[GAMBAR] Anak Muda Ini Bina Rumah Kontena Sendiri Kerana Tak Sanggup Beban Hutang 30 Tahun
Sungguh kami kagum dengan semangat yang ditunjukkan anak muda ini. Bukan senang nak jadi senang.
Dek kerana harga rumah diluar jangkauan, seorang pemuda 26 tahun Muhamad Azree, dengan pendapatan yang tak seberapa menyedari sangat sukar baginya untuk memiliki sebuah rumah yang berharga ratusan ribu Ringgit
Walaupun hidup bujang, Azree masih tidak mampu untuk membeli sebuah rumah. Harga rumah yang semakin melampau membuatnya berfikir untuk menjadi lebih kreatif supaya boleh keluar dari realiti kehidupan bagi kebanyakan orang iaitu, beli rumah mahal dan bayar setiap bulan selama 30 tahun (atau lebih). Bukan itu yang Azree mahukan.
Sejak daripada itu, Azree nekad mahu mengubah hidupnya dengan membuat keputusan untuk membina rumah sendiri tanpa perlu menghabiskan sejumlah wang yang besar.
Berbekalkan keazaman dan semangat yang kuat, Azree akhirnya berjaya melepaskan diri dari bebanan hutang yang tinggi dengan membina rumah kontena pertama di Malaysia. Hebat!
Rumah kontena milik Azree ini bukan sebarang rumah. Ianya sangat unik dan tidak menelan kos yang terlalu tinggi untuk dibina. Rumah ini juga cukup sifat dan lengkap dengan elektrik, air, internet, astro, bilik air, air cond, dan macam-macam lagi. Bahagian interior rumah juga sangat kemas dan nampak mewah.
Namun begitu, tidak semuanya indah bagi Azree untuk memiliki rumah idaman seperti ini. Terlalu banyak pengalaman pahit yang perlu ditempuhinya sebelum dapat hidup selesa seperti sekarang.
Ikuti luahan penuh Azree di bawah:
9 bulan lalu (awal tahun 2014), saya berangan mahukan motor besar, sebab nak bergaya sedangkan saya masih menyewa.
Saya baca sana-sini orang mengeluh rumah mahal. Saya termasuk dalam golongan tersebut dan memikirkan apalah nasib kita zaman sekarang, sungguh hebat cabarannya untuk hidup selesa. Kerajaan perlu lebih kuat berusaha. Tunaikan janji mereka dan kita juga mesti berusaha.
Permohonan saya untuk beli motor diluluskan, tapi saya tidak sain dulu, saya fikir lagi dalam-dalam, betul ke apa yang aku nak buat ni? Sebab dah ada komitmen kereta Perodua Viva sebiji. Jadinya saya buka laman web iklan percuma, saya cari, apa yang saya boleh dapat dengan RM30 ribu selain motorsikal yang saya idamkan.
Tanah. Ya sebuah tanah lot diiklankan di laman web tersebut. Memikirkan kos sewa di Shah Alam sebanyak RM500 sebilik, selama 5 tahun saya akan rugi RM18 ribu. Habuk saya dapat, property tiada. Motor bukan pilihan saya akhirnya. Saya batalkan loan tersebut.
Saya nekad membeli tanah lot tersebut, berkeluasan 2400 kaki persegi, bumiputera & freehold. Bukaan 80 kali 30 kaki, lokasinya di Teluk Panglima Garang, 25KM dari Shah Alam tempat saya bekerja ketika itu.
facebook.comBeli tanah nak tinggal mana? Komitmen dah bertambah ni, bukan sikit bayar bulanan pinjaman peribadi selama 5 tahun, saya pinjam RM75 ribu personal loan untuk dibayar selama 5 tahun, beserta kereta, anda boleh bayangkan bertapa sengsaranya ketika itu untuk membayar bulanan. Tapi saya gagahkan. Komitmen sebulan kini RM1800 tak termasuk lain-lain benda nak dibeli dan dibayar. Gaji ketika tu RM3500, tolak EPF tinggallah beberapa sahaja.
facebook.comHasilnya, selepas saya melakar dan membuat research di Internet, saya tekad untuk membina rumah dari unit Kontena terpakai. Ya kontena buruk yang dibuang syarikat-syarikat logistik yang tak layak naik kapal lagi.
Saya belanjakan RM35 ribu lagi untuk semua urusan pembinaannya. Sebiji kontena 20 kaki (1 TEU) saya beli dan potong, saya tambah tingkap, pintu, exhaust fan, cat antikarat luar dan dalam serta pasang lantai getah vinyl. Saya panggil abang saya, “Wan, tolong aku buat rumah”. “Ok dik abang tolong ko belilah barang, upah bayar kemudian”. Lega saya mendengar, mak ayah saya time tu belum tahu sepenuhnya pelan saya, mereka cuma tahu saya beli tanah. Kemudian terpaksa, saya ceritakan kepada mereka, mereka senyum dan bersetuju. Anak mereka sorang ni memang mereka tahu istimewa. hehe.
facebook.comSeminggu pertama, saya ratakan tanah, bersihkan semua semak-samun, korek lubang untuk tangki septik, saya tempah 15 lori simen terpakai (pasir kotor) saya ratakan sebagai alas konkrit 1 kaki. Sementara menunggu kering, saya berulang dari Shah Alam ke Banting untuk pastikan kontena saya siap sebab masa adalah amat terhad, dan semuanya adalah kos yang saya tak mampu nak hadap lama-lama, sebab hari berjalan, upah juga berjalan.
facebook.comPenghujung September 2014 adalah tarikh akhir kontrak sewaan rumah saya di Spira Alam Impian Shah Alam, saya boleh kata homeless pada tarikh itu. Kontena masih belum siap! Arghhhhh!!! Stress, mana nak tidur?
