Selamatkan Kaki Pesakit Diabetes, Dr Raymond Pertaruh Kepakaran Tangani Ancaman Amputasi

Dalam usaha menyokong proses penyembuhan, klinik berkenaan turut menawarkan Advanced Oxygen Wound Therapy.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Bagi pesakit diabetes yang mengalami luka serius pada kaki, perkataan amputasi atau pemotongan anggota badan pastinya menjadi antara perkara paling digeruni

Lebih membimbangkan apabila luka yang pada awalnya kelihatan kecil bertukar menjadi serius akibat jangkitan, kerosakan tisu dan proses penyembuhan yang semakin perlahan.

Namun, bagi Pengarah Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam, Dr Raymond Rony Pav, keputusan untuk memotong kaki bukanlah sesuatu yang boleh dibuat secara terburu-buru tanpa terlebih dahulu menilai keadaan pesakit dan potensi anggota badan yang masih boleh diselamatkan.

Berbekalkan pengalaman dalam bidang ortopedik serta pembedahan plastik dan rekonstruktif, beliau memberi tumpuan kepada rawatan luka kompleks, khususnya dalam kalangan pesakit diabetes, dengan matlamat memulihkan tisu yang rosak dan mengekalkan fungsi anggota badan semaksimum mungkin.

Menurutnya, pesakit diabetes yang mengalami luka kronik memerlukan pendekatan rawatan menyeluruh kerana masalah berkenaan bukan sekadar melibatkan permukaan kulit, sebaliknya boleh membabitkan jangkitan, kerosakan tisu serta gangguan peredaran darah.

"Kami bermula dengan merawat luka-luka kecil sebelum mula menerima pesakit diabetes yang mengalami masalah luka lebih serius.

"Ada pesakit yang datang dalam keadaan luka sudah teruk dan berisiko kehilangan kaki. Dalam situasi seperti ini, kami akan menilai terlebih dahulu punca masalah, tahap jangkitan serta keadaan tisu sebelum menentukan rawatan yang sesuai.

"Matlamat kami adalah menyelamatkan sebanyak mungkin bahagian anggota badan supaya pesakit masih boleh menggunakannya dan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

SAYS.com

Dr Reshma Prakash (kiri) dan Dr Raymond Rony Pav.

Image via Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam

Rawatan tidak boleh dilakukan dengan hanya membuang bahagian yang rosak kerana punca utama masalah perlu dikenal pasti dan dikawal terlebih dahulu

Antara langkah yang diambil ialah mengenal pasti jenis jangkitan, memberikan antibiotik yang bersesuaian serta melakukan penjagaan luka secara berperingkat.

Apabila jangkitan berjaya dikawal dan keadaan luka menunjukkan perkembangan positif, barulah prosedur membuang tisu yang telah rosak atau tidak lagi sihat dilakukan mengikut keperluan.

Pendekatan tersebut penting bagi memastikan tisu yang masih berpotensi untuk pulih dapat dikekalkan, sebelum rawatan seterusnya diberikan untuk merangsang pembentukan tisu baharu.

Dalam usaha menyokong proses penyembuhan, klinik berkenaan turut menawarkan Advanced Oxygen Wound Therapy, iaitu rawatan penjagaan luka menggunakan teknologi oksigen berkepekatan tinggi.

Rawatan tersebut bertujuan membantu mewujudkan persekitaran luka yang lebih sesuai untuk penyembuhan serta menyokong pertumbuhan tisu baharu.

Ia turut digunakan sebagai sebahagian daripada pendekatan penjagaan bagi luka kaki diabetes, luka kronik, luka selepas pembedahan, luka tekanan dan kecederaan tertentu.

Bagaimanapun, Dr Raymond menegaskan bahawa setiap pesakit memerlukan penilaian berbeza dan rawatan oksigen bukan penyelesaian tunggal bagi semua jenis luka.

Keadaan jangkitan, bekalan darah ke kawasan terjejas, tahap kerosakan tisu dan kawalan paras gula dalam darah perlu diberikan perhatian bagi memastikan rawatan lebih berkesan.

Daripada kesusahan hidup, lahir keinginan membantu

Di sebalik kesungguhannya membantu pesakit, minat Dr Raymond dalam bidang perubatan sebenarnya berakar daripada pengalaman hidup yang pernah dilaluinya.

Membesar dalam keluarga yang berdepan kesukaran kewangan membuatkan beliau memahami betapa sukarnya golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan kesihatan yang sewajarnya.

Pengalaman itu menjadi antara pendorong utama beliau memilih bidang perubatan dengan harapan dapat membantu mereka yang memerlukan.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai perubatan siswazah di Hospital Sultan Ismail sebelum memperoleh pengalaman dalam bidang ortopedik.

Sepanjang berkhidmat di hospital berkenaan, beliau berpeluang mengendalikan pelbagai kes termasuk patah tulang, kanser, kecederaan tisu dan masalah berkaitan sistem muskuloskeletal.

Minat terhadap rawatan yang melibatkan pemulihan tisu kemudian membawanya meneroka bidang pembedahan plastik dan rekonstruktif di Hospital Sultanah Aminah.

SAYS.com
Image via Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 JamImage via

Pengalaman daripada kedua-dua bidang tersebut menjadi asas penting dalam membina kemahiran mengendalikan luka kompleks, kerosakan tisu dan kecederaan yang memerlukan penjagaan lebih teliti.

Pada 2014, beliau mengambil langkah menubuhkan Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam bagi membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat mendapatkan rawatan, termasuk pesakit yang tidak berkemampuan mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta.

Menurutnya, penubuhan klinik itu turut mendapat sokongan besar daripada isteri dan ibu mentuanya, khususnya dari segi kewangan pada peringkat awal operasi.

Kini, klinik berkenaan mempunyai dua cawangan di Johor dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan rawatan, termasuk pengendalian kes kecemasan, kecederaan industri, prosedur pembedahan kecil dan penjagaan luka.

Rawatan bukan sekadar soal wang

Bagi Dr Raymond, tanggungjawab seorang doktor tidak seharusnya terhenti selepas pesakit menerima ubat atau menjalani prosedur rawatan.

Sebaliknya, beliau percaya hubungan yang baik antara doktor dan pesakit memainkan peranan penting dalam memahami keadaan sebenar seseorang individu.

Katanya, ada pesakit yang datang bukan semata-mata untuk mendapatkan rawatan fizikal, tetapi turut memerlukan ruang untuk berkongsi masalah serta mendapatkan pandangan.

Lebih menyentuh hatinya apabila berhadapan pesakit warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang hidup bersendirian tanpa sokongan keluarga.

Justeru, pihak klinik turut berusaha menyesuaikan rawatan mengikut kemampuan kewangan pesakit, malah dalam keadaan tertentu, kos rawatan ditanggung oleh pihak klinik.

"Kami tidak mahu keadaan kewangan menjadi sebab seseorang tidak mendapat rawatan.

"Jika pesakit mempunyai bajet tertentu, kami akan berbincang dan mencari pilihan rawatan yang bersesuaian. Ada juga keadaan apabila pihak klinik membantu menanggung kos rawatan, manakala pesakit hanya perlu menyediakan perbelanjaan ubat atau peralatan tambahan,"
katanya.

Selain menawarkan rawatan percuma kepada golongan OKU tertentu, termasuk individu yang mempunyai masalah penglihatan, klinik berkenaan turut menjalankan aktiviti kebajikan dengan membantu beberapa rumah kebajikan menerusi sumbangan makanan, susu dan pakaian.

Dari cadangan amputasi kepada peluang berjalan semula

Antara pengalaman yang cukup meninggalkan kesan kepada beliau ialah kes seorang pesakit, Tan Chin Chuan, 60, yang mendapatkan rawatan selepas mengalami jangkitan serius pada kaki sehingga pihak hospital mencadangkan amputasi pada bahagian betis.

Menurut isteri, Gloria Goh, 53, mereka mula mendapatkan rawatan daripada Dr Raymond pada Februari 2026 selepas disarankan oleh seorang pegawai farmasi.

Sebelum itu, mereka sudah mendapatkan pandangan daripada empat doktor lain, namun semuanya mencadangkan supaya pesakit kembali mendapatkan rawatan di hospital.

Enggan berputus asa, pasangan berkenaan mengambil keputusan mendapatkan penilaian lanjut di Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam.

SAYS.com
Image via Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam

Apa yang membuatkan mereka selesa bukan sahaja pendekatan rawatan yang diberikan, malah sokongan emosi daripada Dr Raymond dan seluruh kakitangan klinik yang disifatkan seperti sebuah keluarga.

Malah, pihak klinik turut memahami kekangan kewangan yang dihadapi dan memberikan kemudahan pembayaran secara ansuran bagi mengurangkan beban pasangan itu.

"Kalau dahulu suami perlu menggunakan tongkat untuk berjalan, tetapi sekarang dia sudah boleh berjalan sendiri tanpa bantuan. Saya sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan Dr Raymond," katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi pengalaman tersebut.

Bagi pasangan itu, perubahan berkenaan bukan sekadar perkembangan positif dalam rawatan, tetapi satu peluang untuk suaminya kembali menikmati kehidupan dengan lebih baik.

Keikhlasan yang meninggalkan kesan kepada pesakit

Kesungguhan Dr Raymond dalam memberikan rawatan turut dirasai pesakit dan keluarga yang telah lama mendapatkan khidmatnya.

Bagi Ungku Fitri Ungku Muhammad, 50, dari Johor, keluarganya sudah mendapatkan rawatan daripada doktor berkenaan sejak 13 tahun lalu.

Katanya, pengalaman pertama keluarga bersama Dr Raymond bermula apabila arwah ibunya mendapatkan rawatan dan mereka melihat sendiri kesungguhan doktor itu dalam membantu pesakit.

