seismik

#PRU15: "Saya Dilahirkan & Bersekolah Di Sini" - Titiwangsa Kekal Istimewa Di Hati Johari

Sebagai rekod, Johari tewas kepada Datuk Rina Mohd Harun pada PRU14 lepas dengan majoriti 4,139 undi.

Cover image via Johari Abdul Ghani (Facebook)

Follow kami di Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkemungkinan sekali lagi disenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa

“Banyak kerusi ditawarkan kepada saya tetapi saya masih mahukan Parlimen Titiwangsa,” katanya.

Menurut Johari, Titiwangsa istimewa di hatinya kerana beliau dilahirkan dan bersekolah di kawasan itu, sekali gus ingin terus berkhidmat kepada masyarakat setempat, termasuk isu pembangunan semula Kampung Baru.

Besar kemungkinan, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, bakal berdepan saingan calon Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad.

Walaupun tewas kepada Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Rina Mohd Harun, pada PRU14, Johari tidak menganggapnya sebagai kekalahan mutlak kerana pencabarnya itu cuma meraih majoriti 4,139 undi.

Johari memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU13, sebelum dilantik Timbalan Menteri Kewangan pada 2015 dan seterusnya sebagai Menteri Kewangan Kedua selepas rombakan Kabinet pada 2016.

Johari yakin BN berupaya merampas kembali enam kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang dikuasai pembangkang

Antara kawasan berkenaan ialah Titiwangsa, Batu, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju dan Setiawangsa.

"Dengan calon yang tepat, kita mempunyai lebih 50 peratus peluang untuk menang di kawasan ini.

"Di sini pusatnya. Jika kita ingin mencetuskan 'tsunami', ia harus bermula dari sini," katanya sambil menambah akan lebih mudah melihat peluang BN selepas penamaan calon pada 5 November ini.

Mengulas pandangan pakar bahawa BN mungkin perlu membentuk kerjasama politik dengan parti pembangkang termasuk DAP, Johari bersikap terbuka terhadap cadangan itu.

Mengenai perancangan UMNO menangani pelbagai sentimen di peringkat akar umbi berhubung cadangan itu, beliau berkata, ia boleh dibincang selepas keputusan PRU15 diketahui.

Negara memerlukan parti yang meraih kemenangan dengan majoriti kukuh pada PRU15

"Rakyat tidak wajar mengambil mudah kepentingan mempunyai kerajaan yang kukuh dan berwibawa selepas PRU15.

"Perkara ini mesti disedari dan perlu menjadi sebahagian daripada kematangan politik rakyat.

"Kita perlukan keseimbangan antara muka lama dan baharu, kita perlukan pemimpin berwibawa dengan pasukan yang baik untuk menghadapi PRU15," katanya.

Johari meramalkan PRU15 berbeza berbanding dua PRU terdahulu, yang mana perubahan besar terutama sentimen pengundi bandar disebabkan isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) banyak memberi kesan kepada keputusannya.

Jelasnya, cabaran parti bertanding pada PRU15 adalah untuk menyantuni golongan muda terutama dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun yang secara automatik didaftar sebagai pemilih.

"Sesiapa sahaja yang membentuk kerajaan mesti mempunyai Kabinet berwibawa.

"Tanpa kekuatan itu, kita lihat bagaimana keadaan ekonomi negara sejak beberapa tahun lalu.

"Kerajaan perlu memperkenalkan dasar tidak popular jika perlu. Ia mungkin tidak digemari semua tetapi generasi akan datang bakal mendapat manfaatnya," katanya.

Beliau membidas pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan PH sebelum ini walaupun ia diiktiraf di peringkat global sebagai sistem percukaian yang baik.

Katanya, sukar untuk meyakinkan orang ramai menerima semula GST kerana mungkin ada yang beranggapan cukai itu kembali dimansuhkan menjelang PRU16.

Menyentuh aspek ekonomi, Johari berkata, pendapatan kerajaan berada pada tahap sama, namun hutang terus meningkat.

"Peningkatan pendapatan kerajaan pada 2019 dan 2022 adalah berikutan dividen khas diberikan PETRONAS.

"Ia tidak mampan kerana apabila kita meminta syarikat seperti PETRONAS memberi dividen khas berdasarkan rizab mereka, ia akan memberi kesan kepada syarikat berkenaan.

"Kita lihat pada 2016 dan tahun berikutnya penarafan mereka adalah A+, kemudian mulai turun kepada A- apabila dividen dibayar.

"PETRONAS kini berada di tahap BBB+," katanya.

Beliau turut menyarankan kajian semula pelan ekonomi dilaksanakan untuk mengelak Malaysia menjadi negara yang dibebani hutang seperti dialami Sri Lanka.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik