Rasmi: Bazar Perayaan Di Jalan TAR & Masjid India Akan Ditutup Bermula Tahun Depan
Keputusan ini ekoran beberapa isu yang tidak diselesaikan setelah bertahun-tahun lamanya.
Bazar di Masjid India dan Jalan TAR yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah setiap kali musim perayaan tiba, kini ditutup secara rasminya selepas lambakan masalah tidak dapat diselesaikan
Menurut akhbar The Star, pengumuman tersebut telah dibuat oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz semalam, 26 Jun.
“Kami tidak akan membenarkan sebarang bazar sempena Ramadan atau Deepavali dianjurkan di Jalan Masjid India, Lorong Tuanku Abdul Rahman dan kawasan sekitarnya.
“Terlalu banyak aduan yang diterima sebelum ini tetapi ia sukar untuk diselesaikan.
“Sebelum ini, lot bazar telah diberikan kepada persatuan peniaga tetapi terdapat aduan salah urus serta banyak lot yang disewa untuk keuntungan besar daripada pergi ke peniaga miskin,” katanya.
Tapak bazar yang telah ditubuhkan pada tahun 2003 bermula dengan 100 lot tapak itu dihentikan ekoran beberapa isu yang tidak diselesaikan setelah bertahun-tahun lamanya
Isu-isu seperti masalah kebersihan, masalah tadbir urus, serta ketamakan beberapa pihak yang mengambil kesempatan dengan membuat keuntungan peribadi adalah punca keputusan penutupan ini dibuat.
"Ada kejadian di mana salah seorang daripada pegawai penguatkuasa kami disiram dengan minyak panas ketika melakukan pusingan," kata Tan Sri Mohd Amin.
"Pemilik perniagaan juga telah mengadu tentang kehilangan pendapatan kerana gerai-gerai yang menghalang jalan kemasukan mereka," katanya seperti yang dilaporkan Rojak Daily.
Buat masa ini, TS Amin Nordin mempertimbangkan nasib pasar malam yang sudah menjadi tradisi penduduk Kuala Lumpur serta tidak menolak kemungkinan ia bakal dipindahkan ke lokasi lebih sesuai
“Saya akan bincang keperluan memindahkan pasar berkenaan ke tempat lain. Buat masa sekarang, ia akan beroperasi seperti biasa,” katanya lagi.
Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia, Datuk Rosli Sulaiman membantah tindakan yang diambil DBKL yang menutup periuk nasi para penjaja
Beliau berkata, DBKL seharusnya mengadakan perbincangan dengan semua persatuan penjaja yang berdaftar terlebih dahulu sebelum membuat keputusan drastik tersebut.
Menurut laporan yang dilaporkan akhbar Utusan, Datuk Rosli berkata,“Saya tidak tahu mengenai perkara ini dan agak terkejut kerana ia melibatkan nasib penjaja. Macam mana boleh Datuk Bandar membuat keputusan penting seperti itu tanpa berbincang.
“Keputusan itu secara langsung telah menutup periuk nasi penjaja bazar yang mencari rezeki terutama pada musim Hari Raya dan Deepavali. Jangan anggap penjaja macam sampah."