12 Kesalahan Tipikal Dalam Resume Yang Boleh Menjejaskan Reputasi Anda
Sebelum tulis resume, pastikan anda tidak mengulangi kesalahan-kesalahan seperti ini.
Biasanya, anda akan memberitahu diri sendiri, "Mungkin mereka tak perasan." atau, "Mungkin aku tak layak." Tetapi, pernahkah anda terfikir masalah sebenarnya terletak pada resume anda yang mungkin tidak menarik perhatian?
1. Mulakan resume dengan objektif
Jika anda memohon, ia sudah menunjukkan yang anda mahukan pekerjaan tersebut. Walau bagaimanapun, jika anda berada dalam situasi seperti menukar dari satu industri ke satu industri lain sepenuhnya, ia mungkin berguna untuk anda memasukkan sedikit ringkasan objektif.
2. Senaraikan semua pengalaman kerja yang tidak relevan
Ya, mungkin anda merupakan pelayan terbaik di restoran yang anda pernah bekerja beberapa tahun lalu. Tetapi, jika anda memohon bekerja sebagai seorang eksekutif di sebuah bank, pekara itu tidak lagi relevan. Sudah tiba masanya untuk menghilangkan segala kekusutan di dalam resume anda.
3. Resume terlalu bersifat peribadi
Jangan masukkan status perkahwinan, agama, hobi, umur dan lain-lain. Ini mungkin telah menjadi standard pada masa lalu, tetapi kini majikan tidak mempunyai hak untuk bertanya kepada anda tentang semua maklumat berkenaan, jadi tidak ada keperluan untuk memasukkannya.
4. Selitkan rujukan di akhir resume
Jika majikan anda mahu bercakap dengan rujukan anda, mereka akan memintanya sendiri. Jadi harus ingat, lebih baik jika anda memberitahu rujukan anda terlebih dahulu bahawa bakal majikan anda mungkin akan membuat panggilan. Jika anda tulis, "rujukan atas permintaan" di bahagian bawah resume, anda hanya menjadikannya tidak berharga, kata jurulatih kerjaya, Eli Amdur.
5. Guna kata ganti nama diri
Resume anda tidak boleh menggunakan perkataan "saya", "awak", "dia," atau "kamu". Jangan bahasakan resume anda melalui pandangan pihak pertama atau ketiga. Segala maklumat di resume adalah berkenaan anda dan pengalaman anda.
6. Pakai e-mel masa zaman kanak-kanak yang langsung tak profesional
Anda masih lagi menggunakan e-mel seperti [email protected] atau [email protected]? Kalau jawapannya ya, sudah tiba masa untuk anda menukarnya. Maka buatlah e-mel yang baru yang lebih profesional. Tak sampai 5 minit pun dan ianya percuma!
7. Resume terlalu panjang atau terlalu pendek
Salah satu matlamat menulis resume adalah untuk mendokumentasikan segala yang anda lakukan beserta pencapaian anda, tanpa berjela-jela. Bagi pekerja peringkat kemasukan dan mereka yang mempunyai beberapa tahun pengalaman, satu halaman atau kurang sudah memadai. Tetapi tidak boleh terlalu pendek sehingga tiada "isi". Jika anda mempunyai lebih daripada enam atau tujuh tahun pengalaman, pastikan resume anda tidak melebihi dua muka surat.
8. Letak maklumat gaji yang dipohon
Anda tidak perlu meletakkan tanda gaji yang anda inginkan dalam resume. Maklumat tentang gaji adalah benar-benar tidak perlu dan boleh menghantar mesej yang salah. Tujuan resume adalah untuk mempamerkan pengalaman profesional dan kemahiran anda. Soal gaji datang kemudian dalam proses temuduga.
9. Tonjolkan CGPA dan gred
Jujurnya, selepas habis belajar, gred tidaklah begitu relevan dalam mencari pekerjaan. Walaupun gred CGPA anda 3.8 atau lebih tinggi, lebih baik untuk tidak mencatatkannya. Bukanlah pendidikan itu tidak penting, tetapi untuk tujuan menulis resume, perkara ini tidak digalakkan.
10. Beri lebih tumpuan kepada tanggungjawab daripada pencapaian
Majikan selalunya sudah sedia maklum mengenai tanggungjawab utama untuk sesuatu tugas yang dipohon. Apa yang mereka mahukan di dalam resume ialah apa yang membuatkan anda berbeza daripada pemohon yang lain. Oleh itu, elakkan daripada menyenaraikan segala tanggungjawab tanpa menunjukkan sebarang hasil yang telah anda capai.
11. Kesalahan ejaan, bahasa, tanda baca dan lain-lain
Dalam menulis resume, kesalahan ejaan boleh dianggap sebagai sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. Menurut kaji selidik CareerBuilder 2013, 58% majikan mengenal pasti, resume dengan kecuaian pada ejaan dan penggunaan bahasa adalah salah satu kesilapan utama yang menyebabkan mereka menolak calon secara automatik.
12. Resume terlalu "meriah"
Resume yang tidak konvensional seperti kertas berwarna-warni, wangi, atau yang mempunyai banyak jenis tulisan yang berbeza dalam usaha untuk menjadikannya lebih menonjol barangkali akan tidak dibaca langsung. Majikan akan menganggap jika anda menggunakan taktik ini, anda mungkin tidak mempunyai kelayakan untuk bekerja.