"Saya Akan Pulangkan Semula Wang Tag Nama Khat" - Pesakit Kanser Limfoma Meninggal Dunia
Budin disahkan meninggal dunia pada 14 November pukul 8.05 malam.
Sebelum ini tular di laman-laman sosial seorang pesakit kanser limfoma mengambil tempahan nametag khat dari atas katil demi menampung kos hospital
Terkini, Budin atau nama penuhnya Mohd Izzudin Zainal disahkan telah meninggal akibat jangkitan pada paru-paru pada 14 November pukul 8.05 malam di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Menurut isterinya, Suzana Muhamad Tab, sebelum itu arwah Budin masih berusaha menyiapkan beberapa tempahan tag nama meskipun dalam keadaan sesak nafas.
“Pagi itu tahap oksigen arwah semakin menurun dan semua bacaan lain pada mesin mulai menurun.
“Sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, doktor tetap berusaha memberi bantuan pernafasan di depan saya,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Tambah Suzana lagi, dia meminta maaf suaminya tidak dapat menyelesaikan tempahan nametag khat yang diterima mereka
Ekoran daripada itu, dia berjanji akan memulangkan semula wang tersebut pada mereka yang telah membuat tempahan.
“Saya minta maaf. Sesiapa yang sudah membuat bayaran untuk tempahan tag nama, saya akan pulangkan semula wang mereka.
“Mereka yang sudah mendapat tag nama, itulah kenangan ditinggalkan,” luah Suzana.
Allahyarham telah meninggalkan dua cahaya mata lelaki, Sulaiman, 5, dan Isa, 3
Dia yang sebelum itu bekerja sebagai seorang guru terpaksa berhenti kerja disebabkan penyakit yang dihidapinya dan mula mengambil tempahan nametag khat dari atas katil hospital demi membayar kos rawatan di samping menanggung keluarganya.