seismik

7 Tips 'Meal Prep' Mudah Untuk Jimatkan Masa Dan Tenaga Anda Di Dapur

Enjoy air tangan sendiri setiap hari! :)

Cover image via Resipi Periuk Noxxa | Resipi Sedap

Memasak hidangan makan malam setelah seharian bekerja semestinya bukan perkara yang mudah

Image via Her Campus

Tidak hairanlah mengapa semakin ramai yang mengamalkan meal prep untuk menjimatkan masa dan tenaga di dapur. Ingin tahu bagaimana caranya? Ikuti idea-idea ini:

1. Pilih satu hari utama untuk membeli-belah dan memasak

Image via Utusan Online

Pilih sehari dalam seminggu untuk anda membeli barang dapur dan memasak hidangan untuk minggu tersebut. Anda boleh mulakan dengan grocery shopping di pagi hari, diikuti dengan memasak dan mengemas dapur daripada tengah hari ke petang.

Cara ini mungkin terasa memenatkan pada mulanya, tapi ianya lebih efisyen kerana anda hanya perlu membuat kebanyakan kerja (memotong sayur, memasak, mencuci periuk dan pinggan mangkuk) sekali sahaja, dan anda hanya perlu membuat kerja-kerja ringan untuk hari-hari lain pada minggu tersebut.

2. Masak dua atau tiga lauk utama yang boleh dihidangkan sepanjang minggu

Anda boleh menggunakan hari memasak anda untuk menyediakan beberapa lauk utama secara pukal. Dengan cara ini, apabila tiba waktu makan, anda hanya perlu memasak lauk sampingan yang ringkas (seperti sayur campur, telur dadar, dan sebagainya) dan tidak perlu menghabiskan masa untuk memasak lauk utama juga.

Kebanyakan lauk boleh bertahan lebih kurang tiga ke lima hari di dalam peti sejuk. Untuk pastikan lauk tahan lebih lama, simpan di rak peti sejuk paling bawah kerana suhunya paling dingin.

3. Kisar bawang, halia, kunyit dan cili secara pukal

Untuk mengurangkan waktu penyediaan anda setiap hari, gunakan hari memasak utama anda untuk kisar bahan-bahan yang kerap digunakan dalam masakan seperti bawang merah, bawang putih, halia, kunyit dan cili dalam kuantiti yang mencukupi untuk seminggu.

Dengan cara ini, anda tidak perlu lagi mengisar bawang, halia dan sebagainya setiap kali ingin memasak lauk sampingan. Anda boleh juga mix and match bahan-bahan kisar anda untuk menghasilkan pelbagai jenis pes perencah.

4. Gunakan bahan mentah yang sama dalam pelbagai resipi

Kadangkala anda dapat menikmati diskaun yang besar apabila membeli sesuatu bahan mentah secara pukal. Kurangkan kos perbelanjaan anda setiap minggu dengan memasak bahan mentah yang sama dengan cara-cara berlainan. Jika terdapat potongan harga untuk pembelian ubi kentang, contohnya, anda boleh menggunakannya dalam pelbagai cara sepanjang minggu termasuklah dibuat menjadi bergedil, dimasukkan ke dalam kari, dan dijadikan mashed potatoes.

5. Gunakan slow cooker atau pressure cooker

Penggunaan periuk elektrik seperti slow cooker atau pressure cooker dapat menjimatkan lagi masa anda di dapur. Masukkan bahan mentah ke dalam periuk, tumis jika perlu, dan selebihnya anda hanya perlu menekan butang timer. Kaedah ini tidak memerlukan anda untuk sentiasa memantau lauk yang dimasak, jadi anda boleh menggunakan lebihan waktu itu untuk mengemas atau berehat.

6. Bekukan lebihan makanan

Image via Cooking Light

Apabila memasak, biasakan dengan memasak dengan kuantiti yang berlebihan dan menyimpannya di dalam peti beku. Untuk hari-hari di mana anda terlalu kesuntukan masa, anda hanya perlu menghangatkan semula lebihan makanan itu.

Agihkan lebihan lauk anda mengikut kuantiti yang diingini. Jangan lupa untuk labelkan bekas-bekas tersebut dengan nama lauk dan tarikh dimasak. Ini dibuat supaya senang untuk anda mencari semula lauk yang diingini dan juga untuk tahu jika ianya masih elok untuk dimakan. Secara amnya, makanan yang disimpan di dalam peti beku boleh bertahan selama tiga bulan.

7. Gunakan kreativiti anda untuk menggubah lebihan lauk

Image via Mel Joulwan

Kuantiti banyak yang dimasak tidak bermaksud anda perlu menjamah hidangan yang sama setiap kali. Berikan sedikit kelainan kepada lebihan lauk anda supaya tidak membosankan. Jika anda mempunyai lebihan rendang daging, contohnya, anda boleh menggunakan lebihannya keesokan hari untuk membuat pelbagai menu menarik seperti nasi goreng, bebola daging berempah, dan sebagainya.

Adakah anda mempunyai petua meal prep untuk dikongsikan juga? Beritahu kami di ruangan komen di bawah!

Inginkan idea hidangan menarik untuk dimasak minggu ini? Ikuti resipi-resipi ini!

Ingin tahu bagaimana cara betul memilih barang dapur basah di pasar?

You may be interested in: