[SHARE] Mahu 2015 Tanpa Penyesalan? Mulakan 10 Langkah Mudah Ini SEKARANG!
Usah pandang ke belakang mengenangkan perkara-perkara yang tidak tercapai sebelum ini. Sentiasa pandang ke hadapan dan jadikan 2015 anda lebih baik. hari ini!
Tahun 2014 sudah pun berlalu. Jadi, dengan tahun baru yang berada di depan mata, anda mempunyai terlalu banyak peluang yang tak ternilai. Lupakan tahun yang lalu kerana hari ini adalah hari pertama dalam seumur hidup anda.
Ingin sentiasa melakar senyuman sepanjang tahun tanpa ada rasa menyesal? Ikuti 10 langkah ini untuk anda hidup tanpa sebarang alasan dan penyesalan sehingga ke tarikh 31 Disember 2015:
1. Ketuai perjalanan hidup anda sendiri
Terdapat ramai orang yang tidak mengejar matlamat dan memenuhi impian mereka sedangkan mereka mampu. Ini kerana mereka membiarkan ketakutan mereka, atau orang lain, menguasai pemikiran mereka. Mereka menyerah sebelum mencuba dan membiarkan diri mereka hanyut dalam arus kehidupan yang terus mengalir deras.
Pilih untuk menjadi lebih kuat, pilih untuk melawan arus dan pilih untuk melakukan perkara-perkara yang anda inspirasikan. Biarkan orang lain menjalani kehidupan kecil mereka, biarkan orang lain bertelagah kerana perkara yang remeh temeh., biarkan orang lain menangisi luka yang kecil dan biarkan orang lain meletakkan masa depan mereka di tangan orang lain. Tetapi BUKAN ANDA!
2. Jangan hanya belajar. Mula LAKUKAN!
Pengetahuan digabungkan dengan niat dan tindakan akan menganjurkan rasa kepuasan dalam apa jua yang diceburi. Namun begitu, ramai orang terlepas langkah terakhir iaitu tindakan!
Jadi, tanamkan ini ke dalam minda anda: Lebih banyak ilmu yang anda kaut tidak bermakna diri anda menjadi semakin baik. Pengetahuan yang ada itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk anda mengubah tindakan dan respon anda terhadap persekitaran. Anda akan menjadi semakin baik apabila anda memilih untuk menerapkannya ke dalam kehidupan seharian anda. Selagi anda tidak bertindak, selagi itulah anda berada di takuk lama.
3. Letakkan usaha dalam mencapai matlamat terbesar anda
Adakah anda sanggup menghabiskan masa selama bertahun-tahun tidak seperti kebanyakan orang, supaya anda boleh menikmati sebahagian hidup yang lebih baik tidak sama seperti orang lain? Fikirkan sejenak tentang itu. Jika anda mahu manfaatkan sesuatu dalam hidup, ia mesti seiring dengan pengorbanan dan usaha yang ditunjukkan.
Kebanyakan orang hanya mahu ganjaran tanpa risiko. Itu namanya malas, dan sifat malas tidak memberi apa-apa manfaat. Masa dan tenaga yang anda laburkan ke dalam sesuatu pekerjaan tidak akan sia-sia. Jadi ingat, mengharapkan kemenangan tanpa persediaan dan kerja keras adalah keangkuhan. Menjangkakan kemenangan kerana bersedia dan bekerja keras adalah keyakinan - dan itulah yang anda perlukan untuk berjaya dalam jangka masa panjang.
4. Fikirkan BOLEH!
Benar, jika sesuatu itu tidak mencabar, ia tidak akan mengubah diri anda. Oleh itu, apabila matlamat anda tampak seolah-olah besar dan kelihatan sukar dicapai, terus mulakan langkah pertama. Jangan pula anda ambil satu langkah ke belakang.
Lakukannya perlahan-lahan dan sedikit demi sedikit dan tidak lama selepas itu, langkah seterusnya yang anda perlu lakukan akan dilihat tidak langsung mustahil. Dengan kesabaran dan semangat dalam diri, langkah demi langkah yang diambil pasti membolehkan anda menghadapi segala rintangan. Hakikat ini benar dan anda perlu berpegang teguh padanya. Akhirnya, anda pasti akan berjaya kerana anda cukup gila untuk berfikir anda boleh pada mulanya.
5. Sentiasa bertindak balas dengan aura positif
Bercakap tentang masalah adalah satu ketagihan yang tidak sihat. Tinggalkan tabiat ini dan berbicaralah tentang kegembiraan, kemenangan dan perkara-perkara yang bermanfaat. Elak fikirkan masalah itu sebagai masalah dan elak fikirkan kekecewaan itu sebagai kekecewaan. Itu semua negatif. Sebaliknya, bawakan kesemuanya ke sudut positiviti yang akan menjadikan anda lebih kuat dan bertenaga. Jangan terhadkan pemikiran anda kepada satu arah sahaja.
Sekarang fikirkan ini, kehidupan anda adalah sepertimana sekarang ini bukan kerana apa yang berlaku, tetapi kerana bagaimana anda bertindak balas terhadapnya. Jika anda benar-benar rasa masalah anda itu bukan masalah, maka itulah yang sebenarnya. Semuanya bergantung pada cara pemikiran dan respon anda terhadap segala yang mendatang. Jika anda boleh bayangkan bahawa apa-apa halangan tidak boleh merentap kegembiraan anda, segalanya akan menjadi lebih mudah dan tenteram.
