuran.

Semuanya saya lakukan dalam memastikan generasi seterusnya dapat terus memanfaatkan peluang meminjam PTPTN bagi meneruskan pembelajaran," katanya.

Hati rasa lebih tenang apabila dapat langsaikan hutang pinjaman PTPTN

Mengulas mengenai kaedah pembayaran, Nurul Asyikin memaklumkan beliau memilih secara ansuran sebanyak RM100 sebulan sewaktu beliau mula bertugas selepas meraih ijazah.

Meskipun dikecualikan pembayaran pinjaman sewaktu ijazah, beliau membayar hutang PTPTN yang dimohon sewaktu pengajian peringkat diploma.

Walau bagaimanapun, menerusi tabungan yang dibuat beberapa tahun, beliau memilih untuk melangsaikan baki pinjaman sekali gus pada tahun lalu.

"Selepas mendapat pekerjaan tetap, saya terus mula membuat bayaran balik sedikit demi sedikit. Melihat kepada jumlah baki pinjaman yang tinggal sedikit sahaja lagi, saya memilih untuk melangsaikannya semua sekali.

Semuanya dilakukan agar hati lebih tenang tanpa terikat dengan hutang PTPTN," katanya.

Berbeza pula dengan Abbas di mana beliau memilih untuk membuat bayaran secara ansuran bulanan secara konsisten.

"Saya memilih untuk membuat bayaran balik PTPTN menerusi potongan debit terus. Menerusi kaedah ini, saya mampu memantau keadaan kewangan saya sekali gus merancang kewangan saya dengan lebih teratur".

Beliau turut akui, hasil pinjaman PTPTN yang diambil sewaktu menyambung pelajaran peringkat ijazah secara tidak langsung membantu beliau dalam mengembangkan bisnes yang diusahakan.

Bayaran balik buka peluang peminjam generasi seterusnya melanjutkan pelajaran

Selain memenuhi tanggungjawab sebagai peminjam, kedua-dua graduan ini turut melihat bayaran balik PTPTN sebagai satu usaha yang memberi manfaat kepada pelajar lain.

Bagi Nurul Asyikin, beliau berasa bangga apabila mengetahui setiap bayaran yang dibuat berpotensi membantu lebih ramai pelajar meneruskan pengajian tanpa terlalu membebankan keluarga mereka.

"Saya berharap bakal peminjam PTPTN diberikan peluang yang sama pernah saya alami untuk berjaya dan mencapai impian masing-masing. Perkara ini menguatkan saya lagi untuk segera melangsaikan pinjaman PTPTN" katanya.

Abbas pula percaya setiap bayaran yang dibuat mampu membantu pelajar lain mencapai masa depan yang lebih baik melalui pendidikan.

"Saya merasakan ia adalah satu langkah yang baik kerana bayaran yang dibuat dapat membantu pelajar lain mencapai masa depan yang lebih baik melalui pendidikan," katanya.

Bermula dengan jumlah yang kecil

Ketika ditanya mengenai pesanan kepada peminjam yang masih belum memulakan bayaran balik pinjaman PTPTN, kedua-dua graduan ini mempunyai pandangan yang sama iaitu mulakan dahulu mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Abbas pula menggalakkan peminjam supaya tidak menangguhkan bayaran dan bermula walaupun dengan jumlah yang kecil. Culas membuat bayaran dalam tempoh yang panjang mungkin menyukarkan seseorang peminjam jika dibiarkan begitu lama.

"Sekiranya tidak mampu bayar semua sekali gus, adalah lebih baik untuk membuat bayaran secara ansuran agar tidak memberi kesan yang buruk kemudian hari," katanya.

Ayuh pasang cita-cita untuk langsaikan bayaran balik pinjaman PTPTN anda demi kelestarian pendidikan generasi akan datang!

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS