Solidariti Buat Macklemore, Empat Artis Buat Keputusan Tarik Diri Konsert Jelajah Ed Sheeran
Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas Macklemore disingkirkan daripada baki jelajah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jelajah Loop Tour Ed Sheeran di Amerika Utara berdepan kontroversi selepas empat artis sokongan mengumumkan keputusan menarik diri sebagai tanda solidariti terhadap penyanyi rap Macklemore
Menurut laporan Utusan Malaysia, mereka yang memilih untuk meninggalkan jelajah berkenaan ialah Finneas, Lukas Graham, Aaron Rowe dan kumpulan muzik Ireland, Beoga.
Keputusan itu dibuat selepas Macklemore disingkirkan daripada baki jelajah susulan kenyataan terbukanya mengenai Palestin ketika membuat persembahan di MetLife Stadium, New Jersey.
Dalam persembahan tersebut, Macklemore melaungkan "Free Palestine" selain membawakan lagu protes Hind's Hall yang dikaitkan dengan perang di Gaza.

Finneas antara artis yang menyuarakan pendirian bahawa seseorang artis tidak sepatutnya disenyapkan hanya kerana bersuara mengenai isu penindasan
Sementara itu, Rowe menjelaskan keputusannya dengan merujuk kepada sejarah Ireland, manakala Lukas Graham mempersoalkan penggunaan pengaruh dan kuasa golongan kaya dalam menentukan siapa yang dibenarkan bersuara di atas pentas.
Promoter jelajah, Messina Touring Group, sebelum ini mengesahkan beberapa venue tidak akan membenarkan persembahan diteruskan sekiranya Macklemore kekal dalam senarai artis.

Kontroversi tersebut turut melibatkan pemilik New England Patriots dan Gillette Stadium, Robert Kraft.
Kraft yang merupakan tokoh perniagaan serta penderma kepada usaha berkaitan komuniti Yahudi dan Israel, mengesahkan beliau mempunyai peranan dalam keputusan menghalang Macklemore daripada membuat persembahan di Gillette Stadium.
Menurut Kraft, keputusan itu dibuat berdasarkan kenyataan dan bahan persembahan Macklemore, selain apa yang disifatkannya sebagai sejarah retorik dan imej antisemitik penyanyi berkenaan.
Macklemore bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa sokongannya terhadap Palestin menjadi punca beliau disingkirkan daripada jelajah.
Ed Sheeran pula menjelaskan bahawa keputusan untuk menggugurkan Macklemore bukan dibuat olehnya, sebaliknya oleh pihak promoter dan venue selepas beberapa stadium memberikan tekanan untuk menolak penyertaan rapper tersebut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via