Tadika Di Alor Setar Dikesan Sebar Ajaran Syiah Kepada Kanak-Kanak
Bagaimana ajaran seperti ini boleh berleluasa ke peringkat tadika?
Mengejutkan apabila satu artikel di Sinar Harian melaporkan terdapat sebuah tadika di Alor Setar dikesan mengajar muridnya menghina Nabi. Lebih memeranjatkan, tadika itu sudah dua tahun beroperasi.
Perkara itu disahkan Pengerusi Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (GIPTIS), Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi yang menjelaskan murid terbabit tidak tahu apa-apa kerana mengikut apa sahaja yang diajarkan oleh guru.
sinarharian.com.myPerkara ini mula disedari apabila waris murid merasakan sesuatu yang mencurigakan mengenai ilmu yang disampaikan guru di tadika tersebut
Waris murid yang ditemui memberitahu bahawa mereka tidak tahu apa yang diajar guru di tadika itu tetapi apabila anak-anak balik ke rumah, mereka menyanyi lagu nasyid.
“Ada juga kadang-kadang kami terdengar seolah-olah ada penghinaan kepada Nabi di tadika tetapi kami tidak pasti kesahihannya” ujar seorang waris.
Difahamkan, kaedah yang digunakan oleh guru berkenaan untuk mengajar muridnya sangat licik apabila terselit unsur cercaan terhadap Nabi secara halus
“Kaedah yang digunakan guru tadika itu memang bijak. Mereka pandai ajar murid-murid lagu nasyid, puji Nabi, Allah dan sebagainya. Malah mereka (murid) juga mempraktikkan semula apa yang dipelajari di rumah. Tetapi di sebalik pujian itu ada cercaan terhadap Nabi” ujar Abd Aziz.
sinarharian.com.mySelain pendedahan mengenai agama Islam, tadika terbabit turut mengajar muridnya Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
Difahamkan juga, tadika itu beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 1 petang. Ia melibatkan kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun.
Tadika tersebut turut menawarkan pelbagai pakej pengajian serendah RM100 hingga RM800 sebulan.
Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa digesa untuk mengambil tindakan tegas terhadap tadika itu kerana dipercayai ada kaitan dengan penyebaran fahaman Syiah dalam kalangan kanak-kanak
“Pada saya ini adalah suatu tindakan yang terancang. Mereka menyasarkan golongan kanak-kanak untuk tujuan jangka masa panjang. Saya nasihatkan waris supaya segera keluarkan anak mereka dari situ. Banyak lagi tadika lain yang boleh dipercayai”
“Pihak berkuasa perlu ambil tindakan segera menutup tadika berkenaan. Malah setiap tenaga pengajar juga perlu disoal siasat," kata beliau lagi.