6. Hargai perkara yang tidak boleh dibeli dengan wang Ringgit
Tahukah anda, orang yang menghabiskan masa mereka cuba untuk mengaut seberapa banyak kekayaan sebenarnya menghabiskan semua wang mereka hanya untuk mempunyai masa? Jangan lakukan ini kepada diri anda. Kaya bukan sahaja dalam konteks wang dan harta. Masa, kebahagiaan, kesihatan badan dan kasih sayang, semua ini tidak boleh dibeli dengan wang Ringgit malah amat penting untuk diterapkan dalam kehidupan seharian.
Oleh itu, luangkan masa anda dengan orang-orang tersayang dan juga dengan rakan-rakan di sekeliling. Mungkin sebelum ini anda hanya mengambil sikap endah tak endah terhadap perkara ini. Tetapi ketahuilah, orang yang anda 'take for granted' sebelum ini boleh berubah menjadi satu-satunya orang yang anda perlukan esok. Jadi, wang bukanlah segala-segalanya dalam hidup. Jaga hubungan baik dengan sesiapa jua yang anda temui.
7. Luahkan perasaan kasih sayang secara terbuka kepada orang yang anda kasihi
Dalam perjalanan hidup ini, anda akan tetap kehilangan seseorang. Tidak kira berapa banyak masa yang anda luangkan dengan seseorang, atau berapa besar penghargaan anda terhadap mereka, kadang-kadang anda rasa seolah-olah masa tidak pernah cukup untuk bersama mereka.
Jadi, elakkan ambil jalan yang sukar. Ungkapkan perasaan anda, sama ada cinta, kasih atau sayang kepada orang yang betul-betul anda hargai. Beritahu mereka apa yang anda rasa perlu untuk mereka tahu. Jangan sekali-kali pendamkan di dalam hati. Jangan jauhkan diri dari perbualan penting hanya kerana anda berasa janggal atau tidak selesa. Ketahuilah, peluang yang terhidang di depan mata anda itu mungkin anda tidak akan dapat lagi di masa akan datang.
8. Ingat, anda tidak boleh memuaskan hati semua pihak
Pasti akan ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan anda atau tak sukakan anda, tidak kira apa yang anda lakukan atau apa yang anda katakan. Betul tak? Lupakan sahaja dan teruskan menjalani hidup anda seperti biasa. Tiada siapa berhak untuk menghukum anda. Mungkin mereka telah mendengar cerita-cerita anda, tetapi tidak siapa tahu apa yang anda rasa dan apa yang anda telah lalui.
Oleh itu, tumpukan perhatian terhadap bagaimana anda merasa tentang diri anda dan sentiasa melakukan yang terbaik dalam apa jua yang anda ceburi. Sifat negatif orang lain tidak perlulah anda ikut. Apabila orang lain melayan anda dengan buruk, teruskan menjadi diri anda. Jangan sekali-kali anda biarkan kepahitan dan kelakuan buruk orang lain mengubah pendirian anda.
9. Anda juga tidak boleh hentikan penghakiman orang sekeliling terhadap anda
Orang di sekeliling anda memang tidak akan berhenti menjadi hakim. Tidak kira apa yang anda lakukan, pasti akan ada orang yang menghakimi tindakan anda itu. Ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pemikiran anda. Tetapi sebenarnya, semua itu berada dalam genggaman anda dan hanya anda yang pilih. Bukan orang lain yang menentukan.
Sebagai contoh, jika anda sedang menyelamatkan nyawa seseorang di khalayak ramai, anda akan 100% fokus. Anda tidak akan memikirkan tentang bagaimana rupa anda ketika itu, bagaimana rambut anda, badan anda, baju apa yang anda pakai dan lain-lain lagi. Semua perkara yang langsung tidak penting itu akan serta-merta hilang dari fikiran anda. Fokus anda dalam situasi itu memberi satu lonjakan motivasi untuk tidak mengambil berat tentang apa yang orang lain fikirkan. Ini membuktikan bahawa anda BOLEH mengubah cara anda berfikir.
10. Ucap "selamat tinggal" supaya anda boleh berkata "hello"
Bak kata pepatah, "goodbyes are gift". Apabila orang-orang tertentu meninggalkan anda, atau sesuatu pintu peluang telah tertutup di hadapan anda, tidak perlulah anda terlalu berpaut kepada mereka atau berdoa bagi memastikan mereka sentiasa hadir dalam hidup anda.
Jika perkara sebegini berlaku, anggaplah peluang itu tidak lagi menjadi sebahagian rancangan untuk langkah seterusnya dalam hidup anda. Ia adalah satu petunjuk bahawa untuk menjadi seseorang yang lebih matang, anda memerlukan seseorang yang berbeza dan sesuatu yang lebih. Hidup ini sentiasa perlu diberi ruang kepada perkara-perkara baru. Jadi hadapi "selamat tinggal" dengan tenang. Percayalah, setiap "selamat tinggal" itu akan menjurus anda kepada sesuatu "hello" yang lebih baik di masa akan datang. Have faith!