Ini Sebab Kenapa Kita Tak Boleh Terlalu Kaitkan ‘Depression’ Dengan Iman Dan Agama Islam
Pada zaman Rasulullah SAW pun ada hadis menceritakan tentang seorang wanita tua yang mengalami masalah mental.
Sebelum ini kita pernah dikejutkan dengan berita seorang jemaah maut di Masjidilharam, Arab Saudi, apabila dilihat terjun dari tingkat atas ke ruang jemaah di hadapan Kaabah pada bulan Ramadan, ketika solat tarawih sedang berlangsung
This story re the suicide in #Makkah has shook me. Suicide is forbidden in Islam so y did this man do it & that too at Makkah & at such auspicious time? Depression-thinking I may be granted pardon during this month & in this place? May Allah forgive him. https://t.co/kmEdKzxFzX
— RepStar (@RepiakaMoni) June 9, 2018
Siasatan awal mendedahkan lelaki berusia 26 tahun itu berketurunan Asia yang menetap di Eropah.
Dalam satu rakaman kamera litar tertutup mendedahkan, lelaki tersebut terjun dari tingkat atas dan maut di tempat kejadian dan mayatnya telah pun dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.
Insiden yang menarik perhatian orang ramai ini kemudiannya telah dikaitkan dengan penyakit mental iaitu depresi atau kemurungan.
Menurut kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, depresi bererti keadaan mental yang mempunyai ciri seperti perasaan sedih dan putus asa serta gangguan terhadap aktiviti harian
Keadaan ini merupakan tindak balas mental yang normal terhadap sesuatu musibah atau merupakan penyakit jiwa sekiranya teruk dan berpanjangan.
Penyakit depresi atau kemurungan ini telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan orang ramai lebih-lebih lagi yang mengaitkannya dengan agama Islam.
Ramai yang berpendapat seseorang yang kuat agamanya tidak sepatutnya mengalami penyakit ini dan bahawasanya Islam itu adalah solusi kepada masalah depresi
Sebaliknya, ramai juga yang menyatakan bahawa depresi adalah sejenis penyakit mental dan walaupun kekuatan iman serta didikan agama yang tinggi mampu untuk mengurangkan tahap kemurungan seseorang namun ianya bukanlah solusi sepenuhnya
Aiman Amri, seorang Terapis Autisme yang juga merupakan graduan Psikologi daripada University of Nottingham telah berkongsikan pendapat beliau dalam laman Twitter beliau mengenai isu penyakit kemurungan dengan hubungan seseorang dengan Allah SWT
Dalam tweet-nya, beliau berkata bahawa suatu masa dahulu, beliau juga berpendapat bahawa kualiti iman seseorang itu ada kaitan dengan masalah kemurungan dan hubungan seseorang dengan Allah SWT sepatutnya boleh mengatasi masalah kemurungan ini.
Namun begitu, beliau telah menyedari bahawa ianya tidak semudah itu, bahkan hanya sebahagian kecil sahaja yang membantu.
Beliau kemudian berkongsikan satu thread atau bebenang di Twitter tentang sebab mengapa beliau berubah fikiran.
Berikut ada sebab-sebabnya:
1. "Anda berada dalam kemurungan kerana anda kurang iman/jauh dari Allah dan sebagainya."
Pendapat Aiman Amri, dengan menggunakan logik yang sama dan menyatakan perkara itu kepada seseorang yang mempunyai masalah kemurungan seolah-olah kita mengatakan bahawa iman kita lebih kuat dan kita lebih soleh dan solehah berbanding dengan mereka, itulah sebabnya mengapa kita tidak mengalami masalah tekanan perasaan.
Menurut beliau, kenyataan itu tidak membantu akan tetapi hanya menunjukkan sifat takbur seseorang.
2. Beliau secara peribadi mengenali seseorang yang tertekan kerana telah dirogol oleh guru sekolahnya yang merupakan seorang ustaz
Aiman Amri berkata sehingga hari ini, tiada siapa yang mempercayai kenalannya itu kerana orang yang memperkosa itu merupakan seorang ustaz,
Perkara ini telah menyebabkan gadis itu mengalami trauma yang kemudian membawanya ke kemurungan.
Oleh itu, salah untuk kita merasakan masalah tekanan perasaan berlaku kerana kurang keimanan dalam diri seseorang.
3. Beliau pernah bertemu dengan pesakit Kemurungan Tahap Pertama (Major Depressive Disorder) yang merupakan seorang ustazah
Bukan itu sahaja, ustazah itu juga merupakan seorang hafizah yang menghafal 30 juzuk Al-Quran dan sangat aktif dalam berdakwah dan lain-lain.
"Oleh yang demikian, bagaimana kita boleh mengatakan ustazah itu sedang dalam kemurungan kerana masalah kurang iman?" ujar Aiman Amri.
4. Orang akan tetap dan terus menilai tahap iman seseorang
Seseorang yang sudah cukup solat wajib, dia dikatakan tertekan sebab tidak pergi masjid.
Apabila sudah penuh solat di masjid, dia dikatakan tidak melakukan solat sunat.
Apabila sudah banyak solat sunat, dia dikatakan tidak membaca Al-Quran, dan seterusnya.
Kata Aiman Amri, "Mungkin tunggu jadi Imam Mahdi baru tak dapat depresi."
5. Faktor agama itu penting sebagai penguat, motivasi dan lain-lain namun bukan penyembuh semata-mata
Konsep ini boleh disamakan dengan seorang pesakit kanser yang diingatkan untuk sentiasa mengingati Tuhan, memperbanyakkan selawat dan lain-lain.
Namun begitu, pesakit kanser itu tetap perlu menjalani rawatan kemoterapi, radioterapi dan lain-lain sebagai proses penyembuhan sepenuhnya.
6. Konsep Syariatullah dan Sunnatullah, dua-dua perlu dipenuhi dan berjalan seiring
Syariatullah adalah perkara berkaitan hukum iaitu; wajib, sunat, harus, makruh, haram yang telah Allah tetapkan dan syariatkan kepada hamba-hambaNYA.
Sunnatullah adalah hukum sebab dan akibat yang telah Allah ciptakan untuk memastikan dunia ini stabil dan dalam keadaan baik. Sebagai contoh; api itu panas, ais itu sejuk, usaha akan menghasilkan kejayaan.
Aiman Amri berkata kita perlu percaya kepada asbab sebagai pengantara.
Tawakal akan datang bersama usaha. Kita perlu mengingati Tuhan ketika mendapat rawatan Psikiatris & Psikologis.
Tambah Aiman Amri, "Belum pernah lagi orang doa nak kenyang perut tapi taknak pergi dapur untuk makan."
7. Kekuatan beragama itu menghalang seseorang bertindak daripada cubaan bunuh diri, tetapi tidak menghalang niat itu untuk muncul dalam kepala
"Bukan nak halalkan tindakan yang haram, tapi nak fahami," katanya dalam tweet beliau.
Tambahnya lagi, "Bila kita cuba fahami (dan bukan judge), dapat menghalang kejadian yang tidak diingini pada masa hadapan."
8. Kes depresi ni banyak berlaku tidak mengira agama dan bangsa tetapi keadaan mental seseorang
Jika menggunakan logik masalah kemurungan atau depresi berlaku kerana jauh "dengan Tuhan", semestinya semua pesakitnya ialah mereka yang bukan beragama Islam.
Namun begitu, masih ramai pesakit ini beragama Islam.
Aiman Amri berkata, "Tak perlu kita nak judge atau ukur iman seseorang. Kalau nak ukur, pakai skala apa? Kilo?"
9. Surah Taha ayat 124 selalu disalah tafsir sebagai clinical depression, lalu jadi hujah golongan “agamawan” untuk kata, pesakit depresi jauh daripada Tuhan. Ayat ini merujuk kepada depresi tekanan, bukan kemurungan klinikal.
Dalam ayat itu menggunakan istilah ضَنكًا .
Istilah tersebut merujuk kepada kesempitan pada perasaan, tekanan pada rasa di hati dan bukan berkaitan dengan penyakit mental seperti yang digambarkan dunia sekarang.
Menurut Aiman Amri, kemurungan klinikal ialah tekanan yang tahap kronik bukan lagi sekadar 'perasaan'.
10. Penyakit mental ketika zaman Rasulullah SAW
Dalam thread Aiman Amri itu, beliau menceritakan bahawa dalam satu hadis sahih, ada seorang wanita tua yang mempunyai penyakit mental, berjumpa dengan Rasulullah untuk minta didoakan supaya sembuh.
Rasulullah SAW memberi dua pilihan sebelum doakan untuk perempuan tua itu iaitu; pertama, doa kepada Allah untuk sembuhkan perempuan itu, dan Allah akan makbulkan, atau kedua, dia bersabar dengan penyakit itu, dan akan diberi syurga pada akhirat nanti.
Perempuan tua itu memilih pilihan yang kedua, dan meminta doa supaya Allah pelihara aurat dia waktu terkena episod penyakit tu.
Penyakit mental perempuan tua itu ialah epilepsi, iaitu sawan.
Sawan juga merupakan sejenis penyakit mental, dan boleh boleh klasifikasikan situasi ini merujuk kepada kecelaruan mental yang ada di dunia sekarang.
Kata Aiman Amri, "Pendek kata, kita qiaskan kisah ini dengan majoriti mental disorder yang ada sekarang."
Masalah kemurungan atau depresi boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira status seseorang itu bahkan ia boleh berlaku kepada orang disekeliling kita tanpa kita ketahui
Sekiranya anda merasa ingin membunuh diri atau anda mengenali seseorang yang cenderung melakukan perkara itu, segera minta pertolongan!
Organisasi yang boleh dihubungi sekiranya anda atau seseorang yang anda kenali yang sedang mengalami kemurungan dan mempunyai kecendurungan membunuh diri:
Befrienders Kuala Lumpur - 03-7956 8144
Befrienders Penang - 04-281 5161
Befrienders Melaka - 06-284 2500
Befrienders Ipoh - 05-547 7933
Befrienders Seremban - 06-765 3588
Persatuan Lifeline Malaysia - 03 -9285 0039, 03-9285 0279, 03-9285 0049
Persatuan Kesihatan Mental Malaysia - 03-7782 5499
Lagi kenyataan tentang depresi dan bunuh diri dalam Islam yang dipetik dari Twitter @nxdxxn untuk perkongsian bersama:
Depression and suicide in Islam. Worth a read. pic.twitter.com/iU4Tewv877
— নাদিয়া (@nxdxxn) June 9, 2018