Rabiatul Adawiyah Juara Muay Thai Senior Dunia, Peluang Cerah Ke Sukan SEA 2027
Tahniah diucapkan untuk semua atlet Malaysia!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kejayaan atlet Muay Thai negara, Rabiatul Adawiyah Mohd Yunus muncul juara dunia kategori 48 kilogram (kg) Bawah 24 Tahun (B-24) wanita pada Kejohanan Muay Thai Senior Dunia IFMA 2026 di Kosovo, semalam membuka peluang lebih cerah untuk mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2027

Menurut laporan Berita Harian, selain Rabiatul Adawiyah, beberapa atlet negara turut mencatat keputusan membanggakan pada kejohanan berkenaan.
Marshall Jaydden Jerry meraih pingat emas dalam disiplin Wai Kru lelaki, sekali gus meneruskan kecemerlangannya di pentas antarabangsa selepas turut muncul juara pada Kejohanan Muay Thai Jemputan Dunia IFMA 2026 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Dalam kategori 54kg lelaki Ring Combat, Wassof Rumijam meraih pingat perak selepas tewas kepada juara dunia dari Turkiye, Hamza Eren

Nur Arisya Sofea pula membawa pulang pingat perak kategori 45kg wanita Ring Combat selepas tewas kepada wakil Vietnam, Mai Hoang Khanh, sebelum bangkit menjuarai disiplin Muay Thai Teknikal (Tatami).
Ketua jurulatih negara, Bernard Radin berkata, pencapaian 10 atlet Malaysia di Kosovo menjadi medan terbaik untuk menilai prestasi mereka sebelum pemilihan ke Sukan SEA 2027.
"Bagaimanapun, aspek kekuatan mental perlu terus diberikan perhatian. Atlet negara perlu mempunyai keyakinan lebih tinggi apabila berdepan lawan yang memiliki reputasi sebagai juara dunia.
"Status dan pencapaian pihak lawan tidak seharusnya menyebabkan atlet hilang keyakinan sebelum memasuki gelanggang.
"Persediaan menuju Sukan SEA 2027 bukan sahaja akan memberi tumpuan kepada aspek fizikal dan teknikal, tetapi juga ketahanan mental, keyakinan serta kemampuan mengendalikan tekanan di pentas antarabangsa," kata Bernard.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via