Tak Kisah Redah Pacat & Nyamuk, Pelajar Ini Tetap Sanggup Demi 'Internet' Untuk Jawab Exam
Nurlieda Khaleeda juga perlu mendaki bukit lebih 20 meter untuk sampai di khemah yang dibina ayahnya.
Disebabkan gangguan internet dan komunikasi, seorang penuntut Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) terpaksa jawab exam di atas bukit bertemankan nyamuk dan pacat
Menurut sumber, Nurlieda Khaleeda, 20, berkata, dia juga perlu mendaki lebih 20 meter untuk sampai di khemah yang dibina ayahnya, Mohd Azmi Ahmad, 48, di bukit belakang rumahnya di Kampung Bukit Petai Tujuh, Tanah Merah di Kelantan bagi menjawab exam selain mengulang kaji.
Selain perlu memanjat dengan keadaan tanah yang becak, penuntut tahun dua jurusan Teknologi Makmal Perubatan itu juga terpaksa menjawab exam dalam suasana tidak selesa kerana gangguan nyamuk dan kadang-kala terdapat ular yang menyusur keluar berdekatan ‘dewan’ peperiksaannya.
Lebih memeritkan lagi, apabila ruang untuk dia mengikuti kelas online, mengulang kaji dan menjawab soalan exam itu turut terkena tempias setiap kali hujan selain berdepan gangguan capaian internet yang kurang memuaskan.
Situasi yang perlu dilaluinya itu adalah lebih baik daripada dia belajar di rumah tanpa kemudahan internet demi masa depannya
Tambah Nurlieda Khaleeda, selain kelengkapan seperti laptop, modem WiFi, nota dan tripod yang perlu di bawa untuk menjawab exam, dia juga tidak boleh terlupa untuk membawa ubat nyamuk serta kipas kerana kawasan tersebut banyak nyamuk.
“Ayah kasihankan saya, kerana sebelum ini saya perlu ke bandar Tanah Merah Baru yang terletak lebih tiga kilometer dari rumah untuk belajar. Jadi ayah naik ke bukit ini dua hari sebelum peperiksaan saya bermula untuk cari kawasan yang ada internet.
“Ayah tidak mahu saya gagal dalam peperiksaan, jadi dia berikhtiar masuk hutan untuk bina khemah ini dan sambungkan bekalan elektrik dari rumah untuk kegunaan saya di sini," ujarnya.
Masalah yang dihadapi itu bukan hanya dilalui oleh olehnya sahaja tetapi perkara itu juga turut membelenggu para penduduk kampung yang lain
Menurut Nurlieda Khaleeda, setiap kali menjawab exam dia juga bimbang jika capaian internet di kawasan itu terputus kerana perlu menjawab semula soalan sekiranya berlaku gangguan dan tiada masa tambahan diberikan.
“Exam saya bermula 23 November lalu dan setakat ini saya sudah selesai menjawab tiga kertas soalan dan masih berbaki lagi dua lagi kertas exam yang perlu dijawab,” katanya.
Sementara itu bapanya, Mohd Azmi berkata, masalah yang dihadapi itu bukan hanya dilalui oleh anaknya sahaja tetapi perkara itu juga turut membelenggu anak-anak penduduk di lima kampung lain iaitu Kampung Mengat, Degong, Che Nakaf, Jerangau Dalam dan Jerangau Luar.
“Selain saya, kadang-kala along (Nurlieda Khaleeda) turut ditemani adiknya, Muhammad Addin Aiman, 16, untuk belajar. Saya tidak benarkan along bersendirian kerana kawasan itu juga tidak selamat,” katanya.
Semoga masalah yang dihadapi adik Nurlieda Khaleeda dan penduduk setempat ini mendapat perhatian pihak berkaitan serta dapat diselesaikan dengan segera.