Taiwan Meterai MOU Bersama Malaysia Airlines, Lancar Insentif Pelancongan Baharu
Taiwan memperkenalkan konsep pemasaran "Taiwan Never Sleeps" bagi mengetengahkan kepelbagaian daya tarikan negara itu sepanjang 24 jam.
Cover image via Taiwan Tourism MYFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pentadbiran Pelancongan Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi (MOTC) Taiwan secara rasmi mengukuhkan kehadiran mereka dalam pasaran pelancongan outbound Malaysia menerusi pembukaan Pavilion Taiwan di Pameran MATTA Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 4 hingga 6 September 2026
Bagi menjayakan penyertaan pada pameran pelancongan terbesar di Malaysia itu, Pentadbiran Pelancongan Taiwan menghimpunkan delegasi pelancongan tempatan yang terdiri daripada 44 organisasi dan 76 wakil industri, merangkumi pihak kerajaan tempatan, persatuan pelancongan, serta pengendali pakej percutian.
Delegasi yang tiba pada 3 September itu dipimpin secara peribadi oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Joseph Cheng, di mana Taiwan turut diiktiraf sebagai Rakan Kongsi Penting (Important Partner) pada pameran kali ini.
Acara berkenaan turut menyaksikan pencapaian bersejarah menerusi penandatanganan Memorandum Persefahaman (MOU) julung kali antara Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur bersama syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines. Kerjasama strategik ini menumpukan kepada penganjuran lawatan suai kenal (FAM Trips), pembangunan produk pelancongan baharu, serta inisiatif pemasaran bersama bagi mengukuhkan jaringan sambungan udara dan memacu angka ketibaan pelancong antara Taiwan dan Malaysia.
Seiring dengan majlis penandatanganan tersebut, Joseph Cheng turut merasmikan majlis pemindahan lokasi baharu Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur pada 4 September bagi memperluas kapasiti serta mutu perkhidmatan tempatan.

Lancar pakej insentif baharu di bawah Tourism Dual-Wheel Drive Program yang mula berkuat kuasa pada 1 September
Menerusi kempen promosi bertema "Taiwan – Waves of Wonder" dan "Taiwan – 100 Ways", Taiwan memperkenalkan konsep pemasaran "Taiwan Never Sleeps" bagi mengetengahkan kepelbagaian daya tarikan negara itu sepanjang 24 jam. Pihak MOTC turut melancarkan pakej insentif baharu di bawah Tourism Dual-Wheel Drive Program yang mula berkuat kuasa pada 1 September.
Program ini menawarkan kemudahan khas untuk pengunjung MICE yang melanjutkan tempoh penginapan bagi tujuan rekreasi, selain insentif penginapan tambahan bagi kumpulan korporat luar negara yang melancong ke kawasan tengah, selatan, serta wilayah Hualien–Taitung. Bagi menggalakkan kunjungan berulang, Taiwan turut memperkenalkan program "Return to Taiwan, Double the Luck" berasaskan kejayaan kempen cabutan bertuah Taiwan the Lucky Land sebelum ini.
Pelancong yang pernah memasuki Taiwan pada atau selepas 1 Januari 2023 layak menerima kredit perbelanjaan kad simpanan bernilai NT$5,000 apabila berkunjung semula. Manakala bagi mereka yang melancong bersama ahli keluarga atau rakan, insentif tambahan bernilai NT$3,000 turut diberikan kepada rakan perjalanan, menjadikan nilai keseluruhan manfaat yang ditawarkan mencecah NT$8,000.

Sebagai peneraju destinasi mesra Muslim yang berada di tangga ke-3 secara global dalam kalangan negara bukan OIC menerusi Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2026, Pavilion Taiwan turut menjemput penglibatan pengendali pelancongan Muslim Malaysia buat julung kalinya.
Bagi menarik perhatian pengunjung, pavilion berkenaan menyediakan stan foto bertema, kuiz interaktif, pertunjukan diabolo LED bertaraf antarabangsa oleh kumpulan Diabolo Walker, serta sesi perkongsian pengalaman daripada pempengaruh tempatan Azim Othman bersama pasangan Alana dan Abbas.
Selepas melabuhkan tirai di Kuala Lumpur yang menarik lebih 10,000 pengunjung, delegasi pelancongan Taiwan meneruskan siri jelajah ke Johor Bahru pada 8 September bagi penganjuran Taiwan Tourism Workshop dan sesi B2B di Hotel Sheraton Johor Bahru.
Program promosi dua bandar ini menghimpunkan hampir 100 wakil persatuan dan agensi pelancongan tempatan menerusi sasaran lebih 3,000 sesi pertemuan perniagaan bagi memaksimumkan potensi pasaran pelancongan di selatan tanah air.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Joseph Cheng berkata, mengharap promosi ini dapat membuka mata masyarakat Malaysia terhadap keunikan dan kepelbagaian tarikan pelancongan Taiwan yang sentiasa meriah dari pagi hingga malam, 24 jam sehari.
"Taiwan menawarkan pelbagai pengalaman menarik, termasuk makanan, budaya, alam semula jadi dan aktiviti membeli-belah. Bila-bila masa dan di mana sahaja, Taiwan sentiasa bersedia mengalu-alukan kedatangan pelancong Malaysia," katanya.
Taiwan bukan sekadar destinasi percutian, malah menawarkan pengalaman baharu dan kenangan bermakna pada setiap kunjungan. Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan berkunjung ke Taiwan untuk menerokai keistimewaannya serta menikmati pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