Malah, beliau mengakui Dr Raymond sanggup memberikan bantuan walaupun di luar waktu operasi, termasuk selepas tengah malam ketika arwah ibunya memerlukan perhatian perubatan.

"Beliau bukan sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai doktor, tetapi benar-benar mengambil berat tentang keadaan pesakit.

"Apabila kakak saya mengalami kecederaan dan mempunyai masalah diabetes, Dr Raymond turut berusaha mengenal pasti punca sebenar serta memastikan jangkitan tidak merebak dengan lebih serius.

"Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan dan prosedur di klinik, keadaan luka kakak semakin baik dan kesihatannya juga bertambah pulih,"
katanya.

SAYS.com

Ungku Fitri Ungku Muhammad (tengah) bersama-sama Dr Reshma Prakash (kiri) dan Dr Raymond Rony Pav.

Image via Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam

Sementara itu, Pengarah Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam, Dr Reshma Prakash, turut memainkan peranan dalam mengembangkan perkhidmatan klinik berkenaan.

Dr Reshma Prakash, yang turut menerajui Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam bersama suaminya, Dr Raymond Rony Pav, percaya pengalaman hidup banyak membentuk keinginan seseorang untuk membantu orang lain. Kehilangan bapanya, seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), ketika berusia sembilan bulan menyebabkan beliau dibesarkan oleh ibu tunggal bersama kakaknya.

Pengorbanan dan kekuatan ibunya menjadi inspirasi untuk menceburi bidang perubatan, sekali gus memberi rawatan serta sokongan kepada mereka yang memerlukan.

Sebagai ibu kepada tiga anak, Dr Reshma turut memberi perhatian terhadap kesejahteraan emosi dan kesihatan mental wanita. Sepanjang kerjayanya, beliau bertemu ramai pesakit wanita, termasuk mereka yang melalui perceraian, hidup bersendirian dan berdepan tekanan emosi serta kemurungan.

Pengalaman itu mendorongnya untuk membantu wanita membina kekuatan diri dan menjalani kehidupan yang lebih stabil.

Minat serta pencapaiannya di luar bidang perubatan turut terserlah apabila beliau meraih dua gelaran di Haut Monde Mrs India Worldwide 2024, iaitu Mrs India Worldwide Water 2024 dan Mrs India Worldwide South Asia 2024, sebelum dinobatkan sebagai 3rd Runner-Up Mrs Universe 2025.

Anak kelahiran Johor itu berkata, beliau sentiasa menyimpan hasrat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat negeri tersebut.

Bersama Dr Raymond, beliau menyediakan konsultasi dan rawatan percuma kepada golongan kurang berkemampuan, termasuk individu cacat penglihatan, pekak serta anak yatim.

Baginya, bantuan itu bukan sekadar tanggungjawab sebagai pengamal perubatan, sebaliknya lahir daripada pengalaman sendiri yang mahu dijadikan dorongan untuk meringankan beban orang lain.

Bagi Dr Raymond, perkembangan klinik bukan sekadar diukur menerusi pertambahan pesakit atau cawangan, sebaliknya sejauh mana pihaknya mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.

Pendekatan sama turut diterapkan dalam kalangan pasukan perubatan yang sentiasa digalakkan menambah ilmu serta memperkukuh kemahiran bagi mengendalikan pelbagai kes kesihatan.

Malah, Pegawai Bertanggungjawab Klinik Keluarga Dan Surgeri 24 Jam cawangan Larkin, Dr Muhammad Shahrulzaman, berkata aspek paling penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan ialah meletakkan kepentingan pemulihan pesakit sebagai keutamaan.

Menurutnya, selain rawatan luka dan diabetes, klinik berkenaan turut menyediakan perkhidmatan ujian HIV tanpa nama menerusi inisiatif Anonymous HIV Test serta perkhidmatan berkhatan untuk lelaki dewasa.

Beliau berkata, pesakit juga perlu memainkan peranan dalam proses pemulihan dengan mematuhi rawatan, menjaga pemakanan, mengawal paras gula dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat.

Bagi Dr Raymond, setiap luka yang berjaya dipulihkan membawa makna tersendiri, lebih-lebih lagi apabila pesakit yang sebelum ini berdepan risiko kehilangan anggota badan berpeluang kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pesakit diabetes supaya tidak menunggu sehingga luka menjadi serius sebelum mendapatkan pemeriksaan.

Luka kecil, lepuh, perubahan warna kulit, bengkak atau tanda jangkitan pada kaki perlu diberikan perhatian segera kerana rawatan awal boleh membantu mengurangkan risiko komplikasi.

Apa yang lebih penting, pesakit perlu memahami bahawa penjagaan diabetes bukan hanya tertumpu kepada pengambilan ubat dan kawalan gula, tetapi turut melibatkan pemeriksaan kaki secara berkala serta rawatan segera apabila berlaku kecederaan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS