Taanusiya Cipta Sejarah Di Miss World 2026, Raih Tempat Ketiga & Dinobat Sebagai Miss Asia
Cantiknya, tahniah Taanusiya!
Cover image via @taanusiyaa_ (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas 28 tahun, Malaysia sekali lagi mencipta detik manis di pentas Miss World apabila wakil negara, Taanusiya Chetty, berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga
Menurut laporan NST, wanita berusia 26 tahun itu turut dinobatkan sebagai Miss Asia pada pertandingan akhir Miss World 2026 yang berlangsung di Nha Trang, Vietnam, baru-baru ini.
Bagi Taanusiya atau lebih mesra disapa Taanu, pencapaian berkenaan bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya hadiah buat seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan doa sepanjang saingan.
"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong saya sepanjang pertandingan ini di Vietnam. Saya sangat bersyukur kerana dapat mencipta sejarah buat kali kedua untuk negara tercinta kita," katanya.

Menurutnya, pencapaian itu cukup bermakna kerana Malaysia pernah meraih tempat naib juara kedua menerusi Lina Teoh pada 1998
Selepas hampir tiga dekad, Taanusiya berjaya menyamai pencapaian tersebut. Perjalanan Taanusiya ke pentas akhir bukan mudah.
Beliau terlebih dahulu mencuri perhatian apabila memenangi segmen Beauty With A Purpose (BWAP), sekali gus membolehkannya mara ke kelompok enam terbaik.
Segmen tersebut memberi tumpuan kepada usaha kemanusiaan, pendidikan dan kesihatan yang dibawa oleh para peserta.
Sebagai pemenang, Taanusiya juga akan menyertai Miss World 2026, Joheirry Mola Dominguez dari Republik Dominika, dalam jelajah global bagi melaksanakan tugasan kemanusiaan.
Pada malam kemuncak pertandingan, Dominguez dinobatkan sebagai Miss World 2026, manakala wakil Sepanyol, Elisabeth Reynes Alabern, menduduki tempat kedua.
Jawapan mengenai alam sekitar curi perhatian

Ketika sesi soal jawab pula, Taanusiya tampil dalam gaun merah jambu rekaan pereka Vietnam, Minh Tuan Couture. Jawapannya mengenai kepentingan melindungi alam sekitar ternyata berjaya memikat perhatian juri.
Berkongsi pengalaman sebagai seorang guru, beliau menekankan bahawa pendidikan mengenai alam sekitar perlu dimulakan sejak usia kanak-kanak.
Antara contoh yang diketengahkan ialah aktiviti menanam pokok yang menurutnya dapat mengajar kanak-kanak tentang proses pertumbuhan, kesabaran dan tanggungjawab.
"Saya mahu menjadi guru yang memberikan kepada pelajar, tanpa mengira latar belakang mereka, benih untuk ditanam yang memerlukan masa untuk tumbuh.
"Apabila anda berbuat demikian, anda akan mempengaruhi ramai orang lain di seluruh dunia," katanya.
Fasih empat bahasa

Taanusiya sebelum ini turut menjadi perhatian ramai ketika menyertai Head-to-Head Challenge bagi rantau Asia dan Oceania pada 23 Ogos.
Dalam sesi tersebut, beliau menunjukkan penguasaan empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Selain bergiat dalam dunia pertandingan ratu cantik, Taanusiya juga aktif mempromosikan pelbagai inisiatif kemasyarakatan menerusi Be The Change Malaysia.
Dengan kejayaan di Miss World 2026 ini, Taanusiya bukan sahaja membawa pulang gelaran Miss Asia, malah mengukuhkan namanya sebagai antara wakil Malaysia yang berjaya mencipta sejarah di pentas pertandingan kecantikan berprestij dunia.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


