Najwa Mahiaddin Papar Kehidupan 'Interracial Relationship' Dalam Karya Terbaru 'Sama Saja'
Najwa Mahiaddin kongsikan pengalaman, sisi peribadi, dan harapan beliau sebagai seorang anak seni.
Awal minggu ini, kami berkesempatan menemui penyanyi dan penulis lagu, Najwa Mahiaddin dalam satu sesi minum petang secara private di sebuah kafe di Kuala Lumpur
Harus diakui, kami rasa sangat bertuah kerana dijemput untuk bertemu Najwa Mahiaddin dalam sesi up close and personal ini. Di sinilah Najwa papar sisinya yang jarang sekali kita lihat; seorang yang ceria, bersemangat, penuh keazaman, dan pada masa yang sama begitu merendah diri.
Najwa kini baru saja selesai dengan projek single terbarunya yang diberi judul 'Sama Saja'. Klip video lagu ini baru diterbitkan di YouTube pada Rabu, 2 Disember 2015. Sebelum diterbitkan, kami mendapat privilege untuk meyaksikannya dahulu pada Isnin lepas.
Ditanya mengenai genre dan tema yang dipilih untuk dimuatkan ke dalam lagu-lagunya, Najwa menyifatkan karyanya bersifat general dan tidak memfokuskan pada satu topik sahaja
"Saya tidak mempunyai satu topik spesifik dalam muzik saya. Saya hanya tulis apa yang saya rasakan melalui pengalaman saya sendiri, atau pengalaman orang sekeliling saya. Topik yang dipilih begitu luas. Tetapi saya cuba selitkan nilai pengajaran dalam setiap lagu.
"Sebagai contoh tahun lalu, saya bekerjasama dengan Juny dalam menghasilkan lagu berjudul 'After The Rain'. Kita sedar negara kita dilanda pelbagai masalah dan tragedi pada 2014. Ia merupakan antara tahun yang paling getir buat kita semua. Jadi, lagu ini dihasilkan bagi menyeru rakyat Malaysia untuk terus tabah, be positive, dan terus melangkah ke hadapan," kata Najwa.
Ramai yang mungkin sudah sedia maklum, Najwa merupakan seorang penyanyi yang tak kisah untuk buat show kecil-kecilan, asalkan beliau dapat pamerkan bakatnya di atas pentas
"Saya lebih anggap diri saya sebagai seorang pemuzik, bukan selebriti. Sebagai pemuzik, saya ada tanggungjawab untuk kongsikan cerita hidup saya dan sampaikan mesej-mesej positif. Paling penting sekali ialah muzik yang saya hasilkan mampu menyentuh hati sanubari orang ramai.
"Dunia glamour tak semuanya indah. Saya lebih selesa berada dalam dunia saya sendiri bersama orang tersayang. Saya juga lebih seronok dalam menyampaikan hasil seni saya. Saya bukan sekadar menghasilkan muzik, tetapi saya harap hasil seni saya mempunyai nilai estetika yang mampu mencetus pemikiran serta mengubah persepsi masyarakat terhadap sesuatu. Itu yang saya cuba lakukan," ujar Najwa penuh optimis.
Najwa yang sebelum ini terkenal dengan lagu hit 'Got To Go' kali ini pertaruhkan 'Sama Saja' yang mengetengahkan topik yang agak taboo pada pandangan segelintir masyarakat iaitu 'interracial relationships'
"Obviously, lagu ini berkisar tentang interracial relationships, tapi ianya bukan ditujukan kepada pasangan bercinta saja. Lagu ini merangkumi tentang cinta, persahabatan, perpaduan, hidup berbilang kaum, dan merupakan satu ingatan kepada orang ramai bahawa kita semua sebenarnya 'Sama Saja'.
"Tiada masalah pun sebenarnya untuk menjalin hubungan berlainan kaum, agama, dan bangsa. Mungkin ada orang yang anggap topik ini sedikit taboo atau janggal. Tapi at the end of the day, kita semua mencari satu perkara yang sama iaitu kebahagiaan. Kita semua mahu menyayangi dan disayangi.
