[RASMI] Muhyiddin Yassin Jadi 'Caretaker' Sehingga Perdana Menteri Baharu Dilantik
Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin Yassin dan seluruh ahli jemaah menteri.
Follow kami di Telegram, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita dan artikel-artikel menarik di SAYS Seismik.
Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin hari ini secara rasmi telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia sebentar tadi menerusi sidang media yang dijalankan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin Yassin dan seluruh ahli jemaah menteri susulan sesi mengadap di Istana Negara yang berlangsung pada jam 12.30 tengah hari tadi.
“Jika perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan dewan rakyat, perdana menteri hendaklah meletak jawatan.
“Saya ingin memohon maaf atas kesilapan dan kelemahan saya dalam memerintah. Saya dan ahli jemaah menteri sudah buat yang terbaik untuk hadapi pandemik yang kita hadapi ketika ini. Saya berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya negara dapat berjalan seperti biasa.
“Untuk vaksin pula, tidak perlu risau kerana kabinet saya telah menempah dos vaksin cukup untuk semua rakyat Malaysia. Kadar vaksinasi kita antara yang tertinggi dan pantas di dunia. Saya yakin kita dapat keluar daripada kemelut pandemik ini secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yasin menjalankan tugas sebagai 'caretaker' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik
Baginda juga berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seluruh jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa hari ini.
"Susulan peletakan jawatan ini, baginda berkenan supaya Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin Md Yasin (Muhyiddin) menjalankan tugas sebagai 'caretaker' hingga Perdana Menteri baharu dilantik.
"Ini selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan jemaah Menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.