Saya tekan lagi mereka supaya segerakan proses mengimpal dan cat, akhirnya pada tanggal 31 Oktober, kontena tersebut dipindahkan menggunakan sebuah lori Side Loader walaupun belum siap, cat belum kering sepenuhnya, lantai vinyl belum lekat, tandas belum ada, api air? Jangan cerita. Tidur tak cukup, makan tak lena selama 2 minggu sebelum kontrak sewa tamat.
facebook.comMujur lokasi tanah dibeli berhampiran dengan jiran yang benar-benar ambil berat. Acok dan isteri memberi saya sumber air selama sebulan, beserta api. Ayah dan mak naik lori datang dari Johor bawa barang-barang peribadi saya yang lain. Hari itu hari yang betul-betul menyentuh hati saya. Nak rumah sendiri sangat kan? Hah mendapat dah rumah dan rumah ni bukan sebarangan rumah dan keluarga saya sokong sepenuhnya buat saya bertambah terharu.
facebook.comTong air, kerusi tandas duduk terpakai, wayar-wayar lama, zink, simen lebihan, papan semua ayah saya bawa naik lori. Abang saya dengan beberapa pekerja juga mula membantu, mereka memulakan dengan pembinaan tapak bilik air dan dapur. Ketika itu rumah masih 1 tingkat, tingkat atas belum dibina, air pun masih pinjam jiran, permohonan air dan elektrik saya hantar kepada Syabas dan TNB pada hari kedua. Sebulan menunggu, akhirnya diluluskan. Bukan mudah tapi tidak mustahil. Ikut aturan dan prosedur mereka.
facebook.comSepanjang sebulan saya tidur di sana dengan rumah yang bertutupkan kanvas, tidur di atas lantai sorang-sorang tiada siapa yang tahu.
Panas? Memang panas pada awalnya, tapi setelah saya siapkan tingkat kedua berbumbung, suhu turun mendadak, dan saya pasangkan pendingin hawa 1.5HP untuk lebih keselesaan. Perlahan-lahan saya tambah baik rumah ini. Kawan-kawan dari jauh datang bantu, sayunya ketika itu. Saya tak tahu bagaimana nak luahkan perasaan saya, hanya Allah dapat membalas jasa baikmu wahai kawan-kawanku.
facebook.comDuit sudah habis, rumah tak juga siap, nasib baik bonus masuk pada awal Januari, saya gagahkan belanjakan duit itu untuk bayar upah tertunggak dan perkemas lagi keadaan di dalam rumah, saya buat kebun di halaman rumah, saya tanam sebolehnya apa yang boleh dimakan.
facebook.comUbi kayu? Ada. Kiranya semua yang kontang ada ditanam sekeliling rumah. Kacang, bendi, cili, keledek kolam ikan pun saya buat. Orang tak nampak susah kita, tapi saya teruskan jua. Itu sahaja cara saya boleh berjimat. GST pun nak bermula, kos hidup pasti meningkat.
facebook.comKini saya sudah boleh kata selesa, saya sudah ada rumah sendiri, sempit atau nak tambah ruang? Bila-bila masa saya boleh tambah. Beli kontena lagi, tenggek atas kontena sedia ada.
Jika diikutkan, saya tidak akan membeli rumah dengan hutang selama 30 tahun, bersesak berebut parking atau duduk diapartment yang rata-rata pentingkan diri dan masalah sampah, lift saban hari. Biarlah saya susah bayar sekarang. Senang kemudian.
facebook.comSaya masih bujang dan masih muda, bagi saya masih banyak boleh saya lakukan ketika sihat dan tidak mengapa hidup susah ketika ini. Saya ada semua yang saya impikan, dan saya akan teruskan sebuah lagi impian, mengubah MPV yang baru saya beli kepada Karavan. Rezeki juga amat misteri, akhirnya saya mampu dapat motorsikal yang saya idamkan selepas 7 bulan rumah dibina.
Saya bukanlah orang kaya mana. Anak felda je. Mak ayah saya dulu buat rumah sendiri juga. Kalau mereka boleh, kenapa tidak kita? Saya pun bekerja, sibuk juga, boleh sahaja uruskan masa untuk menyiapkan semuanya. Anda patut mencuba, seronok, ternyata berbaloi mencubanya. Siapa kita nak salahkan kalau duit tak cukup? Kerajaan atau kita sendiri tidak berikhtiar?
Fakta
Tanah : RM35,000
Keluasan: 80 X 30 kaki = 2400 kaki persegi
Pembinaan rumah kontena dan tingkat tambahan serta lain-lain kos tersembunyi: RM 50,000.
Jumlah RM85,000.
Pinjaman peribadi 5 tahun : RM75 ribu
RM10,000 dari duit bonus bekerja
Kelengkapan rumah: Alhamdulillah semua ada, Aircond, astro internet semua ada.
Tahniah Azree atas pencapaian ini. Kami harap kisah anda ini dapat memberi inspirasi kepada generasi muda di luar sana untuk think out of the box dan menjadi lebih kreatif dalam menempuh perjalanan hidup.
Bukan senang nak jadi senang kan?
Kisah Azree ini turut mendapat liputan meluas dari pelbagai media lain di Malaysia. Salah satunya ialah TV3 melalui rancangan Malaysia Hari Ini. Saksikan video:
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!