Platform UHIT 2026 Pacu Standard Pelancongan Mesra Muslim, Selaras Dengan Aspirasi ‘Visit Malaysia 2026’

Saudi Vision 2030 membuka peluang luar biasa bagi pengendali umrah di Malaysia untuk meningkatkan kecemerlangan operasi masing-masing.

Enlarge text

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (BUMITRA Malaysia) secara rasmi melancarkan Inisiatif 'Al-Qawiy Al-Amin' dalam usaha mengangkat kualiti perkhidmatan dan profesionalisme industri pelancongan umrah negara ke tahap tertinggi

Rentetan pelancaran itu diumumkan oleh Presiden BUMITRA Malaysia, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin, sempena Pameran Pelancongan Umrah, Haji dan Antarabangsa (UHIT) 2026 Edisi ke-15 yang dirasmikan hari ini di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur.

Program berskala besar hasil kerjasama BUMITRA Malaysia dan Perfect Events di bawah pimpinan Anees H. Dahlan ini berfungsi sebagai platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B) utama yang menghubungkan pengendali tempatan dengan rakan industri antarabangsa seperti rantaian hotel, syarikat pengurusan destinasidan penyedia logistik pengangkutan.

SAYS.com
Image via Islamic Tourism Centre (Facebook)

Majlis perasmian acara tersebut telah disempurnakan oleh Encik Mohammad Faisal bin Abu Suaib Khan, Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC). Dalam ucapan utamanya, beliau menegaskan bahawa pelancongan Islam bukan sekadar memenuhi keperluan asas pelancong Muslim, tetapi menuntut tahap kepercayaan, kesiapsiagaan perkhidmatan, serta tadbir urus yang cemerlang agar industri pelancongan Malaysia terus berdaya saing di peringkat global.

Beliau turut menambah bahawa transformasi pesat sektor umrah dan haji global yang digerakkan oleh Saudi Vision 2030 membuka peluang luar biasa bagi pengendali umrah di Malaysia untuk meningkatkan kecemerlangan operasi masing-masing.

BUMITRA Malaysia lancar inisiatif 'Al-Qawiy Al-Amin'

Inisiatif 'Al-Qawiy Al-Amin' yang diperkenalkan oleh BUMITRA Malaysia berpaksikan kepada nilai kompetensi, profesionalisme, integriti, ketelusan dan akauntabiliti bagi memupuk keyakinan masyarakat terhadap agensi pelancongan.

ITC menyambut baik inisiatif strategik ini dan menyatakan komitmen berterusan untuk bekerjasama dengan BUMITRA Malaysia dalam aspek pembangunan kapasiti industri melalui program latihan dan pensijilan pelancongan mesra Muslim.

Kerjasama erat ini melontarkan kesinambungan daripada kejayaan projek terdahulu termasuk program Huanying Lai Malaysia 2025 serta latihan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR).

SAYS.com
Image via Islamic Tourism Centre (Facebook)

Bagi memastikan prinsip etika ini diterjemahkan ke dalam gerak kerja seharian, BUMITRA Malaysia mengumumkan penganjuran Sesi Libat Urus bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dijadualkan berlangsung pada 13 Julai 2026, jam 8.30 pagi di International Youth Centre (IYC), Kuala Lumpur. Sesi tersebut bakal merangkumi forum perbincangan isu semasa serta upacara melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh agensi-agensi ahli.

Langkah proaktif ini mendapat dukungan padu daripada pelbagai rakan strategik utama seperti Tabung Haji, JAWHAR, Saudi Tourism Authority, RHB Islamic Bank, Bank Islam Malaysia Berhad dan Maysan Group.

Melalui penganjuran UHIT 2026, pasaran pelancongan Islam negara dijangka terus memberikan sumbangan besar kepada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka dunia. Visi ini bergerak seiring dengan aspirasi nasional sempena kempen Visit Malaysia 2026.

Selain daripada memperkukuh rantaian perniagaan sedia ada, pameran ini juga menjadi seruan terbuka kepada usahawan-usahawan muda untuk menyertai ekosistem BUMITRA Malaysia demi memacu pertumbuhan industri yang mampan, berdaya tahan, dan berintegriti tinggi pada masa hadapan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: