Rakyat Malaysia Belanja RM46 Bilion Di Luar Negara, Menteri Nafi Ekonomi Sedang Teruk
Isu ini telah dikupas sendiri oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani baru-baru ini telah menafikan ekonomi negara Malaysia berada dalam keadaan teruk sepertimana tanggapan ramai
Perkara ini kerana rakyat Malaysia dilihat mampu ke luar negara dan membelanjakan sebanyak RM46 bilion sekitar tahun 2016.
Johari juga berkata bahawa jumlah itu meningkat berbanding RM41 bilion yang dibelanjakan rakyat Malaysia di luar negara pada tahun 2015.
Menurutnya, jika ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang teruk, rakyat tidak akan mampu untuk berbelanja sebanyak itu di luar negara
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian, Johari juga turut menyuarakan tentang soal persepsi dalam ekonomi yang sememangnya sukar untuk dijelaskan. Namun, menurut beliau, apa yang penting adalah ekonomi negara Malaysia kini mengalami pertumbuhan yang baik.
"Rakyat mungkin tidak menyedarinya, namun antara satu contoh terbaik adalah jumlah peluang pekerjaan yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini," ujarnya.
Isu yang berkaitan realiti keadaan ekonomi negara juga telah dibincangkan oleh beliau ketika itu
Menurutnya, masalah yang melanda sektor jualan runcit hingga menyebabkan ada pasar raya menutup operasi bukan sepenuhnya berpunca daripada keadaan ekonomi semasa.
Perkembangan sektor e-dagang adalah antara faktor utama mengapa kedai fizikal semakin kurang mendapat perhatian. Transaksi pembelian online pada tahun lalu misalnya direkodkan sebanyak 73 bilion.
"Namun, jumlah 73 bilion transaksi pembelian dalam talian itu adalah satu rekod yang besar dan ia jelas membuktikan rakyat masih mampu berbelanja di sebalik tanggapan ramai kononnya ekonomi meleset," kata Johari.