[VIDEO] Viral Isteri Tunggang Sendiri Motor Dari KL Ke Ipoh, Ini Penjelasan Sebenar Suami
Ini baru dinamakan susah senang bersama.
Baru-baru ini tular di Twitter kisah menyentuh hati membabitkan sepasang suami isteri sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada netizen
Ia bermula apabila seorang individu yang juga merupakan bekas atlet tenis paralimpik, Muhamad Firdaus Ibrahim berkongsikan sepotong video ringkas mengenai pengorbanan isterinya yang sanggup bersusah-payah menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke Ipoh sambil diiringi olehnya dari belakang dengan menggunakan kereta.
Menerusi kapsyen yang dibuat Firdaus di dalam video yang dikongsikan olehnya itu, beliau memaklumkan bahawa motor tersebut sudah sekian lama tersadai di ibu negara sejak tiga bulan lalu gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menyifatkan isterinya sebagai seorang yang sangat kental, Firdaus bagaimanapun seolah-olah sedikit terkilan apabila menyatakan bahawa dia yang sepatutnya membonceng motosikal itu jika dirinya boleh berjalan.
Untuk makluman, Firdaus telah lumpuh kedua belah kakinya selepas terlibat dalam kemalangan ketika berusia 16 tahun.
Firdaus kemudiannya turut berkongsikan sepotong video isterinya sedang mengisi minyak dan juga selfie mereka bersama ketika mahu menuju ke Ipoh
Perkongsian video itu telah mengundang reaksi berbeza dalam kalangan netizen yang menontonnya
Ada yang berasa tersentuh dengan pengorbanan yang ditonjolkan oleh isteri lelaki itu, namun tidak kurang ada juga yang dilihat kurang senang dengan perkara tersebut kerana menyifatkan ia sebagai berbahaya.
Melihat kepada respon berbeza itu, Firdaus kemudiannya bertindak menjelaskan perkara tersebut bagi menjelaskan situasi yang sebenar
Memetik laporan, Firdaus berkata mereka berdua telah merancang untuk berpindah sejak April lalu namun terpaksa ditangguhkan kerana PKP.
Beliau yang sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur berkata dia dan isteri perlu berpindah ke Ipoh selepas dirinya mendapat pekerjaan baru.
"Jadi kami merancang untuk pindah bulan April lalu, namun disebabkan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) kami terpaksa tangguh.
"Now dah boleh rentas negeri jadi kami pun buatlah keputusan untuk pindah barang. Cuma motosikal tu isteri tawar untuk bawa balik sendiri,"
"Isteri kata dia dah biasa 'ride' jauh-jauh waktu zaman belajar dulu. Selalu ulang alik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke kampungnya Marang,Terengganu. Orangnya kecil , tapi berjiwa besar," katanya.
Kata Firdaus, sepanjang perjalanan tersebut, dia sentiasa mengikut rapat isterinya dari belakang dengan menggunakan kereta pada jarak 100 meter
"Saya follow dari mula hingga ke rumah. Kalau ikut meter kereta, saya pandu dalam 60 ke 70 kilometer sejam. Saya akan berada di belakang dia dalam jarak 100 meter . Kalau banyak sangat kereta beratur belakang, baru saya laju sikit. Lepas tu saya berhenti dan tunggu dia pintas saya semula," katanya.
Mengakui berasa sebak dan serba salah dengan pengorbanan isterinya itu, dia berkata dirinya telah berkali-kali memohon maaf terhadap isterinya dan turut mengucapkan terima kasih kepada insan tersayangnya itu yang sanggup susah senang bersama.
"Saya rasa kesian dekat dia, banyak kali saya mintak maaf. Banyak kali saya ucap terima kasih kerana sanggup susah senang.
"Ada netizen yang tertanya mengapa tidak pos saja motosikal, namun memang isteri yang tawar daripada awal kami nak pindah barang.
"Cuma dia mintak saya follow dia dari belakang. Minta teman, kalau tak dia tak mahu," katanya.