"Stay Safe Abah" - Gelagat Muhyiddin Yassin Cari Barang Di Pasar Raya Curi Tumpuan Netizen
Bagus PM kita!
Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat telah berjaya menambat hati rakyat berbilang kaum di Malaysia meskipun baru hampir sebulan bergelar Perdana Menteri
Keprihatinan yang ditunjukkan beliau dalam usaha untuk membantu seluruh rakyat Malaysia ketika krisis susulan wabak Covid-19 ketika ini dilihat begitu memberangsangkan dan mendapat pujian majoriti rakyat Malaysia.
Bahkan ketika ini, ramai dalam kalangan netizen mula memberikan gelaran seperti 'bapa keprihatinan' dan tidak kurang juga ada yang mula memanggil serta menganggap beliau sebagai 'abah'.
Hari ini, Muhyiddin sekali lagi berjaya mencuri tumpuan netizen dengan tindakannya mengunjungi sebuah pasar raya untuk membeli barangan
Menerusi satu tweet terbaru yang dibuat beliau di laman Twitter rasmi miliknya, Muhyiddin memaklumkan bahawa dirinya sempat turun ke sebuah pasar raya di Kuala Lumpur pada pagi tadi untuk membeli sedikit barangan keperluan.
Ketika melakukan sesi kunjungan itu, Muhyiddin sempat memuji rakyat Malaysia yang dilihat sudah mula mengikuti arahan dengan menjaga jarak sosial antara satu lain. Bukan itu sahaja, beliau dalam pada itu turut mengingatkan masyarakat untuk tidak panik kerana kebanyakan barang di pasar raya masih penuh dan mencukupi.
Kurang satu jam ia dimuatnaik, tweet Perdana Menteri tersebut telah mendapat perhatian netizen sehingga meraih lebih daripada 3 ribu RTs dan hampir 7 ribu tanda suka.
Rata-rata netizen yang melihat 'gelagat' pemimpin nombor satu negara itu tidak melepaskan peluang untuk memuji dan memberikan sokongan kepada beliau