Tak Sampai Setahun Bekerja, 36% 'Fresh Grad' Berhenti Dan Tukar Kerja Lain - Kajian
Salah satu faktor: Kejar gaji yang lebih tinggi.
Lebih daripada satu pertiga fresh grad di Malaysia berhenti kerja dalam masa kurang dari satu tahun
Menurut kajian baru oleh Monster.com, ramai golongan muda Malaysia melompat kerja dalam tahun pertama mereka walaupun 58% percaya bahawa pekerjaan pertama mereka sangat penting bagi membuka jalan untuk karier di masa depan.
Penyelidikan yang meninjau lebih 700 graduan dan majikan baru di Malaysia ini mendedahkan bahawa 36% bakat muda meninggalkan pekerjaan pertama mereka dalam setahun, dengan 74% mengaitkannya dengan kekurangan pembangunan profesional dan 43% mengatakan mereka menerima bayaran lebih tinggi.
Tidak mencapai expectations di antara pekerja dan majikan, terutamanya soal gaji
Walaupun 80% majikan percaya mereka memberikan sokongan yang mencukupi untuk membantu para graduan berjaya, 24% berkata mereka bergelut dengan kekurangan tunjuk ajar atau mentoring, dan 22% mengatakan mereka menghadapi cabaran dengan bos mereka, manakala 21% merasakan mereka sepatutnya menerima gaji yang lebih baik.
Sanjay Modi, Pengarah Urusan Monster.com, bahagian Asia Pasifik dan Timur Tengah berkata ketidaksepadanan di antara majikan dan graduan baru adalah "membimbangkan"
"Ini semestinya menjadi kebimbangan bagi majikan yang ingin menarik minat, mengambil, dan mengekalkan bakat muda dalam jangka masa panjang," kata Sanjay Modi.
"Fresh grad mungkin menjangkakan bayaran yang tinggi dalam masa yang singkat. Tidak dinafikan, struktur gaji menjadi pengukur penting untuk bakat muda, tetapi majikan perlu bekerja lebih keras lagi untuk menguruskan jangkaan mereka dalam tempoh 12 bulan pertama.
"Inilah masanya untuk mereka membuktikan diri mereka, bekerja keras, dan mencapai sasaran masing-masing yang telah diberikan kepada mereka. Graduan baru seharusnya tidak mengharapkan kenaikan pangkat," katanya lagi.
Tinjauan ini juga menemui pemahaman penting mengenai apa yang dicari oleh majikan Malaysia pada CV, dan kesilapan besar yang dilakukan fresh grad ketika interview
67% majikan mengatakan mereka menghabiskan kurang daripada tiga minit membaca CV, dengan 50% mengimbasnya selama satu hingga tiga minit, dan 17% hanya meliriknya kurang daripada 60 saat.
Apabila mempertimbangkan CV, majikan mengambil berat tentang pengalaman yang relevan dengan kerja yang diminta (68%), diikuti oleh kelayakan dan pendidikan (58%), dan resume ditulis dengan baik dan mudah dibaca (45% ).
Menariknya, majikan selalunya tidak peduli dengan ejaan dan tatabahasa yang betul (11%), pautan ke portfolio kerja anda (8%) atau pengalaman sukarelawan yang mungkin anda miliki (5%).
Job seekers di Malaysia bersetuju bahagian paling sukar dalam menulis CV ialah ringkasan kerjaya (26%). Berkenaan kesilapan ketika interview pula, 54% mengatakan penyesalan tersbesar adalah tidak melakukan penyelidikan yang mencukupi, diikuti dengan tidak bertanya (46%).
Jadi, apa yang fresh grad perlu buat?
Menurut kaji selidik ini, satu cara graduan baru dapat membantu diri mereka untuk maju dengan lebih pantas adalah dengan melengkapkan latihan industri yang relevan sebelum mencari pekerjaan pertama mereka.
Walau bagaimanapun, sementara 91% majikan Malaysia mengatakan bahawa latihan adalah penting, hanya 42% daripada majikan tempatan yang menawarkan program latihan.