Rakyat Malaysia Tidak Perlu Panik, Proklamasi Darurat Bukan Rampasan Kuasa Tentera - PM
Perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyampaikan pengumuman khas darurat rutusan khas mengenai pelaksanaan Proklamasi Darurat sebentar tadi
Menurut beliau, kerajaan awam akan terus berfungsi, manakala jentera pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan proklamasi darurat.
Malah, aktiviti rakyat Malaysia juga akan berlangsung seperti biasa kerana ianya bukan rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.
Pengisytiharaan proklamasi darurat itu dilaksanakan adalah bertujuan untuk menangani pandemik dan usaha memerangi wabak Covid-19.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah memberi perkenan untuk tempoh darurat ini sehingga 1 Ogos 2021 atau tarikh lebih awal bergantung kepada angka kes positif Covid-19.
Tempoh darurat itu akan diawalkan sekiranya kes harian dapat dikawal dan angka menurun.
Tiada pilihan raya akan diadakan dan berlangsung sepanjang tempoh darurat
Menurut beliau, Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat.
Katanya lagi, PRU akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Bebas memperakukan bahawa Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya.
Selain itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri juga tidak akan bersidang sehingga satu tempoh yang ditetapkan.
Tindakan tegas menanti mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu gugat usaha memerangi penularan Covid-19
Menyuarakan ketegasan itu, Muhyiddin berkata, langkah itu adalah selari tekad kerajaan untuk memastikan keselamatan negara dan rakyat sentiasa terjamin.
"Saya tak berniat menghalang pilihan raya, tapi buat masa ini saya bertanggungjawab menjaga nyawa dan keselamatan rakyat.
"Saya juga minta pemimpin agama dapat mendoakan kesejahteraan Malaysia dan supaya kita dilindungi daripada sebarang bala bencana" katanya.