seismik

Cili Padi & 6 Lagi Tanaman Yang Mudah Ditanam Sendiri Di Rumah. Duduk Kondo Pun Boleh!

Jangan risau, anda tidak memerlukan ruang yang besar untuk bercucuk tanam. ;)

Cover image via Vanessa Greaves/All Recipes | Home Grown Veg/YouTube

Menanam semula lebihan sayuran daripada dapur anda bukan saja dapat menjimatkan wang dan mengelakkan pembaziran, tetapi ianya juga tidaklah serumit yang disangka!

Tambahan pula, terdapat banyak jenis tanaman yang tidak memerlukan ruang yang besar. Ini bermakna anda boleh mulakan koleksi tanaman anda walaupun menetap di tempat dengan ruang terhad seperti di kondo.

Berikut adalah antara sayuran beginner-friendly yang mudah untuk anda tanam di rumah:

1. Daun bawang

Image via Kebun Bandar

Oleh kerana kebanyakan pasaraya menjual daun bawang dengan kuantiti yang banyak, pasti kerap terjadi di mana hanya sebahagian sahaja daun bawang yang digunakan dan selebihnya pula layu di dalam peti sejuk.

Untuk mengelakkan pembaziran seperti ini, anda boleh memotong bahagian atas bawang merah dan tanam bahagian yang berakar di dalam pasu bertanah. Siram sekali sehari dan pastikan ianya mendapat cahaya matahari.

Daun bawang akan mengambil masa lebih kurang tiga minggu untuk membesar. Dengan adanya tanaman ini, anda boleh mengambil daun bawang dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

Bonus: Daun bawang mempunyai bau yang dapat menolong menghindar tanaman lain daripada serangga perosak.

2. Cili padi

Image via Saja Kongsi

Untuk tanam cili padi di rumah, keratkan cili padi dan ambil bijinya. Tabur di dalam pasu berisi tanah dan siram dua kali sehari.

Image via Tanam Sendiri

Apabila pokok cili padi sudah bercambah dan mempunyai sekurang-kurangnya lapan helai daun, anda boleh memindahkannya ke dalam pasu yang lebih besar supaya ianya dapat membesar dengan sempurna.

3. Serai

Image via Satkoba

Jika anda mempunyai lebihan serai di dapur, rendamkan bahagian akarnya di dalam balang berisi air. Ini akan merangsang pertumbuhan akar dan ianya akan mula bertunas dalam masa tiga ke empat hari.

Image via Satkoba

Apabila sudah bertunas, tanam serai tersebut secara serong di dalam pasu. Pada minggu pertama, siram dua kali sehari untuk menggalakkan pertumbuhan. Selepas tujuh hari, anda hanya perlu menyiramnya sekali sehari sahaja.

4. Celery

Lebihan bahagian akar sayur celery yang tidak digunakan juga boleh ditanam semula. Ambil lebih kurang tiga inci bahagian akar celery dan cucukkannya dengan batang lidi sebelum direndam di dalam bekas berisi air. Fungsi lidi tersebut ialah supaya bahagian akar tidak mencecah permukaan bawah bekas. Simpan bekas di tempat bercahaya matahari.

Image via Raja That!

Selepas lebih kurang satu ke dua minggu, anda akan mendapati celery anda sudah mula bercambah di bahagian tengah. Ini bermaksud anda sudah boleh mengalihkannya ke dalam pasu bertanah. Celery memerlukan tanah yang sentiasa lembap jadi jangan lupa untuk menyiramnya dua kali sehari.

5. Halia

Untuk menanam semula halia, pilih bahagian halia yang bertunas. Tanam halia tersebut di dalam pasu dan pastikan ianya berada di kawasan separuh teduh, tetapi masih mempunyai dedahan cahaya matahari.

Halia muda boleh dituai selepas enam bulan, manakala halia tua pula boleh dituai selepas sembilan bulan.

6. Bawang putih

Image via Birds & Blooms

Untuk menanam bawang putih, anda hanya perlu mengambil beberapa ulas bawang tersebut dan menanam setiap ulas secara menegak (bahagian akar diletakkan di bahagian bawah) di dalam pasu. Pastikan ianya mendapat cahaya matahari yang mencukupi. Anda boleh mula menuai apabila daun mula bertukar kekuningan.

7. Daun ketumbar

Pastikan hanya bahagian akar sahaja yang ditimbus dengan tanah. Elakkan bahagian batang daripada turut tertanam, supaya ianya dapat membesar dengan sempurna.

Image via Indo Indians

Ambil bahagian akar lebih kurang dua ke tiga inci dan rendam di dalam bekas berisi air. Apabila sudah mula membesar lagi beberapa inci, pindahkan pokok ketumbar anda ke dalam pasu.

Selain menjimatkan kos dan mengelakkan pembaziran, memulakan koleksi tanaman anda sendiri di rumah juga dapat mencantikkan lagi halaman dan memberikan suasana kehijauan yang segar!

Image via SP Models

Selain pasu, anda boleh juga menggunakan bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti tin minuman untuk memberikan sentuhan unik kepada koleksi tanaman anda.

Tips dapur apa pula yang ingin anda dapatkan? Beritahu kami request anda di ruangan komen!

Jimat belanja barang dapur dan waktu memasak anda dengan idea-idea ini:

You may be interested in: