Siap Ada Loteng & Kolam Ikan, Rumah Dibina Atas Parkir PPR Akhirnya Dirobohkan Pihak Berkuasa
Rumah itu dipercayai mendapat bekalan elektrik yang disambungkan terus dari sebuah unit di tingkat empat flat berkenaan.
Cover image via Kosmo!Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ramai sangka kawasan parkir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) cuma digunakan untuk letak kereta
Tapi di PPR Paya Nahu 2, Sungai Petani, Kedah lain pula ceritanya apabila sebuah rumah lengkap dengan loteng, kolam ikan dan penyaman udara dikesan dibina secara kekal di kawasan tersebut.
Lebih mengejutkan, rumah itu dipercayai mendapat bekalan elektrik yang disambungkan terus dari sebuah unit di tingkat empat flat berkenaan.
Menurut Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, penemuan itu dibuat menerusi Operasi Bersepadu Penguatkuasaan yang dijalankan pada 14 Julai lalu.
Menerusi laporan Kosmo!, pihak berkuasa memaklumkan kesalahan paling serius ialah pembinaan sebuah rumah batu secara kekal di atas tapak parkir awam.
Lebih daripada sekadar binaan biasa, rumah tersebut dilengkapi loteng, kolam ikan dan penyaman udara sebelum dijadikan kediaman. Sedangkan, kawasan parkir merupakan kemudahan awam yang tidak boleh dijadikan hak milik persendirian.

Bukan sebuah saja, banyak lagi binaan haram dikesan
Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menemui beberapa lagi struktur yang dibina tanpa kebenaran di kawasan parkir.
Antaranya termasuk:
- Garaj kereta
- Stor simpanan
- Bangsal berbumbung
- Struktur kekal untuk kegunaan peribadi
Susulan itu, operasi penguatkuasaan diteruskan semalam dengan kerja-kerja merobohkan binaan yang melanggar syarat.
Menurut Bahagian Perumahan SUK Kedah, tindakan itu diambil kerana binaan berkenaan bukan sahaja menyalahgunakan kawasan awam, malah menghalang kerja penyelenggaraan dan penyampaian perkhidmatan oleh pihak berkuasa.
Lebih 150 unit diduduki tanpa kebenaran
Untuk rekod, PPR Paya Nahu 2 dibina pada tahun 2003 dan mula diduduki setahun kemudian. Kini, kawasan itu mempunyai 22 blok dengan keseluruhan 1,456 unit kediaman.
Daripada jumlah tersebut:
- 1,102 unit diduduki secara sah.
- 159 unit dikenal pasti diduduki tanpa kebenaran atau tidak didaftarkan.
Selain isu binaan haram, tunggakan sewa semasa di PPR berkenaan juga dilaporkan mencecah hampir RM649,000 selepas beberapa siri pembaharuan perjanjian dibuat.
Sebelum ini, jumlah tunggakan keseluruhan di kawasan tersebut pernah direkodkan melebihi RM30 juta.
Bahagian Perumahan SUK Kedah turut mengingatkan semua penghuni supaya menjelaskan bayaran sewa secara konsisten kerana hasil kutipan itu digunakan untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan di PPR.
Dalam masa sama, pihak berkuasa menegaskan mereka tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penghuni yang membina struktur tanpa kebenaran atau gagal mematuhi syarat penyewaan. Matlamatnya adalah untuk memastikan kawasan PPR kekal selamat, teratur dan selesa untuk semua penghuni.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


