Siap Sedia Upah Tahlil Dalam Sampul Kecil, Surat Terakhir Arwah Nenek Ini Buat Ramai Sebak
Cara arwah menyantuni masyarakat meskipun ketiadaannya wajar dijadikan teladan.
Apabila melangkah ke usia emas, ramai yang mula membuat persediaan sendiri sebelum menuju ke alam abadi
Benar, ajal maut itu di tangan Tuhan dan ianya boleh datang pada bila-bila masa sahaja.
Allah berfirman yang bermaksud: "Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sudah sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." (Surah an-Nisa': 78).
Ayat ini menjelaskan bahawa seseorang manusia itu tidak boleh memisahkan dirinya dari ajal kematian. Seseorang itu pasti akan menempuhi maut sama ada dia berada di medan perang atau di atas hamparan.
Di kala masih muda, kita jarang memikirkan tentang kematian tetapi apabila menuju ke usia emas, kita tahu ajal itu pasti akan tiba. Oleh yang demikian, apakah persiapan yang sudah dan perlu kita sediakan?
Baru-baru ini seorang pengguna Twitter, Izzat Ikhwan telah berkongsikan gambar surat peninggalan arwah nenek saudaranya, Ngah binti Abdullah, yang benar-benar membuat dirinya terpaku
Nenek saudaranya itu sebenarnya sudah menyediakan sejumlah wang di dalam sampul kecil khusus untuk upah tahlilnya.
Izzat turut berkongsi dua keping gambar surat yang ditinggalkan nenek saudaranya buat mereka dan ahli keluarga yang tinggal berserta dengan pesanan terakhir.
Ramai yang tersentuh dengan kata-kata terakhir nenek saudara Izzat. Ekoran tularnya tweet tersebut, terdapat juga mereka yang berkongsikan pengalaman yang sama.
Rupa-rupanya, 'orang-orang lama' memang sikapnya begini. Sudah siap sedia segala persiapan awal-awal kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak serta cucu-cucu dikala perginya mereka.
Bukan itu sahaja, ada juga yang meninggalkan pesanan serta nasihat terakhir untuk diamalkan oleh waris-waris mereka.
Sungguh mulia cara arwah nenek ini menyantuni masyarakat.
Semoga boleh dijadikan teladan buat kita semua.