"Lagi satu, lagu ini adalah tentang diri saya. Saya sendiri mendirikan rumah tangga bersama seorang jejaka berbangsa Cina. Tapi bagi saya tidak ada masalah pun. Saya tak pernah pandang dia sebagai seorang "lelaki Cina". Saya hanya nampak dia as a guy and as a human being. Begitu juga pandangan dia terhadap saya.
"Disebabkan saya menjalin hubungan berlainan kaum, saya rasa bertanggungjawab untuk sampaikan pesanan ini kepada masyarakat melalui karya terbaru saya," kata Najwa lagi.
Najwa menambah, "Saya harap, lagu ini dapat membuka minda orang ramai bahawa tidak ada salahnya menjalinkan hubungan berlainan kaum."
"Menariknya tentang video klip lagu ini adalah, orang-orang yang terlibat di dalamnya bukan pelakon upahan. Mereka ini adalah orang sebenar yang sedang menjalinkan interracial relationships. Segala pendapat yang diutarakan juga merupakan luahan dari mereka sendiri. Dari sini, kita dapat lihat sebenarnya perkara ini sudah pun berlaku di sekeliling kita.
"Mungkin ada orang di luar sana yang pernah menghadapi situasi di mana mereka tidak mendapat restu dari ibu bapa kerana mempunyai pasangan yang berbeza etnik dan budaya. Perkara sebegini sering berlaku. Tetapi percayalah, kita semua hanya mencari kebahagiaan dalam hidup. Dan jika itulah pasangan yang boleh membahagiakan kita, just go for it," pesan Najwa.
Sekarang kita lihat pula sisi peribadi Najwa Mahiaddin yang jarang beliau tonjolkan
1. Rutin harian Najwa
"Macam biasa, bangun pagi mesti check telefon. Selalunya saya habiskan masa buat persiapan untuk show dan buat sound check, kemudian lepak dengan band saya. Kalau di rumah, saya selalu luangkan masa dengan keluarga. Saya seorang family person. Tapi kadang-kadang ada juga lepak dengan kawan-kawan."
2. Populariti Najwa di tempat awam
"Ada juga yang kenal saya. Orang akan tahan untuk ambil selfie. Tapi selalunya orang akan respect bila nampak saya dan tak kacau pun. Later on baru orang beritahu di Twitter yang mereka nampak saya."
3. Sifat Najwa sebagai anak ke-3
"Boleh kata degil juga. Family saya tak ada seorang pun yang terlibat dalam muzik tapi saya tiba-tiba terjun dalam bidang ini. Itu menunjukkan yang saya ini degil. Tapi apa-apa pun saya perlu tunjukkan kesungguhan atas pilihan saya ini. Lama-kelamaan parents saya jadi tak kisah. Saya dan muzik dah sebati dan tak dapat dipisahkan lagi."4. Identiti Najwa di Instagram
"Saya jadikan Instagram sebagai platform untuk saya luahkan tentang diri saya, dan untuk tunjukkan kepada orang ramai what kind of a person I am. Saya selalu juga reply komen yang saya terima. Kalau soalan yang simple saya cuba untuk jawab. Tapi kalau komen negatif saya tak layan."
5. Komen Najwa tentang pandangan stereotaip 'Anak orang kaya semuanya spoiled brat'
"Pandangan ini memang tak dapat dielakkan. Siapa-siapa yang ada tanggapan begitu, saya tak salahkan mereka. Cuma masalahnya, tak ramai orang yang cuba nak dekati golongan yang dilabel 'spoiled brat' ini. Jadi, mereka pun assume yang bukan-bukan. Sebenarnya, bukan semua anak orang kaya macam itu."
6. Adakah Najwa layak mendapat lebih recognition?
"Ini semua bergantung kepada rezeki and you have to earn it. Saya sedar, saya tak ada ramai followers macam rakan-rakan artis saya yang lain. Cuma saya harap, mesej yang saya cuba sampaikan melalui karya saya dapat disebarkan secara meluas bagi lebih membuka mata dan minda masyarakat."
Akhir kata, terima kasih Najwa Mahiaddin kerana sudi meluangkan masa bersama kami di SAYS. Semoga karier anda terus bersinar dan semoga muzik anda dapat menyentuh lebih banyak hati sanubari masyarakat.
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!