Rosmah Menginap Di Pavilion Sepanjang Najib Tahanan Rumah, Keluarga Tak Boleh Menetap Sama
Difahamkan, kediaman Najib di Langgak Duta turut diwartakan sebagai penjara dan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, difahamkan tidak akan tinggal bersama suaminya sepanjang tempoh beliau menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah

Sebaliknya, Rosmah dipercayai akan menetap di kediamannya di Pavilion, manakala Najib akan menjalani tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Menurut laporan Harian Metro, perkara itu dimaklumkan Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menerusi ruangan komen pada hantaran seorang pengguna Threads yang meminta penjelasan mengenai pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.
Menurut Nurulhidayah, konsep tahanan rumah tidak bermaksud seseorang banduan bebas tinggal bersama ahli keluarga atau menerima kunjungan pada bila-bila masa.
Malah, kediaman Najib di Langgak Duta turut diwartakan sebagai penjara dan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa

"Anak bini dia bukan tinggal sekali. DSR (Rosmah) duduk Pavilion," katanya.
Waktu lawatan dan makanan turut tertakluk kepada peraturan penjara.
Mengulas lanjut, Nurulhidayah menjelaskan bahawa ahli keluarga yang ingin melawat Najib perlu mematuhi waktu lawatan yang ditetapkan, sama seperti prosedur bagi banduan di penjara.
Beliau turut menjelaskan bahawa urusan penyediaan makanan dan minuman sepanjang tempoh tahanan rumah itu akan ditentukan oleh pihak penjara.
"Kalau hendak melawat pun ada masa lawatan yang ditetapkan seperti orang di dalam penjara.
"Oh ya, makanan dan minuman semua penjara yang tentukan," jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Najib masih mempunyai status sebagai banduan meskipun dibenarkan menjalani baki hukuman di kediamannya sendiri.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November lalu memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah
Perintah itu berkuat kuasa serta-merta dan membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukumannya di kediaman Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Najib sebelum ini dilaporkan tiba di kediamannya kira-kira jam 9.27 malam selepas dipindahkan dari Penjara Kajang.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via