Selangor Youth Community Rai Pencapaian Bukhari Zulkefli Menerusi Anugerah The King’s Trust International

SAY dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor turut memperkenalkan kemudahan pusat transisi (after-care).

Cover Image

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Selangor Youth Community (SAY) di bawah naungan Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, meraikan kejayaan alumni serta rakan strategik menerusi penganjuran Team Award Day 2026 di Sunway Resort Hotel, Shah Alam baru-baru ini

Antara penerima penghargaan utama pada tahun ini ialah Bukhari Zulkefli, alumni Team Programme Malaysia Cohort 17, Rumah Sahabat Hulu Langat, yang telah dinobatkan sebagai 2025 King's Trust International Regional Sustainability Award Winner for Asia.

Bukhari diiktiraf atas komitmen berterusan beliau dalam kerja-kerja sukarelawan dan kelestarian alam sekitar, khususnya melalui inisiatif penanaman dan aktiviti penghijauan di Rumah Sahabat Hulu Langat, sebuah pusat pemulihan penggunaan dadah.

Sepanjang penglibatan beliau dalam Team Programme, Bukhari menunjukkan perkembangan yang ketara dari segi kepimpinan, keyakinan diri, empati dan kesediaan untuk menyumbang kepada komuniti.

Pencapaian beliau menjadi bukti bahawa dengan peluang, bimbingan dan persekitaran yang menyokong, golongan belia yang pernah berdepan cabaran besar mampu membina semula keyakinan diri serta memainkan peranan positif dalam masyarakat.

SAYS.com
Image via Selangor Youth Community (SAY)

Selain Bukhari, dua lagi penerima turut diraikan atas pencapaian dan sumbangan mereka:

  • Perseverance Award – Mazlina Maulat, alumni dari PUSPEN Dengkil, sebagai pengiktirafan terhadap ketabahan dan keazaman beliau dalam menghadapi cabaran kehidupan serta meneruskan perjalanan pemulihan dan pembangunan diri.
  • Enterprise Award – Rumah Sahabat Hulu Langat, atas kejayaan membangunkan inisiatif keusahawanan melalui perniagaan burger dan penglibatan dalam penghasilan serta pengagihan 5,000 burger sempena bulan kemerdekaan baru-baru ini.

ㅤ

SAY dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor turut memperkenalkan kemudahan pusat transisi (after-care)

Bagi SAY , kejayaan Team Programme bukan sekadar diukur berdasarkan apa yang berlaku sepanjang sembilan minggu program, tetapi juga berdasarkan sejauh mana peserta mampu mengekalkan perkembangan tersebut selepas kembali kepada kehidupan seharian.

Sehubungan itu, SAY turut mengambil langkah untuk memperkukuh sokongan pasca-program melalui kemudahan after-care/pusat transisi, khususnya bagi alumni yang datang daripada institusi pemulihan da memerlukan sokongan tambahan dalam tempoh peralihan selepas tamat program.

Kemudahan ini dibangunkan dengan sokongan Perbadanan Wakaf Selangor sebagai sebahagian daripada usaha SAY untuk menyediakan satu ekosistem sokongan yang lebih tersusun kepada alumni, termasuk ruang untuk mereka membina rutin kehidupan yang lebih stabil, mendapatkan bimbingan, serta meneruskan usaha ke arah pekerjaan, keusahawanan dan kehidupan bermasyarakat.

SAYS.com
Image via Selangor Youth Community (SAY)

Pendekatan ini mencerminkan komitmen SAY untuk melihat perjalanan belia secara lebih menyeluruh daripada pemulihan, kepada pembangunan diri, dan seterusnya kepada kehidupan yang lebih berdikari. Bagi peserta yang telah melalui pengalaman institusi atau pemulihan, tempoh selepas tamat program sering menjadi fasa penting dalam menentukan sama ada perubahan positif yang dibina dapat dikekalkan.

Justeru, sokongan berterusan menjadi elemen penting dalam membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar institusi dan membina semula hubungan dengan keluarga, komuniti serta dunia pekerjaan.

Membina laluan ke arah masa depan

Dilaksanakan bersama The King's Trust International, Team Programme Malaysia merupakan program pembangunan belia selama sembilan minggu yang direka khusus untuk membantu golongan muda yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan.

Melalui pendekatan berasaskan pengalaman, peserta didedahkan kepada pembangunan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, pengurusan emosi, penetapan matlamat, khidmat komuniti serta kebolehpasaran. Pengalaman ini memberi ruang kepada peserta untuk mengenali kekuatan diri, membina keyakinan dan mula merancang langkah seterusnya dalam kehidupan.

Bagi SAY , setiap alumni mempunyai perjalanan yang berbeza. Ada yang meneruskan pendidikan, memasuki alam pekerjaan, membangunkan perniagaan sendiri atau kembali menyumbang kepada komuniti.

Kisah Bukhari dan rakan-rakan alumni yang diraikan pada Team Award Day 2026 menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut bahawa perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya dibina melalui peluang kedua, sokongan yang konsisten dan keberanian untuk mengambil langkah seterusnya.

Melalui gabungan Team Programme, sokongan alumni dan kemudahan after-care, SAY berhasrat untuk terus membina satu ekosistem yang bukan sahaja membantu belia bangkit semula, tetapi turut memberi mereka ruang untuk berkembang, berdikari dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

SAYS.com
Image via Selangor Youth Community (SAY)

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: