Sebanyak RM10 Ribu & Tiga Lori Terpaksa Digunakan Untuk Baiki Rumah Dipenuhi Sampah
Rumah tak besar mana tetapi tiga buah lori terpaksa digunakan untuk buang sampah.
Sebanyak RM10 ribu telah dibelanjakan oleh Bahagian Khidmat Masyarakat Jabatan Ketua Menteri Melaka bai membaiki sebuah rumah didiami 11 beranak di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai, Melaka, Sabtu lalu
Aktiviti gotong-royong telah dijalankan pada hari tersebut oleh seramai 70 orang sukarelawan.
Mereka menghabiskan masa sehari untuk membersihkan rumah berkenaan yang dipenuhi timbunan sampah selain pakaian kotor tidak dibasuh yang juga menyebabkan bau busuk.
Tiga buah lori terpaksa digunakan untuk mengangkut sampah dan segala barang yang tak digunakan lagi untuk dibuang di tapak pelupusan.
Laporan Harian Metro memberitahu semasa tinjauan dibuat, dapur rumah itu antara bahagian rumah paling teruk terjejas dengan sampah dan pakaian kotor dilonggokkan begitu saja
Malah, pinggan dan periuk juga tidak dibasuh selepas digunakan.
Penghuni rumah berkenaan, Siti Norenliriana Mohd Fakeri, 30, yang juga ibu tunggal berkata, dia tinggal di rumah itu bersama lima anak berusia lima bulan hingga 11 tahun serta bapanya, Mohd Fakeri Othman, 57, dan adik-beradik lain.
Katanya, tiada kesepakatan dalam kalangan adik-beradik menyebabkan rumah tersebut menjadi sebegitu rupa.
“Saya tinggal di rumah ini sejak tiga tahun lalu selepas berpindah daripada rumah sewa di Limbongan. Meskipun jumlah penghuninya 11 orang, tapi sikap ambil mudah yang lain menyebabkan saya tak larat nak kemas rumah dan jadi begini (terlalu kotor),” katanya.
hmetro.com.myMenurutnya, selain bergantung kepada bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bapa yang bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar awam di negeri ini dengan pendapatan RM1,500 sebulan turut membantu menyara kelima-lima anaknya.
Dia seboleh-bolehnya mahu bekerja dan berusaha menyediakan kediaman lebih baik untuk kelima-lima anaknya, namun kehadiran bayi perempuan lima bulan dan anak lain masih kecil membataskan hasratnya
“Sebelum keadaan dapur jadi begini (terlalu kotor) saya kerap memasak, tapi sekarang harapkan ayah belikan makanan untuk isi perut kosong saya dan anak-anak dan untuk berjimat cermat, kami makan sekali sehari saja,” katanya.
hmetro.com.myMasalah rumah tersebut juga mendapat perhatian guru tiga anaknya.
Guru tersebut kemudiannya mengadukan perkara terbabit kepada Bahagian Khidmat Masyarakat Jabatan Ketua Menteri Melaka sebelum tindakan segera diambil untuk membersihkannya.
“Pada mulanya guru datang ke rumah untuk tanya khabar tiga anak yang sudah sebulan tidak ke sekolah atas alasan kerap dibuli rakan. Namun, selepas melihat keadaan rumah kami yang amat teruk, guru terbabit merujuk masalah ini kepada JKM,” katanya.