Pulau Tioman Dinobatkan Sebagai Pulau Tersenyap Di Asia Dalam Kajian Global
Dalam pada itu, Pulau Pinang menduduki ranking ke-98 daripada 100 pulau yang dianalisis.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pulau Tioman telah muncul sebagai salah satu destinasi terbaik di dunia untuk mendapatkan suasana yang tenang
Pulau Tioman menduduki tempat keenam di peringkat global dan dinobatkan sebagai pulau paling sunyi di Asia dalam Unspoilt Index 2026 oleh BookRetreats.com, yang menganalisis data satelit dan pemetaan terbuka daripada 100 buah pulau di seluruh dunia.
Penemuan ini muncul seiring dengan peningkatan minat terhadap trend percutian yang mementingkan ketenangan (quietcations), dengan carian Google bagi "destinasi sunyi" meningkat secara mendadak sejak setahun yang lalu.
Satu tinjauan yang dipetik oleh BookRetreats.com turut mendapati bahawa 56% pelancong dari Amerika Syarikat berhasrat untuk menikmati ketenangan dengan mendekati alam semula jadi.

Terletak di luar pantai timur Semenanjung Malaysia, Tioman boleh dikunjungi dengan perjalanan feri selama kira-kira dua jam
Walaupun meliputi kawasan seluas kira-kira 134 kilometer persegi, pulau ini tidak mempunyai jalan raya utama yang sibuk dengan lalu lintas, menurut data pemetaan indeks tersebut.
Populasinya yang berjumlah lebih sedikit daripada 2,000 orang tertumpu di beberapa buah kampung pesisir pantai, penduduk dan pengunjung bergerak dari satu teluk ke teluk yang lain menggunakan bot teksi atau melalui rangkaian jalan raya berturap dan jalan batu kerikil yang terhad.
Tioman memperoleh skor 95 daripada 100 bagi aspek keaslian alam semula jadi, yang mencerminkan betapa sebahagian besar landskapnya masih belum terjejas oleh pembangunan.
Sebahagian besar pulau ini dilitupi hutan tebal dan dilindungi sebagai kawasan perlindungan hidupan liar, yang menjadi habitat kepada haiwan seperti monyet, tupai terbang, dan binturong. Pulau ini juga merupakan habitat bagi Rafflesia, salah satu bunga terbesar di dunia.
Tahap pembangunan yang rendah di Tioman turut meliputi kawasan perairan di sekelilingnya. Perairan di sekitarnya merupakan sebahagian daripada taman laut yang dilindungi, dengan terumbu karang dan pelbagai hidupan marin terdapat di sekitar pulau tersebut.
Di Pantai Salang, pengunjung boleh sampai ke kawasan terumbu karang terus dari pesisir pantai, manakala lokasi selaman di sekitar pantai menawarkan peluang untuk melihat hamparan terumbu karang, kipas laut dan penyu.
Ciri-ciri semula jadi ini menyumbang kepada skor Tioman berdasarkan kriteria indeks tersebut bagi kategori kawasan pesisir pantai semula jadi dan alam semula jadi yang belum dibangunkan.

Jadi, apakah yang buatkan sesebuah pulau itu 'senyap'?
Indeks Unspoilt (Unspoilt Index) dibangunkan dengan input daripada Olga V Lehmann, seorang penyelidik tentang kesunyian, penulis, dan profesor psikologi.
Selain sekadar mengukur tahap kebisingan, kajian ini menggunakan enam faktor untuk menilai sejauh mana kesesuaian setiap pulau bagi mewujudkan persekitaran yang senyap, keadaan semula jadi yang belum dibangunkan, kepadatan jalan raya, trafik udara, tahap populasi, kegelapan langit malamdan kawasan pantai semula jadi.
Metodologinya adalah berdasarkan takrifan Agensi Alam Sekitar Eropah mengenai kawasan senyap, iaitu landskap bunyi yang menyenangkan di mana bunyi yang tidak diingini tiada atau tidak mendominasi suasana. Kesemua enam ukuran tersebut digabungkan menjadi satu skor komposit dengan markah maksimum 100.
Kedudukan Tioman meletakkannya di hadapan beberapa pulau popular lain di Asia, termasuk Koh Chang di Thailand (tempat ketujuh), Koh Rong di Kemboja (tempat kelapan) dan Pulau Havelock di India (tempat kesembilan).
Gili Meno di Indonesia menduduki tempat ke-42, manakala Bali pula berada di tempat ke-78.

Sementara itu, Pulau Pinang berada hampir di hujung dalam senarai tersebut
Sebuah lagi pulau terkenal di Malaysia turut disertakan dalam kajian ini, namun mencatatkan hasil yang jauh berbeza.
Pulau Pinang menduduki tempat ke-98 daripada 100 pulau yang dianalisis. Indeks tersebut menyatakan bahawa pulau itu didiami oleh hampir 800,000 penduduk, dengan pembangunan meliputi sebahagian besar kawasannya.
Di kedudukan bertentangan dalam senarai itu, Pulau Stewart di New Zealand dinobatkan sebagai pulau paling sunyi di dunia. Dianggarkan sebanyak 20,000 ekor burung kiwi hidup di sana bersama kira-kira 500 orang penduduk, manakala sekitar 85% daripada pulau itu dilindungi sebagai taman negara. Ia juga merupakan Santuari Langit Gelap Antarabangsa (International Dark Sky Sanctuary) yang terletak paling jauh ke selatan di dunia.
Hasil kajian menunjukkan bahawa pulau-pulau yang mengekalkan paling banyak kawasan semula jadi cenderung menjadi pulau yang mempunyai tahap pembangunan dan aktiviti manusia yang terhad.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via