Ramai Rakyat Malaysia Lebih Pilih Destinasi Hatyai, Satun Berbanding Bercuti Dalam Negara
Ramai betul pergi Thailand sekarang ya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sejak akhir-akhir ini, sektor pelancongan di Malaysia dikatakan semakin merudum kerana ramai rakyat lebih memilih untuk bercuti di negara seberang, Thailand
Menurut sumber, promosi pelancongan di Malaysia yang begitu lemah terutama sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir didapati menjadi faktor utama mengapa pelancong dari negara ini lebih memilih bercuti ke selatan Thailand.
Naib Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Kamarun Ab Rahman berkata, sejak berakhirnya PKP, ramai rakyat Malaysia dilihat melancong ke selatan Thailand khususnya wilayah Satun dan Hatyai.
Tidak dinafikan, antara faktor Thailand menjadi pilihan pelancong adalah pilihan makanannya yang banyak dan sedap. Bukan itu saja, terdapat banyak tempat-tempat viral di media sosial membuatkan lagi ramai ingin melancong ke sana.
Hampir sejuta pelancong Malaysia memasuki Thailand pada akhir 2022 dan ia sekali gus membimbangkan untuk industri pelancongan dalam negara
"Pelancong negara kita yang sedia ada ini sudah pun mengalih pandangan mereka ke lokasi menarik di selatan Thailand dan ada yang mengatakan bahawa daya tarikan ini berpunca daripada harga makanan, hotel dan mungkin juga cenderamata yang murah.
"Namun sebab apakah mereka ini lebih memilih bercuti di Thailand dan pada pandangan kami mudah saja, sebenarnya sejak PKP berakhir industri pelancongan di negara saya lihat promosinya sangat lemah.
"Kita membuat promosi di negara luar seperti di Asia dan Eropah selain menyertai pameran bertaraf antarabangsa, tetapi mereka tidak datang ke Malaysia.
"Malah, kita lihat sendiri promosi di negara kita sangat kurang dan jika dulu kita ada program Cuti-Cuti Malaysia dan lihat bagaimana sambutan orang ramai terhadap program ini, sekarang promosi seperti ini kurang dan kalau ada pun saya lihat hanya kerajaan Sabah dan Sarawak yang betul-betul membuat promosi.
"Tetapi di Semenanjung Malaysia sangat kurang promosi yang begitu serius dibuat oleh agensi yang terbabit," katanya.
Kos penginapan hotel, makanan dan cenderamata lebih murah berbanding di Malaysia
Kamarun juga berkata, beliau sendiri sudah melawat ke selatan Thailand dan mendapati sebenarnya perkara itu (kos hotel, makanan dan cenderamata yang murah) adalah sesuatu di luar jangkaan.
"Satu perkara lagi ialah selepas berakhirnya PKP, produk pelancongan kita sangat merudum. Malah, usahawan pelancongan terpaksa menanggung kos penyelenggaraan untuk baik pulih inap desa mereka.
"Di negara kita juga sebenarnya banyak lagi produk seperti kraftangan tidak dipromosikan sebaiknya. Oleh kerana itu, mengenai pandangan orang ramai mengatakan produk Thailand lebih murah sebenarnya tidak tepat.
"Jika kita usahakan tempat pelancongan dalam negara terutama di Semenanjung ini, saya yakin pelancong tempatan lebih memilih melancong di dalam negara.
"Sekiranya tiada penambahbaikan produk atau promosi pelancongan dibuat secara holistik, tidak mustahil kita akan terus mengalami penghijrahan pelancong ke Thailand," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!