Program TVET MAIPk 2026, 155 Belia Asnaf Raih Sijil Industri & Peluang Kerjaya Dalam Sektor OG
Inisiatif tajaan penuh bawah Program Latihan Kemahiran Asnaf 2026 ini bertujuan memberi peluang kedua kepada belia asnaf Negeri Perak menerusi TVET mengikut piawaian industri.
Cover image via Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seramai 155 graduan tajaan Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) diraikan dalam Majlis Apresiasi dan Pengiktirafan Peserta TVET MAIPk 2026 Kali Ke-2 yang berlangsung di Dewan Ibnu Khaldun, TESDEC, Kuala Terengganu baru-baru ini
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh. Inisiatif tajaan penuh bawah Program Latihan Kemahiran Asnaf 2026 ini bertujuan memberi peluang kedua kepada belia asnaf Negeri Perak menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengikut piawaian industri.
Bagi tahun 2026, MAIPk memberi mandat melatih 255 peserta dalam tujuh bidang kemahiran utama iaitu Rigger Scaffolding TG20, Gas Pipe Fitter, Gas Pipe Insulation, Tank Cleaning, Fire Watcher, Non-Destructive Testing (NDT), dan Maritime Culinary. Kumpulan 155 graduan fasa pertama dan kedua ini telah melengkapkan latihan teknikal dan kompetensi bagi enam bidang berkaitan sektor minyak dan gas sepanjang Julai dan Ogos lalu.
Menerusi latihan intensif antara satu hingga dua bulan anjuran penyedia latihan dilantik, SRC Global Resources Sdn. Bhd., para peserta dibekalkan pelbagai pensijilan industri seperti CIDB, Oil and Gas Safety Passport (OGSP), Authorised Entrant and Standby Person (AESP), OSH Coordinator, persijilan Bomba, serta NDT.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh
Image via Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (Facebook)Para graduan diingatkan agar sentiasa menjaga disiplin, ketahanan mental, serta sikap profesionalisme di alam pekerjaan
Tuan Syamsul Hazeman menegaskan bahawa MAIPk menjadikan bantuan zakat sebagai pelaburan sosial jangka panjang untuk membolehkan golongan asnaf berdikari. Beliau menyatakan bahawa bantuan zakat perlu menjadi batu loncatan untuk menukar penerima bantuan kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berpendapatan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif SRC Global Resources Sdn. Bhd., Dato' Nor Hisham bin Mohd Arifin pula mengingatkan para graduan agar sentiasa menjaga disiplin, ketahanan mental, serta sikap profesionalisme di alam pekerjaan bagi membolehkan mereka berkembang daripada tenaga mahir kepada peringkat penyelia atau usahawan.
Hampir kesemua graduan kini telah berjaya diserap masuk ke alam pekerjaan menerusi tawaran daripada syarikat industri terkemuka seperti MSL Engineering Resources Sdn. Bhd., Langkah Tepat, Transismore Sdn. Bhd., Asar Engineering Sdn. Bhd., A Star Testing & Inspection Sdn. Bhd., UBF Maintenance Sdn. Bhd., dan Dialog Berhad. Malah, seorang alumni bidang NDT dilaporkan telah meraih pendapatan bulanan menghampiri RM6,000.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


