Pertama Di Malaysia, Penghantaran Sampel Darah Guna Dron Antara HOSHAS & Hospital Bera Cipta Sejarah
Inovasi dron perubatan, Alphaswift perkukuh logistik HOSHAS Temerloh dan Hospital Bera.
Cover image via AlphaswiftFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Alphaswift Industries Sdn. Bhd. baru-baru ini meraikan kejayaan penganjuran Projek Bukti Konsep (Proof of Concept – PoC) Penghantaran Dron Perubatan menerusi inovasi teknologi dron bagi pengangkutan sampel darah antara Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh dan Hospital Bera dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Projek ini mencatatkan sejarah sebagai inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia yang memanfaatkan teknologi dron untuk penghantaran sampel darah antara dua buah hospital, sekali gus membuka potensi baharu dalam memperkukuh sistem logistik penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan pantas.
Majlis pengiktirafan yang diadakan di Hospital Bera turut menjadi platform bagi menghargai sumbangan pelbagai rakan strategik, di samping mengkaji peluang penerokaan teknologi bagi menyokong keperluan sistem kesihatan negara.

Penggunaan dron dalam logistik perubatan memberi pilihan laluan alternatif yang lebih fleksibel, terutamanya bagi pergerakan sampel antara fasiliti kesihatan di kawasan yang memerlukan kecekapan tinggi.
Majlis berkenaan disempurnakan dengan kehadiran YB Dato' Ir. Razali bin Kassim yang mewakili Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Pengarah Hospital Bera, serta wakil rasmi KKM, MaHTAS, MRANTI dan rakan industri teknologi.
Pahang sebagai tapak inovasi & jaminan piawaian kawal selia
Pelaksanaan projek ini memberi nilai strategik kepada Negeri Pahang dalam menerokai aplikasi teknologi termaju untuk perkhidmatan kesihatan peringkat negeri.
Keberhasilan PoC ini bakal dijadikan asas panduan bagi penilaian operasi dan pembangunan kerangka kawal selia logistik dron perubatan pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alphaswift Industries Sdn. Bhd., Dr. Shian Lee mendedahkan bahawa projek PoC bersama KKM ini mengambil masa dua tahun persediaan bagi memenuhi pematuhan kawal selia yang ketat.
"Pencapaian ini membuktikan bahawa penyelesaian penghantaran perubatan menggunakan dron kami adalah selamat dan boleh dipercayai, selain mempunyai potensi besar untuk memperluaskan akses kepada penjagaan kesihatan," jelas beliau.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


