Rakyat Malaysia Digesa Elak Perjalanan Ke Selatan Thailand Susulan Insiden Letupan Bom
Terdapat lima insiden tembakan dan letupan bom di kawasan tersebut dalam tempoh seminggu.
Cover image via New Straits TimesFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Polis Kelantan menyarankan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke selatan Thailand selepas beberapa siri kejadian tembakan dan serangan bom, termasuk kejadian baru-baru ini yang mencederakan dua rakyat Malaysia
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata mereka yang tidak mempunyai urusan penting di selatan Thailand patut menangguhkan rancangan perjalanan mereka susulan lima kejadian tembakan dan pengeboman yang dilaporkan di sana dalam tempoh seminggu yang lalu.
Mohd Yusoff berkata walaupun pihak berkuasa tidak dapat menghalang rakyat Malaysia daripada melintasi sempadan, orang ramai harus mempertimbangkan dengan teliti situasi keselamatan semasa sebelum membuat perjalanan.
"Setakat nak pergi makan, tak payahlah," katanya, menggesa rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan tidak penting buat masa ini.

Amaran dikeluarkan selepas dua rakyat Malaysia cedera dalam letupan bom
Saranan itu dikeluarkan susulan kejadian di Tak Bai, Narathiwat, di mana dua rakyat Malaysia cedera terlibat dalam letupan bom ketika dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas bercuti. Mangsa dikenal pasti sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38.
Mangsa menerima rawatan di Hospital Narathiwat di Thailand sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kelantan pada pagi berikutnya.
Mohd Yusoff mengakui bahawa keputusan untuk melancong akhirnya terletak pada pilihan individu. Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa pelancong harus menilai risiko sebelum menuju ke selatan Thailand.
"Jika tanya saya kurangkanlah berkunjung (ke selatan Thailand), sebaliknya sokonglah (destinasi) pelancongan dalam negara kita," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


