Persiap Malaysia Hadapi Negara Tua, Anugerah HAPI Ke-5 Raikan Inovasi Warga Emas Di KL
Anugerah itu merangkumi tiga kategori utama iaitu Care & Wellbeing (Penjagaan dan Kesejahteraan), Social Engagement (Penglibatan Sosial) dan Supportive Environments (Persekitaran yang Menyokong).
Cover image via Japan Center for International Exchange (JCIE)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Usaha memartabatkan kesejahteraan warga emas terus diperkasa apabila Japan Center for International Exchange (JCIE) bersama Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) meraikan pencapaian para inovator menerusi majlis anugerah Healthy Aging Prize for Asian Innovation (HAPI) edisi ke-5 yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur baru-baru ini
Anugerah berprestij itu memberi penghormatan kepada penyelesaian inovatif perintis yang berpotensi menjadi sumber inspirasi serta panduan praktikal kepada masyarakat menua di seluruh rantau Asia, merangkumi tiga kategori utama iaitu Care & Wellbeing (Penjagaan dan Kesejahteraan), Social Engagement (Penglibatan Sosial) dan Supportive Environments (Persekitaran yang Menyokong).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCIE, Isao Kano menjelaskan bahawa pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah edisi kali ini amat signifikan memandangkan Malaysia kini sedang giat membuat persiapan menghadapi perubahan struktur demografi penduduk. Malaysia diunjurkan beralih menjadi sebuah negara tua dalam tempoh sekitar 20 tahun apabila populasi penduduk berusia 65 tahun ke atas mencecah lebih 14 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat.
Sehubungan itu, penganjuran HAPI menjadi platform tepat pada masanya untuk berkongsi amalan terbaik rentas sempadan dalam mendepani cabaran peningkatan populasi warga emas.

Sebanyak 14 organisasi dari tujuh negara dan wilayah iaitu Jepun, Korea Selatan, Hong Kong SAR, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina diiktiraf atas sumbangan cemerlang mereka memajukan agenda penuaan sihat
Bagi kategori Penglibatan Sosial, organisasi NOLLUWA dari Korea Selatan yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mun-Hwan Cho, dinobatkan pemenang Anugerah Utama menerusi projek Local Libero for Regional Revitalization and Sustainability. Program berkenaan berjaya memupuk kerjasama antara generasi di samping menghidupkan semula komuniti luar bandar yang berdepan kepupusan populasi muda.
Sementara itu, Anugerah Utama bagi kategori Persekitaran yang Menyokong diberikan kepada Fukuoka City, Jepun, yang diwakili Timbalan Datuk Bandarnya, Dr. Yasuko Arase. Inisiatif bertajuk Fukuoka Dementia-Friendly Design tersebut memfokuskan reka bentuk persekitaran awam yang inklusif dan mudah diakses bagi menyokong kualiti hidup individu yang menghidap demensia.
Selain meraikan kejayaan penerima anugerah, platform HAPI turut membuka ruang kepada penggubal dasar, inovator, dan pemegang taruh serantau untuk bertukar pandangan serta menyesuaikan solusi berkenaan mengikut landskap sosioekonomi komuniti masing-masing di Asia.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


