Suami Kecewa Isteri Sarat Hamil Dituduh Sorok Barang Curi Dalam Baju Di Pasar Raya
Kesian dekat isteri dia.
Cover image via @fareezshah10 (Threads)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bayangkan sedang sarat hamil dan hanya beberapa hari lagi menunggu detik bersalin, tiba-tiba ditahan di depan orang ramai kerana disyaki mencuri
Itulah pengalaman yang didakwa dilalui seorang wanita hamil 38 minggu selepas ditahan oleh kakitangan sebuah pasar raya di Selayang sebaik selesai membuat pembayaran.
Menerusi perkongsian suaminya di Threads, mereka ditahan oleh seorang kakitangan lelaki yang kemudian memandang ke arah perut isterinya sebelum bertanya sama ada wanita itu menyembunyikan barangan di dalam perutnya.
Menurut lelaki itu, dia segera meminta bukti jika benar isterinya didakwa mencuri. Namun, apa yang berlaku selepas itu lebih mengejutkan apabila kakitangan terbabit didakwa meminta 'buku pink' sebagai bukti kehamilan sebelum mengarahkan isterinya menunjukkan bahagian perut.

Dia berkata isterinya terpaksa menunggu hampir 20 minit di hadapan pelanggan lain sementara pihak pasar raya menghubungi penyelia, sekali gus menyebabkan wanita itu berasa malu dan tertekan.
Apabila penyelia tiba, juruwang yang membuat dakwaan itu akhirnya mengakui dia sebenarnya tidak pernah melihat wanita tersebut mengambil sebarang barangan.
Sebaliknya, dia hanya membuat andaian kerana merasakan bentuk perut wanita itu tidak kelihatan seperti orang hamil dan mengesyaki ada barang disorok.


Menurut suami mangsa, tiada saksi, tiada bukti dan tiada sebarang kehilangan barang yang berlaku
Juruwang berkenaan kemudian memohon maaf, manakala kakitangan lelaki yang menahan mereka turut berbuat demikian selepas dia bersemuka dengannya.
Bagi lelaki itu, insiden tersebut bukan sekadar salah faham, tetapi memberi tekanan emosi kepada isterinya yang sedang menanti kelahiran anak sulung mereka.
Dia berharap pihak pengurusan pasar raya menjalankan siasatan terhadap kejadian itu dan memastikan kakitangan mematuhi prosedur yang lebih profesional pada masa hadapan.
Menurutnya, jika benar wujud syak wasangka berlaku kecurian, ia sepatutnya ditangani berdasarkan bukti dan mengikut prosedur, bukannya dengan membuat andaian sehingga mengaibkan pelanggan, lebih-lebih lagi wanita yang sedang hamil.
Terbaharu, lelaki itu sudah membuat laporan polis susulan insiden tersebut dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan kepada dia dan isteri

Lihat posting penuh di sini:
View on Threads
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


